Membicarakan mengenai permasalahan niat ini, saya suka merujuk kepada perbahasan fuqaha` contohnya al-Nawawi dalam al-Majmuk tentang kepentingan niat dalam ibadat dan kedudukannya.
Niat adalah syarat sah ibadat di sisi jumhur fuqaha di kalangan Syafi’iiyyah seperti al-Mawardi, al-Ghazali dan lain-lain. Pendapat ini juga adalah pandangan al-Zuhri, Rabi’ah, Malik, al-Laith bin Sa’ad, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan Abu Ubaied. Ini adalah berdasarkan ayat ke 5 surah al-Bayyainah yang bermaksud: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah
agama yang benar.”
Ikhlas adalah amalan hati, dan suruhan dalam ayat adalah suatu perintah yang bersifat wajib (yaqtadhi al-Wujub ). Dalam hadis pula Nabi saw bersabda maksudnya: Sesungguhnya setiap amalan itu dikira berdasarkan niat. – (Riwayat al-Bukhari dan Muslim ).
Niat seperti yang diperjelaskan al-Nawawi dalam al-Majmuk, tempatnya adalah di hati, kerana niat itu adalah qasad. Sekiranya dilafazkan maka ia lebih utama (afdal). Lafaz yang dimaksudkan itu adalah apa yang diucapkan dengan makna yang selari dengan suatu yang disematkan di dalam hati itu.
Maka di sini timbullah persoalan, apakah ucapan “Aku angkat hadas kecil” atau “aku ambil wuduk” itu adalah niat ataupun lafaz. Begitu juga dengan soalan kedua yang berkaitan dengan “Aku solat fardu Jumaat dua rakaat makmum Lillahitaala.” Lafaz ini dalam bahasa Arabnya diungkapkan sebagai “Usalli fardhal jum’ati...”
Perkara ini telah menyebabkan timbul polemik dalam masyarakat antara yang menjadikan lafaz itu agar dilakukan serentak dengan niat sebagai syarat sahnya solat. Di pihak yang lain pula ada yang mengatakan memadai untuk mengangkat takbir tanpa perlu dilafazkan.
Lafaz usalli untuk solat ataupun nawaitu untuk ibadat yang lain sebenarnya dibincangkan oleh kalangan fuqaha` sebagai Talaffuz binniyat. Talaffuz binniyyat ataupun melafazkan niat ini bukanlah sebahagian dari ibadat itu sebenarnya. Ia tidak mengurangi ataupun melebihi ibadat yang diniatkan itu. Ini disebabkan ia berada di luar ibadat itu sama ada wuduk ataupun solat.
Bagaimanapun melafazkan niat ini adalah suatu perkara mustahab atau dengan istilah lain suatu yang sunat. Menurut kitab fiqh mutaakhir Syafi’iy, illatnya adalah supaya membantu hati untuk menjadi lebih fokus.
Perkara ini selalu berlaku dalam kehidupan contohnya penjual buah-buahan akan menghitung buah-buahannya dengan lafaz untuk membantu hati, malahan kadang-kadang disertai hitungan itu dengan irama nyanyian.
Tujuan melafazkan itu adalah agar niat itu lebih mudah tersemat dalam hati. Sebagai tambahan melafazkan niat termasuk dalam salah satu amalan lidah. Setiap amalan yang terbit dari pengucapan seseorang mukallaf itu pula sentiasa ditulis oleh malaikat. Perkataan yang baik ditulis sebagai kebaikan. Demikian pula sebaliknya kata jahat menyebabkan seseorang itu dikira berdosa. Firman Allah SWT dalam surah Qaf, ayat 18, maksudnya: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).
Bertitik tolak dari sini anda dapat melihat kepentingan lafaz agar diselaraskan dengan apa yang tersemat dalam hati kerana peranan lafaz itu adalah untuk mengukuhkan niat yang terdapat telahpun ada dalam hati seseorang itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
as salam Mohon , bantuan wakaf dana anda
-
As Salam, Apa nak jadi remaja Islam kita ......keruntuhan yang telah melampau ......anak tuan /puan/ sdr /sdri ..macam mana ......., tak...
-
Tajdid dan Mujaddid Menurut KH Maimun Zubair Sarang Tajdid atau memperbaharui pemikiran Islam adalah sebuah tema yang selalu dibicarakan d...
-
Hari ini aku terpanggil nak meluahkan apa yang terbuku dalam hati aku. Minggu lepas, anak dara kesayangan aku telah dicabul. Aku tak nak cer...
No comments:
Post a Comment