Rasullullah SAW bersabda “Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau orang yang sedang musafir” ,(HR Bukhari). “Untuk apa dunia itu bagiku?, aku di dunia tidak lebih dari seorang pengembara yang berteduh di bawah pohon, kemudian pergi dan meninggalkannya” (HR At-Tirmidzi)
Manusia merupakan makhluk terakhir yang diciptakan Allah SWT setelah sebelumnya Allah SWT telah menciptakan makhluk lain seperti malaikat, jin, bumi, langit dan seisinya. Allah SWT menciptakan manusia dengan persiapan untuk dijadikan makhluk yang paling sempurna kerana manusia diciptakan untuk menjadi khalifah (pemimpin) di muka bumi dan memakmurkannya
Kehidupan manusia merupakan perjalanan panjang yang memenatkan, penuh liku ranjau yang berduri dan kadangkala penuh kebahagian dan kemanisan yang tak mungkin di lupa dan dielakkan. Namun dalam merentas kehidupan dari tahap demi tahap, peringkat demi peringkat manusia atau khalifah mulia di dunia ini kadangkala leka dengan kepenatan, leka dengan kemanisan kebahagian dan kegembiraan sehingga kadangkala kehidupan di tempuh dengan pelbagai cara dan kaedah yang hanya mementingkan keduniaan yang sementara.
Setiap abad berlalu, manusia di kirim oleh Allah SWT dengan Rasul dan Nabi yang menjadi pemimpin dan ikutan untuk meneruskan kehidupan yang sempurna dan berakhlak mulia. Akhlak mulia dan cara kehidupan yang bermoral dan berakidah yang ditonjolkan oleh Rasullullah SAW adalah merupakan contoh dan ikutan yang terbaik yang harus diikuti oleh manusia di abad ini.
Risalah Muhammad Rasulullah SAW adalah untuk kepentingan manusia. Manusia mempunyai sifat dan tabiat yang unik. Manusia terdiri daripada tiga fakulti iaitu rohi, ‘aqli dan jasmani. Ketiga-tiga fakulti ini perlu dipandu dan dikawal oleh satu sistem yang lengkap dan bersepadu untuk melahirkan manusia atau insan yang dapat berperanan sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi mengikut nilai Rabbani, sekali gus memperlihatkan kematangan serta kedewasaannya dalam kehidupan di dunia dan layak mengecapi kebahagiaan di akhirat kelak oleh itu Al Quran diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW berfungsi untuk memberikan pedoman bagi umat manusia dalam merentas kehidupan di dunia ini dan juga persiapan kehidupan di akhirat. Namun malangnya tidak semua manusia yang sedar malah untuk memperaktikkannya melalui kehidupan seharian.
Kemodenan dan tuntutan hidup kadangkala memaksa manusia untuk melakukan apa sahaja demi mencapai keselesaan dalam kehidupan mahupun dari segi harta, pangkat dan darjat. Sehingga etika kehidupan yang sebenar dan akhlak yang baik di anggap sebagai penghalang untuk mencapai apa yang di hajati.
Manusia diperingkat awal remaja haruslah di dedahkan dengan pengajaran agama yang cukup untuk dijadikan sebagai tapak akhlak yang kukuh untuk menyediakan diri mereka dalam menghadapi pelbagai dugaan dan kemungkinan dalam mengharungi zaman pembesaran seterusnya di praktikkan dalam kehidupan berkeluarga dan kehidupan dalam masyarakat.
Kehidupan yang ditempuh dari peringkat bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa, institusi keluarga dan masyarakat akan melalui proses yang berlainan, undang-undang atau peraturan yang berbeza. Peringkat demi peringkat melalui saluran yang betul, amalan yang di berkati dan Jalan yang diredhai akan menghasilkan manusia yang layak di gelar Khalifah yang mulia di dunia.
Kita mengetahui bahawa setiap undang-undang atau peraturan mempunyai falsafah dan konsep tersendiri. Undang-undang dan peraturan-peraturan itu, dalam perlaksanaannya, tetap akan menghadapi masalah dan mempunyai cara-cara penyelesaian tersendiri pula.
Adalah tidak logik dan tidak adil seseorang menuntut undang-undang tertentu untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul akibat daripada perlaksanaan undang-undang yang lain.
