Mahalnya sebuah perkahwinan adalah pada qurratu a’yun iaitu hadirnya
pasangan dan anak-anak yang menyejukkan pandangan mata hingga lahirnya
ketenangan. Ketenangan ini yang paling mahal. Sebab itu dikatakan "rumahku
syurgaku", kata perunding motivasi Dr. Shafie Md Amin al-Hafiz.
Ketenangan memang dicari-cari oleh manusia. Bagi seorang lelaki misalnya,
apabila hendak mendirikan rumah tangga, fitrah hatinya inginkan seorang
wanita yang solehah sebagai teman hidup kerana, menurut Dr. Shafie, “wanita
solehahlah yang dapat melahirkan ketenangan dalam rumah tangga. ”
Isteri yang solehah, ujarnya, akan menjana aktiviti amal soleh di dalam
rumah tangga yang menjadi saluran Allah datangkan ketenangan atau kehidupan
yang baik.
Firman Allah: “Siapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki atau
perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan
kepadanya kehidupan yang baik…”
(An-Nahl: 97)
Isteri yang solehah juga menyejukkan pandangan mata, sekaligus menenangkan
jiwa.
“Dalam berumah tangga, kita hendakkan kehidupan yang lapang dan tenang.
Tapi kenapa rumah tangga jadi sempit?” soal Dr. Shafie, pengasas Kaedah
Al-Huffaz, teknik mudah menghafaz al-Quran.
Beliau berkata, sempitnya rumah tangga disebabkan kita tidak ikut formula
yang Allah beri dalam mengatur kehidupan. “Dalam memberi ketenangan, Allah
tidak beri begitu saja. Ada formula, ada peraturannya,” ungkapnya dalam
pertemuan di pejabatnya di Taman Nirwana, Ampang, Selangor.
Jelas Dr. Shafie, secara umumnya hati akan tenang bila ingat Allah.
“Ketahuilah, dengan mengingati Allah hati menjadi tenang,” demikian maksud
firman-Nya (Ar-Ra’d: 28). Di dalam solat, kita memohon melalui bacaan
al-Fatihah, “Tunjukilah kami jalan yang lurus (iaitu) jalan orang-orang
yang telah Engkau anugerahkan nikmat …”.
Nikmat adalah sesuatu yang setiap orang suka dan ia boleh menenangkan hati
atau memberi kebahagiaan. “Tetapi dalam realiti,” terang Dr. Shafie, “orang
hanya melihat nikmat itu ada pada harta, isteri, anak-anak.”
“Ada yang banyak harta, banyak anak tapi tak bahagia. Kalau semua yang kita
miliki itu dapat mendorong kita melakukan amal soleh, barulah ia menjadi
sumber kebaikan (dan ketenangan),” jelasnya, merujuk pada amal kebaikan
yang dilakukan dalam keadaan beriman iaitu yakin kepada Allah dan ganjaran
di akhirat.
Allah menjelaskan, “Dan siapa yang berpaling dari peringatan-Ku,
sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit.” (Thaha: 124)
Oleh itu, kehidupan yang sempit selepas kahwin adalah natijah dari tidak
mengikut aturan Allah dalam mengatur rumah tangga, termasuklah seawal
memilih jodoh lagi. “Kadang-kadang sudah bagus dalam memilih pasangan tapi
di hari perkahwinan banyak unsur-unsur negatif yang boleh memberi efek
kepada perkahwinan,” katanya, memberi contoh amalan bersanding, unsur muzik
dalam majlis walimah, mahar yang menyusahkan dan sebagainya.
Dr. Shafie berkata, “Mesti balik kepada formula yang digariskan oleh agama.
Kalau tidak, kita akan membinasakan diri kita.” Katanya, rumah tangga yang
baik tidak akan lahir jika agama hanya diletakkan sebagai satu segmen kecil
dalam kehidupan. Sedangkan, menurutnya, agama Islam itu ad-deen – formula
kehidupan.
“Melalui agama, semua formula kehidupan Allah sudah ajar kepada kita,”
katanya. “Dalam kehidupan ini setiap sesuatu ada formulanya,” tambahnya,
dengan memberi contoh perlunya kita ikut resipi jika hendak buat kuih.
Katanya, Allah telah memberi formula melalui sabda Nabi-Nya, kalau
berkehendakkan kehidupan yang baik, rumah tangga yang balik, pilihlah calon
pasangan yang beragama. “Manusia memang sukakan kecantikan, tapi asas
pemilihan nombor satu mesti agamanya. Agama itu mencetuskan ketenangan,”
katanya.
Dr. Shafie berkata, jika formula dari Allah ini dituruti dalam mendirikan
rumah tangga bermula dari pemilihan jodoh lagi, dari situlah tercetusnya
ketenangan yang akan menjadikan mahalnya sebuah perkahwinan.
"Aku menyintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama
dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu" (Imam Nawawi)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
as salam Mohon , bantuan wakaf dana anda
-
Tajdid dan Mujaddid Menurut KH Maimun Zubair Sarang Tajdid atau memperbaharui pemikiran Islam adalah sebuah tema yang selalu dibicarakan d...
-
As Salam, Apa nak jadi remaja Islam kita ......keruntuhan yang telah melampau ......anak tuan /puan/ sdr /sdri ..macam mana ......., tak...
-
Hari ini aku terpanggil nak meluahkan apa yang terbuku dalam hati aku. Minggu lepas, anak dara kesayangan aku telah dicabul. Aku tak nak cer...
No comments:
Post a Comment