Asas-asas Mazhab Syafi'e
Pertama: Mengikut Al-Qur'an dan As-Sunnah
Tidak syak lagi bahawasanya Imam As-Syafi'e terlalu kuat dalam berpegang dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah.
Kedua: Mengikut Kebenaran dan Dalil
Ini merupakan antara ciri-ciri keistimewaan mazhab Imam As-Syafi'e di mana tiada apa yang dapat memisahkannya daripada berusaha untuk berpegang dengan kebenaran. Beliau tidak mengikut amalan mana-mana penduduk sesuatu tempat dan sebagainya. Didapati bahawasanya ada sebahagian imam yang menjadikan amalan sesuatu penduduk sesuatu tempat adalah sebagai hujah sepertimana yang dilakukan oleh Imam Malik r.a. yang menjadikan amalan penduduk Madinah sebagai hujah dan tidak mengambil riwayat-riwayat daripada penduduk negeri lain.
Imam Abu Hanifah r.a. pula mengambil riwayat daripada ahli Iraq sahaja, dan tidak akan bercanggah pendapat dengan mereka. Tetapi,keterbukaan Imam As-Syafi'e dengan mengambil ilmu dari pelbagai sumber, dari mana-mana ulama' di serata dunia.
Ketiga: Mengambil Berat Tentang Perkataan Para Sahabat
Imam As-Syafi'e r.a. menganggap bahawasanya perkataan para sahabat r.a. yang bersepakat dalam sesuatu perkara sebagai hujah dalam mengambil hukum. Adapun jika para sahabat r.a. berselisih dalam sesuatu perkara, maka Imam As-Syafi'e mencari dalil-dalil untuk mentarjihkan (menguatkan) antara pendapat-pendapat para sahabat r.a. tersebut.
Imam As-Syafi'e berpendapat bahawasanya jika seorang sahabat r.a. memberi fatwa dalam sesuatu masalah dan fatwanya adalah satu-satunya perkataan yang wujud dalam masalah tersebut, tanpa ada nas-nas lain daripada Al-Qur'an dan As-Sunnah, maka perkataan sahabat tersebut lebih utama dijadikan hujah daripada qiyas.
Adapun jika perkataan sahabat r.a. tersebut dalam masalah-masalah yang diberi keluasan untuk berijtihad padanya (masalah ijtihadiyah), maka perkataan sahabat r.a. tidaklah dianggap lebih utama daripada para mujtahidin yang lain, menurut Imam As-Syafi'e r.a..
Keempat: Berpegang dengan Kaedah Qiyas
Imam As-Syafi'e berpegang dengan manhaj yang sederhana berkenaan penggunaan kaedah qiyas. Beliau tidak terlalu bersikap keras sepertimana Imam Malik r.a. dan tidak juga bersikap terlalu terbuka dalam penggunaan qiyas seperti keterbukaan Imam Abu Hanifah r.a. dalam penggunaannya. Imam As-Syafi'e r.a. menganggap bahawasanya qiyas juga mempunyai kepentingan yang besar dalam perkembangan ilmu fiqh dan usul fiqh, lalu menjadikan qiyas dan ijtihad itu sendiri adalah satu makna yang sama.
Kelima: Mengambil kira Terhadap Asal bagi Sesuatu Perkara
Sesungguhnya, mazhab Imam As-Syafi'e dibina di atas asas-asas yang kukuh antaranya adalah asas yang kelima ini. Maka, asal bagi sesuatu perkara yang memberi manfaat, namun tidak ada nas mengenainya, maka hukumnya adalah mubah (boleh dilakukan dan boleh juga ditinggalkan: harus).
Keenam: Al-Istishab
Istishab ialah: Menetapkan sesuatu perkara di zaman kedua sepertimana ianya ditetapkan pada zaman yang pertama. Iaitu, jika kita mengetahui suatu hukum terhadap sesuatu pada zaman pertama, lalu tidak terzahir sesuatu petunjuk yang menunjukkan hukum tersebut dihilangkan pada zaman kedua, maka pada zaman kedua itu juga turut kita hukumkan dengan hukum asal pada zaman pertama tersebut.
Contohnya: Asal hukum itu ialah, seseorang itu “terlepas (bara’ah) daripada sebarang tanggungan terhadap manusia lain” sehingga ada dalil yang menunjukkan bahawasanya dia sudah memikul tanggungjawab terhadap orang lain. Maka, asal "keterlepasan"nya daripada tanggungan terhadap manusia lain itu digunakan secara istishab dalam kes seperti contohnya: seseorang itu (si A) dituduh mempunyai hutang dengan seseorang yang lain (si B), namun tidak ada bukti menunjukkan bahawasanya dia (si A) pernah berhutang dengan orang (si B) tersebut.
Maka, dengan kaedah istishab ini, kita mengembalikan orang (si A) tersebut kepada hukum asalnya sebelum tuduhan tersebut dilakukan iaitu "keterlepasan daripada tanggungan terhadap manusia lain", maka dia (si A) tidak perlu membayar hutang tersebut kepada si B.
