Lirik nasyid ‘malar segar’ (evergreen) “Sepohon Kayu” ada menyebut:
Sepohon kayu, daunnya rimbun
Lebat bunganya serta buahnya
Walaupun hidup seribu tahun
Kalau tak sembahyang apa gunanya
Kami bekerja sehari-hari
Untuk belanja rumah sendiri
Walaupun hidup seribu tahun
Kalau tak sembahyang apa gunanya
Kami sembahyang fardu sembahyang
Sunatpun ada bukan sembarang
Supaya Allah menjadi sayang
Kami bekerja hatilah riang
Kami sembahyang limalah waktu
Siang dan malam sudahlah tentu
Hidup dikubur yatim piatu
Tinggallah seorang dipukul dipalu
Dipukul dipalu sehari-hari
Barulah dia sedarkan diri
Hidup didunia tiada bererti
Akhirat di sana sangatlah rugi
Rangkap pertama dan kedua menyentuh tentang nilai solat dalam kehidupan Muslim. Solat adalah tiang agama dan rukun Islam yang kedua. Sebagai analoginya, tiada sebuah bangunan atau menara yang tinggi yang dibina tanpa tiang cerucuknya. Tiang cerucuk inilah yang mendokong binaan yang tinggi tersebut supaya mantap dan kukuh. Begitulah dalam kehidupan Muslim, walau setinggi manapun pencapaian kita dalam kehidupan ini, tanpa solat, pencapaian tersebut terlalu rapuh dan tidak bernilai di sisi Allah.
Rangkap yang ketiga menghuraikan tentang “untung” orang-orang yang menunaikan solat. Orang yang sentiasa menunaikan solat sentiasa berada dalam keadaan tenang walaupun ketika ditimpa musibah, dimurahkan rezeki daripada pelbagai sudut, wajahnya menampakkan ‘seri’, doanya mudah dimustajabkan, dipermudahkan saat sakaratul maut dan banyak lagi. Orang yang melaksanakan solat sentiasa merasa tenang kerana hutangnya dengan Allah telah dilangsaikan sebaik-baiknya.
Dua rangkap yang terakhir mengingatkan kita kepada azab yang menanti golongan yang melalaikan perintah solat. Orang yang meninggalkan solat bukan sekadar jauh daripada rahmat dan barakah di dunia tetapi juga merana di alam barzakh (alam kubur) dan juga ketika Hari Pembalasan.
Kesimpulannya lirik-lirik seperti ini memang sesuai untuk dihafal. Walaubagaimanapun, yang lebih penting, selain menghafal ambillah pengajaran yang disampaikan melalui lirik tersebut. Sebaiknya, tak perlulah menghafal lirik yang kosong nilai pengajarannya.
No comments:
Post a Comment