Pendahuluan
Allah SWT telah mengingatkan kepada kita tentang kecenderungan manusia kepada kejahatan menerusi ayat 7-8 surah as-Syams bermaksud : Dan jiwa (hati manusia) serta kesempurnaan penciptaannya. Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaan.
Jelas dalam ayat di atas, Allah SWT menegaskan bahawa hati manusia terlebih dahulu cenderung kepada perkara yang jahat dan kemudian baru menoleh kepada yang baik (takwa), setelah mengharungi dan tenggelam dalam perkara yang boleh menjatuhkan manusia pada kancah kehinaan, tetapi dia boleh dianggap bernasib baik kerana beralih kepada yang baik, berbanding dengan mereka yang terus berada dalam maksiat dengan menentang Allah SWT dalam pelbagai bentuk dan sifatnya.
Benarlah, bahawa fenomena keruntuhan iman apabila tidak dibaja dan dipelihara setiap hari dengan ilmu, pembacaan al-Quran, zikir atau wirid, ia akan mendatangkan masalah kepada orang tertentu, kerana iman boleh turun dan boleh naik, masyarakat umat Islam hari lebih cenderung melihat iman mereka turun dan merundum jatuh bagaikan pasaran saham di papan utama Bursa Malaysia.
Masalah pembuangan bayi orang Islam secara terbuka seperti yang dilaporkan oleh media cetak baru-baru semakin berleluasa, pecah amanah tabung haji, penghinaan terhadap baginda Rasulullah s.a.w serta para isterinya, penganjuran konsert dengan menampilkan individu artis yang kontroversi dari dalam dan luar negara, penganjuran pelbagai majlis anugerah bintang popular dan penyanyi dengan penampilan pakaian artis wanita yang separa telanjang di bulan Muharram yang menganjurkan kita supaya berhijrah dan terlalu banyak lagi yang tidak mampu untuk menjelaskan kesemuanya, adalah menunjukkan keruntuhan iman, harga diri, minda yang begitu cetek terhadap agama Islam itu sendiri, sedangkan Islam seperti yang diketahui umum, adalah satu-satunya agama yang diperakui oleh Allah SWT.
Justeru, para alim ulama’ telah membahaskan isu berkenaan menerusi forum agama dalam laman web islamonline.net, islam-qa.com, islamweb.net dan pelbagai yang lain, ia bertujuan untuk menyelamatkan umat Islam dari menjadi mangsa keruntuhan iman yang semakin meruncing, mereka telah membahagikan perbincangan keruntuhan iman itu kepada tiga bahagian :
Pertama: Fenomena keruntuhan iman.
Kedua: Faktor-faktor yang menyumbang kepada keruntuhan iman.
Ketiga: Penyelesaian kepada keruntuhan iman.
Fenomena keruntuhan iman
1- Kekal dalam melakukan maksiat kepada Allah, walaupun ia dianggap kecil.
2- Tidak memelihara diri dari melakukan ketaatan kepada Allah.
3- Hati tidak terkesan atau berbekas dengan ayat-ayat al-Quran.
4- Tidak merasakan hati menjadi keras apabila terjebak dalam perkara yang menentang Allah.
5- Lalai dari berzikir atau mengingati Allah kerana tenggelam dalam hiburan yang mengasyikkan.
6- Tidak memberikan tumpuan sepenuhnya dalam melakukan amal-amal ibadat.
7- Tidak bersikap lapang dada.
8- Bersikap kedekut atau bakhil.
9- Tidak suka bersahabat dengan mereka yang boleh membimbing ke jalan kebenaran.
10- Tiada perasaan marah dalam hati apabila melihat perkara keji dan mungkar berlaku di hadapan mata tanpa diubah kepada kebaikan.
11- Suka, cenderung dan gila kepada kemasyhuran, jawatan dan pengaruh walaupun tidak berkelayakan.
12- Suka duduk bersembang dengan membuang masa pada perkara yang tidak sedikitpun menguntungkan agama, negara, keluarga dan masyarakat.
13- Bercakap pada perkara yang tidak boleh dilakukannya, kerana ada sifat berpura-pura dalam diri.