Islam adalah undang-undang dan peraturan hidup yang lengkap. Setiap juzuk berkaitan dan berhubungan secara bersepadu membentuk kesatuan hakiki mencakup seluruh aspek kehidupan. Sekiranya Islam diberikan peluang agar tau’iyah dan tarbiyyahnya ditegakkan berdasarkan prinsip-prinsip da’wah Islamiyyah sebenar, berqudwahkan Rasulullah SAW dan berpandukan sumber wahyu Allah SWT. sehingga lahir masyarakat yang rela melaksanakan undang-undang dan peraturan Islam, maka dikala itu logik dan adillah Islam dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang timbul.
Aspek yang paling mudah dan senang untuk di jadikan amalan dan ikutan adalah melalui akhlak Rasullulah SAW sendiri melalui hadis-hadis dan sunnah-sunnah yang telah ditinggalkan oleh nya.
Daripada Zaid bin Thabit katanya, saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Semoga Allah menyinari seseorang yang mendengar sesuatu hadis daripada kami lalu dia menyampaikannya mengikut apa yang didengari. Maka betapa ramai orang yang membawa ilmu lalu menyampaikannya kepada orang yang lebih faham daripadanya dan berapa ramai orang yang membawa ilmu tetapi ia tidak memahaminya." (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah)
Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa amalan dan penyampaian yang baik harus di laksanakan dalam menjalani kehidupan seharian.Setiap aspek dan sudut kehidupan harus berpandukan dari hadis dan sunnah yang berpadanan dan kena pada tempatnya.
Ilmu hadis adalah ilmu yang mulia kerana ia merupakan penghubung antara kita dengan Rasulullah s.a.w. Segala perkara yang berkaitan dengan Rasulullah s.a.w. sama ada ucapan, perbuatan, pengakuan dan sifat akan diketahui bagi sesiapa yang melibatkan diri dengan ilmu hadis. Dengan mempelajari ilmu ini, kita dapat mengenal pasti kesahihan sesuatu perkara yang dinisbahkan kepada Rasulullah s.a.w. Sebaliknya, jika tidak ada ketelitian dan kecermatan, pasti akan mendapat ancaman dan amaran daripada baginda.
Daripada Hafs bin ‘Asim katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Cukup bagi seseorang itu sebagai pendusta dengan menceritakan apa sahaja yang dia dengar". (Riwayat Muslim dan Abu Daud)
Daripada al-Mughirah katanya saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya berdusta atas namaku bukan seperti berdusta atas nama salah seorang kamu. Maka sesiapa dengan sengaja berdusta atas namaku, hendaklah dia menyediakan tempatnya di dalam neraka". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Selain itu, hadis di atas juga mengisyaratkan beberapa kaedah yang mesti dijaga dalam periwayatan hadis. Pertama, memastikan kesahihan berita yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. Bukanlah setiap yang dikaitkan dengan baginda boleh diterima terus tanpa diselidiki. Ia mestilah dikaji dan dinilai mengikut kaedah riwayah dan dirayah.
Kedua, mendengar dengan penuh perhatian supaya lafaz asal dijaga dan diingati. Setiap lafaz perlu diteliti kerana kesilapan lafaz boleh membawa kepada perubahan makna yang membawa kepada berlakunya tashif. Tashif adalah kesilapan yang dilakukan oleh perawi dalam menerima dan menyampaikan hadis yang menyebabkan hadis menjadi dha`if.
Ketiga, setiap hadis yang dipelajari mestilah disampaikan kerana di kalangan yang mendengar itu ada yang mempunyai kefahaman yang lebih dan hadis itu dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Kefahaman tentang hadis termasuklah mengkaji dan merenung maksud-maksudnya serta menyimpulkan hukum dan pengajaran daripadanya. Seseorang yang mempelajari hadis akan sentiasa menyesuaikan dirinya dengan sunnah dan petunjuk Rasulullah s.a.w. Dia menyedari bahawa setiap aspek kehidupannya akan ada kaitan dengan Rasulullah s.a.w. Ini kerana keperibadian Rasulullah s.a.w. bukan setakat rasul membawa risalah Allah tetapi meliputi tanggungjawab sebagai guru, pendidik, pemimpin, hakim, panglima tentera, ketua keluarga, suami, bapa, datuk, jiran tetangga, sahabat kepada temannya. Justeru, amat wajarlah, kita mempelajari sunnah Rasulullah s.a.w. kerana tugas hidup setiap individu tidak terlepas satupun daripada aspek di atas. Berdasarkan kepada hakikat inilah Allah s.w.t. menitahkan kepada kita supaya menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai suri teladan.
Mengapa kehidupan bercahaya dengan hadis-hadis Rasulullah s.a.w.?
