1. Ketika menggali parit Perang Khandaq,
Nabi SAW bersabda dengan maksudnya; “..Constantinople (kini dikenali sebagai Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”
(riwayat Imam Ahmad)
Hadith ini bersifat prospektif, ramalan, ia menjangkakan sesuatu kejadian pada masa hadapan yang belum berlaku sebagai akan berlaku. Ini termasuk dalam mukjizat yang diberikan oleh Allah SWT kepada Nabi SAW.
Hari ini 29 Mei 2009, genaplah 556 tahun mengikut kiraan kalendar masihi, jatuhnya Kota Constantinople (wallahu a’lam) ke tangan sebaik-baik raja iaitu Sultan Muhammad bin Murad atau Sultan Muhammmad Al-Fateh atau Sultan Muhammad Kedua yang memimpin tenteranya yang merupakan sebaik-baik tentera sebagaimana yang telah disebutkan oleh Nabi SAW lebih dari 800 tahun sebelumnya.
2. Beliau telah menjadikan sabdaan Nabi SAW itu sebagai realiti apabila berjaya mengalahkan dan seterusnya menguasai Kota Constantinople pada 29 Mei 1453. Kejayaan beliau ini, yang ketika itu baru berusia 21 tahun telah meruntuhkan selama-lamanya Empayar Byzantine (Rom Timur), membunuh Maharaja Rom iaitu Constantine XI, serta penguasaan terhadap Mediterranean Timur dan Wilayah Balkan. Inilah kejayaan yang sangat gilang gemilang kerana ia dipimpin oleh pemimpin yang baru berusia 21 tahun ketika itu sedangkan remaja kita pada usia itu masih lagi mentah dan tidak mengenal erti perjuangan.
3. Empayar Rom Timur yang berpusat di Constantinople wujud dengan gagahnya sepanjang kira-kira 1000 tahun. Selama itulah ia diserang beberapa kali, namun hanya sekali sahaja ia tewas iaitu pada tahun 1204 tetapi tidak dijajah kerana serangan yang dilakukan pada ketika itu tidak bermatlamat untuk menguasainya. Tetapi kemudiannya, Empayar Rom Timur yang telah sedia lemah itu telah dikuasai satu persatu wilayahnya oleh pejuang-pejuang Arab Islam. Banyak sebab yang membawa kepada serangan terhadap Konstantinople. Salah satunya kerana kezaliman Raja Constantine yang memaksa umat Islam Greek untuk murtad dan merampas masjid-masjid.
4. Kekuatan tentera yang dimiliki oleh Empayar Byzantine ketika itu adalah kira-kira 7000 orang manakala jumlah tentera Uthmaniyyah adalah antara 100,000 hingga 150,000. Constantinople dilindungi oleh dinding kubu yang dibina sejauh 14 batu dan dikatakan sebagai kubu kota terkuat pada zaman itu
5. Kubu Constantinople berhadapan dengan kehebatan meriam yang dicipta oleh Urban, seorang pakar meriam berbangsa Hungary. Meriam yang direka, panjangnya lebih 8 meter, diameter 75cm, peluru (batu) seberat 544kg boleh bergerak sejauh sebatu. Tembakan meriam yang berterusan membantu memecahkan tembok tebal tersebut.
6. Laut Marmara dan Selat Bosphorus sukar untuk ditembusi kapal perang kerana telah dipasang rantai besi raksasa oleh tentera Byzantium. Tetapi tentera Islam di bawah pimpinan Muhammad Al-Fateh telah membina kapal perang di darat, menggerakkannya menggunakan batang kayu besar, melepasi rantai besi raksasa, kemudian belayar dan menyerang Constantinople dari kedua-dua Laut Marmara dan Selat Bosphorus.
7. Apabila kemenangan dicapai Hagia Sophia yang merupakan gereja terbesar dan tercantik di dunia pada ketika itu, diisytiharkan sebagai masjid, Sultan Muhammad Al-Fateh menjadi imam solat Jumaat pertama, tenteranya menjadi makmum. Raja terbaik memimpin tentera terbaik!