14- Tidak mengambil berat/tahu mengenai urusan orang Islam dengan tidak merasa duka cita apabila mereka ditimpa sesuatu musibah dan tidak merasa gembira apabila mereka mendapat kebaikan.
15- Terlibat dalam perkara syubhat (samar mengenai halal dan haramnya) dan perkara yang membawa kepada dosa.
16- Tidak mempedulikan perkara yang baik-baik (yang diberi pahala) walaupun ia kecil pada pandangan manusia.
17- Tidak menjaga keutuhan perpaduan sesama muslim, sedangkan ia adalah tuntutan agama.
18- Tidak ada perasaan tanggungjawab dan bersungguh-sungguh dalam sesuatu urusan pekerjaan yang boleh menguntungkan agama.
19- Rasa takut, terkejut dan menggelabah apabila berlaku sesuatu bencana.
20- Banyak terlibat dalam pertikaian dan suka berbantah-bantahan pada perkara yang tidak memberi manfaat untuk semua.
21- Hati terpaut pada dunia dan segala yang melalaikan.
Tetapi, apakah yang sebenarnya berlaku hingga umat Islam tidak menyedari terlibat secara langsung atau tidak langsung, apakah faktor yang menjadikan mereka tidak peka pada persoalan yang dikemukakan di atas.
Faktor-faktor yang menyumbang kepada keruntuhan iman
1- Jauh dari ikatan iman yang berpanjangan.
2- Jauh dari ikutan contoh teladan yang baik-baik.
3- Tidak ikut serta dan berada dalam kelas-kelas pengajian agama, kelas al-Quran, hadis, sirah, program motivasi dan lain-lain yang boleh mengingatkan diri terhadap tanggungjawab kepada Allah.
4- Berlaku maksiat di tengah-tengah masyarakat yang tidak diubah dengan perkara makruf.
5- Sibuk dengan urusan keluarga dengan mencari keredaan isteri, anak-anak dan harta-benda hingga tidak sanggup berkorban untuk agama.
6- Panjang cita-cita terhadap perkara dunia dan lupa jalan ke akhirat.
7- Boros dalam perkara makan-minum, tidur yang berlebihan, berjaga malam bukan untuk beribadat, bersembang pada perkara yang sia-sia dan bergaulk secara bebas antara lelaki dan perempuan.
Penyelesaian kepada keruntuhan iman
1- Meneliti dengan mendalam dan terperinci isi-isi kandungan al-Quran secara serius.
2- Merasakan keagungan Allah selaku Pencipta dalam menghayati dan mengenali nama-nama dan sifat-sifat,Nya.
3- Menuntut ilmu Syariat, Usuluddin secara bersungguh-sungguh.
4- Banyak melakukan perkara yang baik-baik dan mengisi waktu untuk tujuan itu, walaupun ia dianggap kecil menurut pandangan manusia.
5- Berterusan dalam melakukan amal-amal yang baik, walaupun ia sedikit.
6- Menyesali diri kerana kurang melakukan perkara baik dan bercita-cita untuk melakukannya pada masa akan datang.
7- Sentiasa mengharapkan rahmat Allah, optimis bahawa setiap amalan yang telah dilakukannya diterima di sisi-Nya dan takut ia ditolak dan dianggap sebagai amal yang sia-sia.
8- Mempelbagai dan memperbanyakkan amalan selain solat, puasa, haji dan lain-lain yang boleh menambahkan iman dan takwa kepada Allah SWT.
9- Berwaspada dengan amalan songsang yang tidak memungkinkan mati dalam Islam.
10- Memperbanyakkan penelitian terhadap ayat-ayat al-Quran yang bersangkutan dengan ciptaan-ciptaan Allah seperti langit, bumi, manusia, malam, siang dan lain-lain.
11-Bermunajat kepada Allah dengan segala rendah diri, mengurangkan cita-cita, tidak terpedaya dengan janji dan habuan dunia yang melalaikan, mengagungkan kebesaran Allah pada setiap bahan ciptaan-Nya.
