“MASYA-ALLAH, sangat hebat kesannya tulisan ustaz ini dalam diri saya. Anta memang satu-satunya insan hebat dan mampu mengulas dengan sangat jelas dan adil. Buku yang sangat mampu mengubah seluruh masyarakat.”
“Penyampaian yang saudara buat tadi memang sangat cemerlang. Kalau bukan kerananya, kita tidak mampu dapat kontrak ini.”
“Datuk sudah membuat keputusan yang sangat bernas, pelik mengapa orang lain tidak dapat memikirkan seperti yang Datuk fikirkan.”
“Saya kira Dr orang paling berautoriti dalam bidang ini. Apa yang Dr cakap adalah hujah utama kami.”
“Bos, cekap betul bos menyelesaikan masalah tadi. Kami tak sangka hal yang rumit nampak begitu mudah bila bos bagi penyelesaian.”
Semua kenyataan itu mungkin segelintir bentuk pujian yang dilontar kepada tokoh ilmuan Islam, tokoh politik, ahli akademik dan ketua syarikat. Adakah pujian itu dibenarkan oleh Islam dibuat secara terbuka di depan individu terbabit?Dalam artikel sebelum ini, saya berkongsi sedikit pandangan berkenaan bahaya sangka buruk — jenis dosa yang semakin membiak di dalam masyarakat.
Namun begitu, sebenarnya masih banyak isu dan fakta berkaitan sangka buruk yang belum sempat saya kongsi bersama pembaca. Insya-Allah saya akan cuba kongsi bersama pembaca selepas ini.
Begitupun, saya ingin dahulukan artikel ini disebabkan ramai yang terbabit dan kesannya yang tidak kurang dahsyat. Isunya adalah puji memuji.
Apakah pandangan Islam untuk kita memuji seseorang di depannya? Apakah pula bezanya antara membodek dengan pujian sebenar? Sebagai asasnya, mari kita lihat beberapa nas hadis dalam isu berkaitan.
Diriwayatkan dalam sebuah hadis bermaksud:
“Rasulullah SAW mendengar seorang lelaki memuji lelaki lain dan berlebih-lebih dalam pujiannya, maka Rasulullah berkata: ‘Kamu telah merosakkannya dan telah memotong belakangnya (seolah-olah)’.” ( Riwayat Al-Bukhari, no 2663 )
Pujian atau membodek
Sekali baca, kelihatan kita ditegah memuji seseorang di depannya. Namun, Imam Badr Al-Aini ketika menghuraikan hadis itu menyebut, pujian yang “memotong belakang” itu adalah dalam konteks seseorang terlalu berlebihan dalam pujiannya.
Iaitu sehingga memuji sesuatu yang tidak dimiliki orang yang dipuji sehingga menyebabkan datang sifat ‘ujub dalam diri, merosakkan hati, menghancur keikhlasan dan berasa diri benar lagi hebat sentiasa. Padahal realitinya tidak sedemikian.
Perkara itu dalam kata lainnya adalah ‘membodek’. Ia kerap berlaku kepada orang berjawatan atau mereka yang mempunyai sesuatu pengaruh atas sesuatu keputusan keduniaan.
Justeru, jika anda memegang jawatan penting, pemutus keputusan di syarikat atau organisasi, anda perlu berhati-hati kerana akan muncul ramai pemuji dan pemuja yang boleh bertujuan ‘bodek’.
Kali ini sangka buruk dalam hal ini perlu atas nama berhati-hati dan beringat. Namun bukan semua akan demikian, mungkin segelintirnya memuji dengan benar.
Pujian melampau jenis ‘bodek’ bukan saja boleh dibuat melalui ungkapan lisan, malah melalui pergerakan fizikal seperti cium tangan.
Hasilnya, orang yang diperlakukan sedemikian boleh diuji dengan hebat sehingga menjadi seorang yang menyangka superior atas segala sesuatu, paling bijak, paling berpengaruh dan paling hebat, sehingga tiada lagi proses peningkatan perlu dibuat.
