Thursday, June 04, 2009

Puji beri semangat

BEGITUPUN, tidak boleh dinafikan Islam membenarkan pujian secara berdepan dalam situasi tertentu dan kepada individu tertentu seperti:
l Orang yang kehilangan keyakinan diri dalam membuat perkara baik. Tatkala itu kita ungkit kebaikan tindakannya untuk beri kembali semangat dan ada orang yang menghargai kerja baiknya.

l Orang yang melakukan tugasan kebaikan yang sukar, berisiko dan manfaatnya tersebar luas. Tatkala itu boleh diberi pujian atas keberaniannya dan berniat semoga ia mampu dicontohi oleh orang lain.

l Individu yang layak dicontohi dan diyakini punyai kekuatan iman yang baik daripada tergoda dengan sifat ‘ujub (ta’ajub dengan kehebatan diri). Tatkala itu harus memujinya dengan pengetahuannya. Tujuan utama supaya orang boleh mengenali siapa yang wajar dijadikan ‘role model’ dan contoh ikutan.

Hal itu jelas memperlihatkan nabi memuji secara berterus terang beberapa sahabat sebagaimana Nabi memuji Ubadah Al Jarrah sebagai (Aminul Ummah) individu yang paling jujur daripada umat Muhammad dan pujian kepada Umar al-Khattab menerusi hadis yang berbunyi:

“Jika Umar melalui satu jalan, syaitan akan melalui jalan lain (kerana tidak berani jalan di laluan Umar atau bertembung dengannya).” (Riwayat Al-Bukhari)

Sebuah lagi hadis pula menyebut: Tiadalah terbitnya matahari ke atas seorang lelaki yang lebih hebat daripada Umar.” (Riwayat Al-Hakim, 3/96; Sohih isnadnya)

Hadis itu bersifat simbolik menunjukkan kekuatan cahaya kebaikan yang dibawa oleh Umar ra kepada umat Muhammad.

Sebenarnya terlalu banyak hadis menunjukkan pujian baginda kepada sahabatnya, terutama sahabat besar seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Ibn Abbas, sepuluh sahabat yang dijamin syurga dan ramai lagi. Semua mereka berkelayakan dan kukuh imannya.

l Kanak-kanak dipuji oleh guru dan ibu bapa bagi merangsang minda dan keyakinan diri si kanak-kanak.

l Pemimpin yang telus, adil, amanah dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan Allah SWT dengan kadar sederhana.

Walaupun semua jenis pujian dalam beberapa situasi seperti ini dibenarkan, si pemuji tidak tergolong dalam kategori yang dilarang oleh Islam.

Satu lagi ingatan Nabi SAW bagi orang yang ingin memuji adalah: “Jika ada di kalangan kamu tidak dapat mengelak daripada perlu memuji saudaranya, katakanlah aku rasa akan dikira amalan sekian sekian yang dilakukannya dan Allah akan mengiranya dan tiadalah seorang pun yang boleh dipuji (secara pasti) kecuali Allah.” (Riwayat Al-Bukhari, no 2519, 2/946)

Tugas mereka yang dipuji

Seterusnya terpulang kepada orang yang dipuji untuk mengawal perasaan dalamannya supaya menerima pujian dan dengan segera mengembalikannya kepada izin Allah dan kuasa-Nya.

Justeru, perisai ini dapat menghalang dirinya daripada berasakan itu adalah kehebatan yang diusahakannya semata-mata.

Sebagaimana diajar oleh sahabat Nabi apabila dipuji, mereka akan terus berdoa secara rendah diri dengan doanya: “Ya Allah, jangan kamu mengapa-apakanku kerana apa yang disebut oleh mereka dan ampunkan daku berkaitan perkara yang mereka tidak ketahui (jadikanlah daku lebih baik daripada apa yang mereka sangkakan).” (Riwayat Abi Syaibah, no 35703, 7/242; At-Tarikh Al-Kabir, 2/58)

Sehebat-hebat Nabi yang berjaya membuka Makkah pun tunduk dan menyerahkan pujian kepada Allah, demikian juga Zulqarnain sebagaimana disebut oleh Allah di dalam surah Al-Kahfi, kejayaannya membina tembok hebat dan kukuh dikembalikan kepada Allah.

Begitupun, orang yang dipuji jangan pula terlalu merendah diri secara salah sehingga mencerca diri secara terbuka apabila dipuji orang ramai. Ia tidak diperlukan, jika ingin menewaskan perasaan ujub (angkuh) di hati, cercalah diri secara sendirian.

Jangan juga tiba-tiba berterus terang menyebut diri tidak ikhlas atau apa jua yang merosakkan kepercayaan orang kepada diri.

Jangan pula berlebih-lebihan membawa kisah pujian kepada ramai orang lain kerana ia boleh membawa penyakit lain di kalangan pendengar pula iaitu ‘hasad dengki’.

Saya akan tuliskan satu artikel berkenaan kedahsyatan virus dengki dalam masyarakat kita selepas ini, insya-Allah.

Jangan juga mengambil pujian secara serius dan berhasrat mendapatkannya lagi kerana sekali ia terbuku di hati sedemikian, ia merosakkan niat dan melemahkan kerja amal kepada pemburuan pujian manusia yang sementara.

Akhirnya apabila tiada lagi pujian, tamatlah juga usaha kita. Lebih bimbang, usaha berterusan tapi tamatlah catatan amal dan pahala di sisi Allah kerana dilakukan kerana manusia. Nauzubillah.

Sekadar itu artikel ringkas untuk ingatan diri saya dan rakan, terutama yang kerap dipuji. Ingatan juga buat mereka yang ringan tangan dan lidah memuji, bukan niat saya supaya anda berhenti memuji mereka yang layak.

Bukan juga niat saya untuk memotivasikan anda untuk terus dan asyik memuji tanpa memikirkan bahayanya kepada diri yang dipuji dan diharap turut fikirkan orang lain yang mendengar dan membaca pujian-pujian, ada yang mudah jadi cemburu secara tiba-tiba.

Terus terang, dalam dunia Internet pula ramai blogger kerap dipuji sehingga menimbulkan cemburu di sisi pembaca lain atau blogger lain yang kurang popular.

Ini menyebabkan ada yang menghantar kecaman, kutukan kepada blogger sebagai merosakkan minda dan kemampuan si blogger menghasilkan tulisan yang baik. Bayangkan, sampai begitu sekali!

Akhirnya, benar ada nas menyebut bahawa pujian dan nikmat yang diperoleh oleh amalan soleh seseorang (tanpa ia berniat untuk mendapat pujian) adalah nikmat awal daripada Allah untuknya, namun kita perlu ingat bahawa ada individu yang menikmati pujian atas amalan baiknya di dunia mungkin terlepas daripada pulangan nikmat di akhirat.

Demikian intipati kata Khalifah Abu Bakar yang bimbang nikmat awal di dunia akan menghalang nikmat di akhirat. Itulah akibat terselit keinginan pujian dunia ketika melakukan amal soleh. Demikian berhati-hatinya Abu Bakar As-Siddiq.

Tidak dinafikan sedikit penghargaan dan pujian perlu untuk merangsang terus menulis secara percuma, bekerja dan beramal untuk ummah, namun ia perlu dilihat secara berhati-hati.

Semoga Allah memelihara kita semua daripada tersalah guna pujian yang sebenarnya manis buat hati untuk terus berjuang memartabatkan Islam.

No comments:

  as salam Mohon , bantuan wakaf dana anda