Apabila seseorang wanita itu berkahwin, pastilah dia amat mengharapkan kebahagiaan dan kasih sayang yang berkekalan daripada suaminya. Jika ada wanita yang menafikan hal tersebut, itu hanyalah menunjukkan kesombongan dan sifat hipokritnya.
Ingin menyayangi dan disayangi hakikatnya adalah fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah ke atas hamba-hamba Nya.
Malangnya pada hari ini, keinginan fitrah tersebut adakalanya begitu sukar dipenuhi. Banyak pasangan suami isteri yang renggang hati, tipis kasih sayang dan selalu timbul perselisihan antara mereka. Malah perceraian menjadi lumrah kehidupan.
Ertinya ramai isteri yang sedang menderita pada masa ini. Kenapa isteri gagal menjadikan suami sangat menyintainya hingga tidak mahu berpisah dengannya?
Lelaki sanggup membelanjakan wang yang banyak semata-mata untuk membina sebuah perkahwinan. Ini kerana mereka ingin memenuhi tuntutan fitrah yang ingin dibelai dan dilayan oleh seorang wanita bergelar isteri. Mereka juga mengharapkan sebuah keluarga yang dikelilingi dengan tawa tangis anak-anak, yang semuanya dapat mententeramkan jiwa dan perasaan mereka.
Sekiranya tuntutan fitrah ini tidak diisi, maka akan kosonglah jiwa mereka. Sekiranya isteri tidak memberi layanan yang sebaiknya sehingga rumah tangga menjadi hambar, maka tiadalah lagi makna sebuah perkahwinan. Suami tidak akan bahagia, hatinya tidak akan tenang meskipun rumahnya besar dan wangnya bertimbun.
Beberapa persoalan di bawah mungkin dapat membantu anda muhasabahkan diri, seterusnya memberi jawapan dan jalan penyelesaian ke arah membina rumah tangga agar harmoni, ceria dan sentiasa diredhai Allah.
1.Setiap masa ketika suami di rumah, adakah anda melayan keperluan dan kemahuannya serta memberi sepenuh perhatian dalam urusan?
2.Setiap kali ketika suami pulang ke rumah dan anda berada di rumah ketika itu, adakah anda menantinya dan menyiapkan untuknya apa sahaja yang diperlukan?
3. Rumahtangga dan anak-anak, sudahkah anda berusaha dengan kemampuan dan masa yang ada, menjaganya agar teratur dan kemas hingga tiada satu sudut di dalamnya yang boleh mencacatkan hati suami apabila memandangnya?
4.Sikap anda, percakapan anda, kasih sayang dan gerak geri anda, adakah semuanya menampakkan pada suami bahawa anda benar-benar merelakan dan menyerahkan sepenuh ketaatan dan kesetiaan hanya padanya?
Kalaulah anda gagal untuk mengiakan semua yang telah dinyatakan diatas, bermakna anda seorang isteri yang sedang atau telah gagal. Sesungguhnya tiada seorang suami pun di dunia ini yang gembira hati kalau isteri tidak melayani kehendaknya. Tidak ada seorang suami pun yang suka hati apabila didapati isteri yang sepatutnya berada di rumah, tiada di rumah ketika dia pulang dari kerja atau sebarang aktiviti luar.
Tidak akan terhibur hati suami kalau rumah tangga dan anak-pinak berkecamuk dan tidak terurus. Tidak akan bahagia suami yang berdepan dengan sikap dan cakap-cakap isteri yang tidak menumpukan sepenuh kasih sayang padanya. Bertambah-tambah tidak bahagia lagilah bagi seorang suami itu apabila isterinya lebih menjaga kepentingan diri sendiri daripada memenuhi kehendak dan kemahuan suami.
Dalam keadaan apa sekalipun, seorang isteri mesti memuliakan suami dan menghormatinya, di samping merasakan diri sendiri "memerlukan" suami dan rela untuk berkhidmat serta taat sepenuh padanya. Pandangan dan sikap begini amat penting kerana darinya akan lahir sikap tolak ansur, kerjasama dan kasih sayang antara suami isteri.
Sebaliknya jika isteri beranggapan suami setaraf dengannya, tiada keistimewaan apa-apa, tidak perlu dimuliakan dan dipandang tinggi, apalagi untuk diberi perkhidmatan dan ketaatan sepenuh masa. Maka itulah punca utama terjadinya ketegangan dalam rumah tangga.
Apabila isteri mahu bertindak sama seperti suami atau mahu mengambil alih peranan suami tanpa disedari, terjadilah cerita dalam satu kapal mempunyai dua orang nakhoda, saling tarik-menarik dan akhirnya pecah lalu karam. Mustahil seorang suami rela dikawal oleh isteri. Bukan hati lelaki namanya kalau suami suka diarah dan diperintah oleh isteri.
Sedangkan seorang wanita yang hatinya bersih daripada nafsu, memang rela berkhidmat dan menyerahkan seluruh jiwa raga pada suami.
Letak Diri Sebagai Hak Suami
Satu-satunya jalan bagi seorang isteri untuk mendapatkan kasih sayang suami dan kebahagiaan rumahtangga, ialah dengan meletakkan dirinya sebagai "hak" suami dan rela untuk berkhidmat pada bila-bila masa. Adakalanya seorang isteri perlu mengorbankan kepentingan diri sendiri demi memenuhi hak suami yang perlu ditunaikan. Antara perkara yang wajar dilakukan oleh isteri termasuk:
1.Memasak sendiri dirumah, dengan masakan yang boleh memuaskan hati suami.
2.Menjaga anak-anak dengan pendidikan yang sebaik-baiknya.
3.Menjaga kesihatan diri, kemudaan dan kebersihan badan supaya sentiasa diminati suami.
4.Membina akhlak yang mulia agar suami terhibur.
Pendek kata, isteri mempunyai peranan yang cukup besar dalam membina rumah tangga bahagia. Isteri yang bijak, kreatif dan sentiasa menambah ilmu dalam usaha membentuk kebahagiaan, mereka pasti akan berjaya.
Walaupun begitu perlu diingatkan bahawa kasih sayang dan ketenangan hati suami isteri adalah kurniaan Allah SWT. Ia tidak boleh dibuat-buat direka dan dirancang-rancang.
Oleh itu, untuk mencetuskan kasih sayang dan ketenangan dalam rumah tangga, faktor-faktor hubungan dengan Allah wajib dititikberatkan.
Tanpa iman, adalah sukar bagi pasangan itu untuk memperolehi ketenangan dan kasih sayang.
Catatan : ihsan NUR
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
as salam Mohon , bantuan wakaf dana anda
-
Tajdid dan Mujaddid Menurut KH Maimun Zubair Sarang Tajdid atau memperbaharui pemikiran Islam adalah sebuah tema yang selalu dibicarakan d...
-
As Salam, Apa nak jadi remaja Islam kita ......keruntuhan yang telah melampau ......anak tuan /puan/ sdr /sdri ..macam mana ......., tak...
-
Hari ini aku terpanggil nak meluahkan apa yang terbuku dalam hati aku. Minggu lepas, anak dara kesayangan aku telah dicabul. Aku tak nak cer...
No comments:
Post a Comment