Situasi itu biasa berlaku bagi orang berjawatan. Lihat saja bos di syarikat anda bekerja, tentu ada yang ‘kipas’ di dalam dan luar mesyuarat dan lain-lain. Sehingga adakalanya keputusan yang tidak bijak dilihat bijak akibat bodekan dan pujian palsu ini.
Selepas si bos tiada jawatan, baru diketahui pujian itu hakiki atau palsu semata-mata. Budaya ‘kipas’ dan ‘bodek’ tidak lain kecuali satu tindakan haram di sisi Islam dan ia ternyata daripada hadis di atas. Ini kerana ia pasti membawa kesan buruk kepada penerima ‘bodekan’.
Malah, kesan buruk itu bukan saja kepada orang yang dibodek, malah seluruh organisasi. Sudah tentu apabila keputusan salah terus dipuji dan disokong kerana ‘bodek’, akhirnya ia memudaratkan masyarakat, organisasi serta syarikat.
Pujian sebenar
Pujian ini untuk sesetengah individu yang dipuji bukan kerana jawatan yang dipegangnya atau apa jua pengaruh keduniaan. Sebagai contoh, dia ulama yang alim lagi rendah diri, tokoh masyarakat yang berjasa, penulis buku yang berkualiti, majalah dan lain-lain yang cekap dan bijak dalam bidangnya.
Pujian yang ditujukan kepada hasil kerja dan usahanya menurut kebiasaan adalah pujian yang layak dan benar. Ia tidak jatuh dalam kategori ‘bodek’, tapi ia masih mempunyai bahaya yang mendalam kesannya. Sebuah hadis bermaksud: “Taburkan tanah-tanah atas muka orang yang asyik memuji.” (Abu Daud, no 4170)
Sebahagian ulama mentakwilkan maksud hadis itu kepada pujian kepada tidak layak dan mengada-adakan perkara tidak benar sehingga orang yang dipuji merasa benar sentiasa, juga berasa hebat. (Umdah al-Qari, 22/132)
Imam Al-Khattabi ketika menghurai hadis di atas berkata: “Barang siapa memuji seseorang atas perbuatan baik yang dilakukannya dengan tujuan menggalakkan lagi kerja baiknya dan mendorong orang lain berbuat yang sama sepertinya, ia tidaklah termasuk dalam kategori ‘maddah’ iaitu yang pemuji terkeji.” (Ma’alim as-Sunan)
Walau apapun takwil, teks hadis itu juga merangkumkan segala jenis pujian benar di depan orang yang dipujinya. Pengajaran daripada hadis ini ialah, jangan terlalu banyak memuji orang di depannya walaupun pujian itu benar dan ikhlas kerana ia tanpa disangka boleh membawa perasaan lupa diri dan menghilangkan ikhlas dalam kerja yang dilakukannya.
Kerana itu ada disebut dalam sebuah hadis sohih, Musa Al-Asyaary berkata: “Rasulullah mendengar seorang lelaki memuji seorang lelaki lain dan berlebihan dalam pujiannya, lalu Nabi menegur: “Kamu telah memotong diri lelaki tersebut.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
as salam Mohon , bantuan wakaf dana anda
-
Tajdid dan Mujaddid Menurut KH Maimun Zubair Sarang Tajdid atau memperbaharui pemikiran Islam adalah sebuah tema yang selalu dibicarakan d...
-
As Salam, Apa nak jadi remaja Islam kita ......keruntuhan yang telah melampau ......anak tuan /puan/ sdr /sdri ..macam mana ......., tak...
-
Hari ini aku terpanggil nak meluahkan apa yang terbuku dalam hati aku. Minggu lepas, anak dara kesayangan aku telah dicabul. Aku tak nak cer...
No comments:
Post a Comment