Rasulullah s.a.w. sendiri adalah cahaya. Allah s.w.t. menyifatkan baginda sebagai cahaya petunjuk dan juga pembawa rahmat. Pengutusan baginda bersifat dengan cahaya lantaran al-Qur’an yang baginda diperintahkan supaya menjelaskannya kepada umat adalah cahaya. Allah s.w.t. berfirman:
Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad, s.a.w) dengan menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) yang telah kamu sembunyikan dari Kitab Suci dan Dia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya.
Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus. (al-Maidah 15-16)
Lafaz-lafaz hadis yang dibaca dan didengar lalu diulang-ulang akan menghasilkan pancaran cahaya dalam kehidupan seseorang. Mengapa tidak berlaku demikian sedangkan tugas Rasulullah s.a.w. adalah untuk menjelaskan maksud al-Qur’an yang datang dari Allah yang memberikan cahaya kepada alam semesta. Dialah yang menciptakan cahaya dan dari-Nya datangnya cahaya itu.
Sejarah mencatatkan pengalaman ulama hadis yang hidup mereka sentiasa diberkati Allah kerana seluruh hidup mereka diabadikan untuk mengumpulkan hadis-hadis dan menghuraikannya. Walaupun hidup dalam keadaan kesukaran dan kesempitan, hati mereka sentiasa tenang. Tidak lain dan tidak bukan kerana yakin, mengharapkan dan menanti ganjaran pahala di akhirat.
Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda:"Kezuhudan merupakan pertaruhan bagi seorang mukmin." Baginda s.a.w. pernah berkata:"Allah s.w.t. telah menawarkan kepadaku hendak menukarkan bukit-bukau diMekah menjadi emas tetapi aku menadahkan tangan ku kepadaNya sambil berkata:"Ya Allah, aku suka makan pada satu hari dan berlapar pada hari berikutnya supaya aku dapat mengingatiMu apabila lapar dan memuji-mujiMu serta mensyukuriMu apabila kenyang."
Pada suatu ketika Nabi Muhammad s.a.w.telah berpisah selama sebulan daripada isteri-isterinya kerana salah seorang daripada mereka telah menyinggung perasaannya. Selama sebulan Baginda s.a.w. tinggal berseorangan dalam sebuah bilik. Suatu khabar angin yang tersebar dikalangan para sahabat mengatakan Nabi Muhammad s.a.w. telah menceraikan isteri-isteri Baginda s.a.w..
Apabila Umar r.a.hu mendengar berita angin tersebut, dia pun berlari-lari kemasjid. Setibanya dia dimasjid ia dapati sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w. sedang duduk termenung dan kesedihan jelas terbayang diwajah mereka. Meninggalkan mereka,Umar r.a.hu berjalan pula kerumah anaknya Hafsah yang menjadi isteri Nabi Muhammad s.a.w.Dia mendapati Hafsah menangis-nangis didalam biliknya. Dia bertanya:"Mengapa kamu menangis? Bukankah selama ini aku telah melarang kamu supaya jangan melakukan sesuatu yang mungkin menyinggung perasaan Nabi Muhammad s.a.w.?"
Kemudian dia berjalan kemasjid sekali lagi. Kelihatan olehnya beberapa orang sahabat sedang menangis berdekatan dengan mimbar.Disini dia duduk bersama-sama sahabat yang lainnya tetapi oleh kerana terlalu sedih dia bangun lalu berjalan kearah bilik Nabi Muhammad s.a.w. yang terletak ditingkat atas masjid itu. Dia mendapati Rabiah, seorang hamba, sedang menduduki tangga bilik itu. Melalui Rabiah, dia meminta izin hendak berjumpa dengan Nabi Muhammad s.a.w.
Nabi Muhammad s.a.w.tidak melahirkan sepatah katapun sebagai menjawab permintaannya. Permintaannya untuk menemui Nabi Muhammad s.a.w.dibuat beberapa kali dan hanya pada kali yang ketiga sahaja Nabi Muhammad s.a.w. mengizinkan dia naik. Apabila ia masuk, ia dapati Nabi Muhammad s.a.w. sedang berbaring diatas sekeping tikar yang diperbuat daripada daun pokok tamar. Kesan-kesan tikar itu jelas kelihatan berbekas dibadan Nabi Muhammad s.a.w.Berdekatan dengan Baginda s.a.w. terdapat sebuah bantal yang diperbuat daripada kulit binatang dan yang disumbat dengan kulit-kulit pohon tamar.