8. Di antara faktor yang mempercepatkan kejatuhan Constantinople ialah keengganan Pope Nicholas v memberi pertolongan ketika tentera Kristian di Konstantinople sedang berhadapan dengan tentera Islam. Perpecahan ini berpunca dari krisis yang serius di antara Kristian Mazhab Orthodox dan Mazhab Roman Catholic. Walaupun terdapat sebilangan pasukan tentera Kristian dari utara Itali yang datang memberi bantuan kepada Empayar Byzantium untuk mempertahankan kota Konstantinople namun bantuan itu tidak mencukupi kerana majoriti pemimpin Kristian dari mazhab Roman Catholic termasuk Pope Nicholas V tetap enggan membantu sebagai tindak balas atas sikap penganut Kristian Mazhab Orthodox yang enggan mengembalikan gereja mazhab Catholic di bawah naungan Rome ketika itu. Ini menunjukkan bahawa tanpa mengira bangsa atau agama, jika mereka berpecah sesama sendiri, mereka akan lemah dan musuh akan mengambil kesempatan termasuklah umat Islam sendiri.
9. Setelah menguasai Kota Constantinople, Sultan Muhammad kemudiannya menawan Despotate Morea di Peloponnese pada tahun 1460 dan Empayar Trebizond di Timur Laut Anatolia pada tahun 1461. Akhirnya Anatolia berada di bawah Empayar Islam Uthmaniyyah.
10. Bagi benua Eropah pula, pada tahun 1456 Sultan Muhammad bergerak sehingga ke Belgrade sehingga kemudiannya menguasai hampir kesemua tanah Serbia. Pada tahun 1463 pula, baginda menyerang Bosnia dan menghukum mati Stjepan Tomasevic, Raja Bosnia ketika itu.
11. Cita-cita Sultan Muhammad sangat tinggi. Baginda ingin menguasai pula Itali yang memiliki Rom di dalamnya. Sumber Sarjana Kristian mengatakan bahawa langkah ini dilakukan oleh Sultan Muhammad untuk membentuk Empayar Rom yang besar yang beliau adalah “Caesar” tetapi matlamat tersebut tidak kesampaian. Jikalau kita melihat “galeri” yang saya poskan gambar di Prague (apostle’s clock), jelas menunjukkan bagaimana kuatnya pengaruh tentera Turki yang sangat digeruni oleh pemerintah-pemerintah Kristian pada zaman itu.
12. Beliau sangat terkenal dengan sikap toleransinya dengan penduduk Kristian yang merasakan sangat ganjil pada zaman itu. Ini kerana pemimpin Kristian sememangnya zalim bukan hanya terhadap penduduk Islam, malah terhadap penduduk Kristian sendiri. Jika anda tidak percaya boleh lihat sebahagian buktinya di Museum of Medieval Torture di Prague, Republik Czech. Jadi, apabila pemerintah Islam begitu lunak dengan rakyat Kristiannya maka mereka merasakan pelik dan ganjil. Malah sejarah juga menceritakan bagaimana beberapa serangan yang dipimpin oleh Sultan Muhammad memang mendapat sokongan daripada pemimpin dan rakyat Kristian. Ya Allah, kurniakan kepada kami pemimpin seperti Sultan Muhammad Al-Fateh ini.
13. Baginda juga melaksanakan pembangunan, membina universiti, masjid, bekalan air bersih, istana Topkapi dan lain-lain. Serta, menerima penyertaan golongan Kristian dalam pemerintahannya juga, memberi kuasa autonomi dalam beberapa sudut kepada mereka.
Baginda sendiri menguasai enam bahasa iaitu Arab, Turki, Greek, Hebrew, Parsi dan Latin.
14. Sultan Muhammad Al-Fateh kemudiannya meninggal dunia secara mengejut. Ada pendapat mengatakan bahawa dia diracun oleh doktor peribadinya sendiri di Hunkarcayiri berdekatan dengan Gebze
15. Sumber Kristian mengatakan bahawa kejatuhan Constantinople adalah penutup kepada zaman pertengahan dan menjadi permulaan kepada zaman Renaissance kerana tamatnya pemerintahan gereja yang telah lama berkuasa. Malah bagi setengah penganut Kristian khususnya Greek, hari Selasa (hari Sultan Muhammad Al-Fateh menguasai Constantinople) dianggap sebagai hari paling malang dalam seminggu.
Catatan : Ahmad Jailani Abdul Ghani
No comments:
Post a Comment