Tingkatan pembahagian iman
*Iman yang tetap ialah iman para malaikat kerana mereka tiada disertakan dengan nafsu.
*Iman yang turun naik ialah iman manusia biasa yang mudah terdorong oleh hawa nafsu.
*Iman yang sentiasa naik ialah iman para nabi iaitu manusia pilihan yang di tarbiah oleh Allah secara langsung.
Iman kita juga boleh diperbaharui dari masa ke semasa. Jika iman menjadi "baru" nescaya kita akan menjaganya sebaik mungkin dan meletakkannya di tempat yang paling istimewa.
Umat Islam hari ini ada potensi untuk menjadi umat yang kuat imannya kepada Allah
Al-Marhum Syeikh Sa’id Hawwa dalam kitabnya “Al-Asas Fi al-Tafsir” juzuk 2 ketika menafsirkan surah ~Ali ‘Imran, ada menukilkan riwayat mafhumnya, bahawa Rasulullah s.a.w menerusi satu hadisnya pernah bertanya kepada para sahabat dalam satu majlis ilmu : Siapakah agak-agaknya di antara makhluk Allah yang paling kamu kagum iman mereka kepada Allah?
Para sahabat menjawab : Para Malaikat, tidak kata Rasulullah, kerana mereka adalah golongan yang sentiasa bersedia untuk melakukan segala perintah Allah dan meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya, kalau begitu wahai Rasulullah, mereka itu ialah para Anbiya’ (nabi-nabi), tidak juga, kerana para Anbiya’ dianugerahkan Allah kitab-kitab atau suhuf-suhuf (lembaran-lembaran agama) dan mereka juga adalah golongan yang maksum (terpelihara dari membuat dosa), jadi kalu begitu kamilah wahai Rasulullah, tidak juga, kerana kamu boleh jadi orang-orang yang beriman kerana aku berada bersama dengan kamu, yang sebenarnya kata baginda, makhluk yang aku maksudkan itu ialah mereka yang akan datang (lahir) selepas kamu (mereka yang hidup tanpa melihat baginda Rasulullah kerana kewafatannya), kerana mereka boleh berpegang dengan al-Quran dan jadi orang-orang yang beriman walaupun aku tiada di sisi mereka.
Dalam satu riwayat hadis yang lain pula, baginda ada menegaskan, bahawa; Beruntunglah mereka yang melihat aku dan beriman kepadaku (Nabi hanya mengungkapkan sekali sahaja), dan beruntunglah mereka yang tidak melihat aku dan boleh beriman kepadaku, (baginda mengungkapkan ucapan itu hingga diulang sebanyak tujuh kali).
Saudara-saudaraku sekelian!
Iman yang ada di dalam hati kita itu, akan terus diperbaharui apabila kita berhasrat untuk melakukan reformasi perubahan dalam diri iaitu ingin menjadi hamba Allah yang terbaik dalam pelbagai aspek kehidupan, ia boleh dilakukan dengan perubahan sikap, seterusnya akan sampai kepada satu tahap kemuncaknya iaitu peningkatan, meningkat iman, kefahaman, cara berfikir, bertindak yang akhirnya melonjaknya diri kita sebagai umat yang mampu menyuruh manusia seluruhnya kepada yang makruf dan mencegah mereka daripada melakukan mungkar seperti membunuh, memfitnah, memberi dan menerima rasuah dan lain-lain.
Wallhu ‘Alam.
Friday, July 10, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
as salam Mohon , bantuan wakaf dana anda
-
As Salam, Apa nak jadi remaja Islam kita ......keruntuhan yang telah melampau ......anak tuan /puan/ sdr /sdri ..macam mana ......., tak...
-
Tajdid dan Mujaddid Menurut KH Maimun Zubair Sarang Tajdid atau memperbaharui pemikiran Islam adalah sebuah tema yang selalu dibicarakan d...
-
Hari ini aku terpanggil nak meluahkan apa yang terbuku dalam hati aku. Minggu lepas, anak dara kesayangan aku telah dicabul. Aku tak nak cer...
No comments:
Post a Comment