Umar r.a.hu bercerita:
"Saya menyampaikan salam kepadanya lalu bertanya: 'Sudahkah Tuan menceraikan isteri-isteri Tuan?" Baginda s.a.w. menafikan perkara itu. Saya merasa agak lega sedikit dan sambil berseloroh saya mengatakan:"Ya Rasulullah, kita kaum Quraish selamanya telah menguasai wanita-wanita kita tetapi keadaan berlainan sungguh dengan orang-orang Ansar. Mereka dikuasai wanita-wanita mereka sehingga wanita-wanita kita telah terpengaruh." Nabi Muhammad s.a.w.. tersenyum mendengar kata-kata saya yang agak lucu itu. Selepas itu saya memerhati keadaan didalam bilik itu. Saya lihat ada tiga keping kulit binatang yang telah disamak dan sedikit barli disuatu sudut. Selain dari itu tidak ada sesuatu apa pun. Saya lalu menangis. Nabi Muhammad s.a.w. bertanya:"Mengapa kamu menangis?" Saya menjawab:"Betapa tidak, Ya Rasulullah, saya sedih melihat bekas-bekas tikar yang Tuan tiduri dibadan Tuan dan sedih melihat keadaan bilik ini. Semuga Allah s.w.t. mengurniakan Tuan dengan bekalan-bekalan yang lebih banyak. Orang-orang Parsi dan Rumawi yang tidak menyembah Allah s.w.t. mempunyai raja yang mewah. Mereka hidup ditaman yang ditengah-tengahnya mengalir anak-anak sungai sedangkan Pesuruh Allah s.w.t. hidup didalam keadaan serba miskin."
Semasa saya mengeluarkan kata-kata tadi, Nabi Muhammad s.a.w.. sedang bersandar dibantal, Baginda s.a.w. lantas bangun dengan serta merta dan berkata:"Wahai Umar, nampaknya kamu masih didalam keraguan. Kesenangan dan keselesaan hidup yang bakal kita perolehi diakhirat nanti sudah tentu lebih baik daripada apa yang terdapat didunia ini. Kalau didunia ini mereka hidup senang dan mewah, keadaan akan berubah diakhirat kelak. Disana kita yang akan menikmati segala-galanya."Mendengar kata-kata Nabi Muhammad s.a.w.saya berasa kesal lalu berkata:"Ya Rasulullah, berdoalah kepada Allah s.w.t. agar Dia mengampuni saya. Saya telah bersalah didalam hal ini."
Seorang hamba Allah telah bertanya kepada Aishah mengenai tikar bantal Nabi Muhammad s.a.w. Jawab Aishah:"Ianya terdiri dari sebuah bantal yang diperbuat daripada kulit binatang yang diisikan dengan kulit-kulit pohon tamar." Soalan yang sama dikemukakan kepada Hafshah. Dia menjawab:"Ianya terdiri dari sehelai kain tarpal yang dilipat dua. Pada suatu hari, untuk memberi keselesaan kepada Nabi Muhammad s.a.w.saya telah menghamparkan kain itu berlipat empat. Pada esok paginya itu Nabi Muhammad s.a.w. bertanya:"Apakah yang awak hamparkan untuk saya malam tadi?" Saya menjawab:"Kain yang sama tetapi berlainan lipatannya." Nabi Muhammad s.a.w.berkata:"Lipatkannya seperti dahulu. Keselesaan yang bertambah itu akan menghalangkan Tahajjud."
Bilal telah ditanya mengenai perbelanjaan Nabi Muhammad s.a.w. Dia menjawab:"Baginda s.a.w tidak pernah menyimpan sesuatu untuk kegunaan pada masa depan. Sayalah yang menguruskan wang bagi pihaknya. Apabila datang seorang fakir yang sedang menderita kelaparan, orang itu akan diserahkannya kepada saya. Saya pun akan memenuhi keperluan orang itu dengan meminjamkan wang."
" Pada suatu hari datang seorang mushrik lalu berkata: "Wang saya terlampau banyak. Kalau kamu berkehendakkan wang datanglah berjumpa dengan saya. Janganlah meminjam dari orang lain."
"Saya berasa gembira dengan tawaran ini. Saya pun mulai meminjam wangnya untuk memenuhi keperluan Nabi Muhammad s.a.w. Pada suatu hari selepas mengambil wudhu, saya sedang bersiap-siap untuk berazan, tiba-tiba datang orang mushrik itu diikuti oleh beberapa orang lain. Dia memekik-mekik memanggil saya, apabila saya mendapatkannya, dia telah mengeluarkan kata-kata yang kesat terhadap saya.