Ketujuh: Al-Istiqra'
Istiqra' ialah: Mengkaji atau meneliti (tatabbu’) perkara-perkara yang cabang (furu') dan hukum perkara-perkara cabang yang saling berkaitan tersebut kepada suatu perkara yang turut berkait rapat dengan perkara-perkara tersebut. Ia merupakan suatu proses meneliti pelbagai perkara cabang yang mempunyai persamaan dari sudut-sudut tertentu, yang membawa kepada hukum yang sama, lalu menjadikan hukum tersebut sebagai hukum yang menyeluruh terhadap cabang-cabang yang termasuk dalam masalah tersebut.
Contohnya: Hukum solat witir.
Kalau kita mengkaji (tatabbu’) keadaan Nabi s.a.w. khususnya dalam masalah solat, kita dapati suatu kaedah umum daripada perbuatan-perbuatan Nabi s.a.w. secara menyeluruh tersebut bahawasanya, Nabi s.a.w. tidak pernah menunaikan solat fardhu di atas kenderaan sewaktu bermusafir sama sekali.
Jika Rasulullah s.a.w. menunaikan sesuatu solat di atas kenderaan, maka daripada kaedah umum yang kita fahami sebelum tadi, menunjukkan bahawasanya solat yang ditunaikan oleh Nabi s.a.w. di atas kenderaan tersebut adalah solat sunat.
Oleh yang demikian, bilamana kita ingin mencari hukum tentang solat witir, lalu kita menemui bahawasanya Rasulullah s.a.w. pernah menunaikan solat witir di atas kenderaan, maka kita meletakkan hukum sunat bagi solat witir hasil daripada kita mengaitkannya dengan hukum menyeluruh yang kita sebut sebelum tadi dalam kaedah "Rasulullah s.a.w. hanya menunaikan solat sunat sahaja di atas kenderaan". Maka, kaedah umum yang membawa hukum menyeluruh ini memberi petunjuk kepada hukum solat witir yang dicari, dengan menjadikan solat witir sebagai satu cabang daripada kaedah tersebut, dalam masa yang sama berkongsi hukum yang sama dengan yang lain iaitu: hukum solat witir adalah sunat. Jadi, dapat difahami juga, sebarang nas-nas yang mana zahirnya seolah-oleh mewajibkan solat witir sebenarnya adalah sekadar suatu bentuk "menguatkan lagi galakan terhadap menunaikan solat witir itu sendiri.
Fasal: Kaedah Mengambil Bilangan paling Sedikit dalam Perkataan-perkataan Para Mujtahidin
Imam As-Syafi'e r.a. berpendapat bahawasanya kita perlu mengambil pendapat yang menyebutkan bilangan yang paling sedikit dalam sesuatu masalah yang melibatkan bilangan, takkala berlaku perselisihan pendapat dalam kalangan para ulama', kerana bilangan yang paling sedikit juga termasuk dalam bilangan yang paling banyak itu sendiri (contohnya: 1 itu termasuk dalam bilangan 10 itu sendiri).
Kaedah ini digunakan oleh Imam As-Syafi'e r.a. bilamana tiada lagi dalil dijumpai dalam masalah tersebut melainkan perkataan-perkataan ulama' tersebut.
Contohnya:
Hukum diyyah (bayaran pampasan yang melibatkan nyawa) kafir zimmi
Para ulama' berselisih pendapat tentang hukum diyyah kafir zimmi:
Pendapat Pertama: sepertiga daripada diyyah seorang muslim.
Pendapat Kedua: separuh daripada diyyah seorang muslim (mazhab Maliki)
Pendapat Ketiga: sama seperti diyyah seorang muslim (mazhab Hanafi)
Maka, Imam As-Syafi'e mengambil pendapat yang pertama iaitu sepertiga dariapda diyyah seorang muslim kerana ianya merupakan pendapat yang paling sedikit dalam masalah ini. Ini kerana, bilangan yang terrendah ini turut mengandungi perkataan yang mengatakan separuh diyyah muslim dan turut mengandungi perkataan seluruh diyyah muslim.
Sepertiga diyyah muslim terkandung dalam pendapat kedua iaitu separuh diyyah muslim dan terkandug juga dalam pendapat yang ketika iaitu semua bilangan diyyah muslim.
Wallahu a’lam…
(diambil dan diadaptasi daripada buku Al-Madkhal ila dirasah Al-Mazahib Al-Arba'ah karangan Mufti Mesir, Prof. Dr. Ali Jum'ah)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
as salam Mohon , bantuan wakaf dana anda
-
Tajdid dan Mujaddid Menurut KH Maimun Zubair Sarang Tajdid atau memperbaharui pemikiran Islam adalah sebuah tema yang selalu dibicarakan d...
-
As Salam, Apa nak jadi remaja Islam kita ......keruntuhan yang telah melampau ......anak tuan /puan/ sdr /sdri ..macam mana ......., tak...
-
Hari ini aku terpanggil nak meluahkan apa yang terbuku dalam hati aku. Minggu lepas, anak dara kesayangan aku telah dicabul. Aku tak nak cer...
No comments:
Post a Comment