Katanya: "Ada beberapa hari lagi dalam bulan ini?" Saya menjawab: "Bulan ini hampir genap." Dengan marahnya dia berkata: "Ada empat hari lagi untuk kamu menyelesaikan hutang-hutang kamu. Kalau kamu gagal menjelaskannya, aku akan jadikan kamu hambaku dan kamu terpaksa mengembala kambing seperti dahulu." Kemudian dia pun meninggalkan saya. Saya merasa sangat dukacita. Selepas sembahyang Isyak, apabila Nabi Muhammad s.a.w. duduk berseorangan, saya pun mendekati Baginda s.a.w.. Kata saya: "Ya Rasulullah ,Tuan tidak mempunyai sesuatu apa pun dan saya pula tidak dapat menguruskan pinjaman serta merta. Saya rasa si-mushrik itu akan memalukan saya. Oleh itu saya akan pergi dari sini sehingga saya mendapat wang untuk menjelaskan hutang saya itu."
Sekembali saya kerumah, saya mengemaskan pedang, perisai dan kasut kepunyaan saya kerana bersiap-siap untuk berpergian pada pagi esoknya. Hampir-hampir waktu Subuh datang seorang utusan Nabi Muhammad s.a.w. sambil berkata: "Lekas, Nabi Muhammad s.a.w. ingin berjumpa dengan engkau." Saya pun segeralah berangkat kemasjid. Disana saya dapati empat ekor unta yang sarat dengan bebanan. Kata Nabi Muhammad s.a.w.:"Ada berita gembira, wahai Bilal. Allah s.w.t. telah meyampaikan pengurniaanNya untuk menjelaskan hutangmu. Ambillah unta-unta ini serta muatan mereka. Barang-barang ini telah dihantar kemari sebagai hadiah untuk ku oleh puak Fidak." Saya mengucapkan syukur kepada Allah s.w.t. lalu menjelaskan semua hutang saya. Apabila saya balik kemasjid saya berkata kepada Nabi Muhammad s.a.w. :"Alhamdulillah, hutang saya telah pun dijelaskan Ya Rasulullah " Baginda s.a.w. bertanya sama ada masih ada yang tertinggal dan saya menjawab:"Ya Rasulullah," Baginda s.a.w. meminta saya habiskannya dan Baginda s.a.w. mengatakan yang Baginda s.a.w. tidak akan balik kerumah selagi barang tersebut masih ada."
Saya pun pergilah untuk membahagi-bahagikan baki barang-barang yang masih tinggal kepada fakir miskin. Selepas Isyak, Nabi Muhammad s.a.w. bertanya kalau-kalau masih ada lagi barang-barang itu. Saya menjawab mengatakan yang tidak ada lagi kerana terdapat ramai fakir miskin untuk dibahagi-bahagikan barang-barang tersebut. Pada malam itu Rasulullah s.a.w. tidur dimasjid. Esoknya itu,selepas Isyak, Rasulullah s.a.w. bertanya lagi tentang berang-barang itu.Saya berkata :"Ya, Allah telah memberkati Tuan dengan ketenteraman jiwa. Semua barang-barang itu telah saya habiskan. Nabi Muhammad s.a.w. pun memuji-muji Allah s.w.t. Pada malam itu barulah Baginda s.a.w balik kerumah. Nabi Muhammad s.a.w. tidak suka menghadapi maut selagi ada harta kekayaan ditangannya
Melalui kisah – kisah Nabi SAW yang dipaparkan di sini, sudah jelas menunjukkan kehidupan yang sempurna dan berkat yang harus diikuti dan di amalkan adalah dari kehidupan Rasullullah SAW sendiri. Amalan yang mulia dapat dinilai dan dilihat dari segala sudut dan aspek kehidupan. Moga kehidupan kita sebagai khalifah di dunia ini akan sentiasa di berkati dan di rahmati oleh yang Maha Kuasa Allah swt.
Wallahhualam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
as salam Mohon , bantuan wakaf dana anda
-
Tajdid dan Mujaddid Menurut KH Maimun Zubair Sarang Tajdid atau memperbaharui pemikiran Islam adalah sebuah tema yang selalu dibicarakan d...
-
Hari ini aku terpanggil nak meluahkan apa yang terbuku dalam hati aku. Minggu lepas, anak dara kesayangan aku telah dicabul. Aku tak nak cer...
-
As Salam, Apa nak jadi remaja Islam kita ......keruntuhan yang telah melampau ......anak tuan /puan/ sdr /sdri ..macam mana ......., tak...
No comments:
Post a Comment