Monday, July 06, 2009

Tiba-tiba Kaabah muncul..

Tiba-tiba Kaabah muncul..


PINTU ditutup, bas bergerak perlahan-lahan meninggalkan Lapangan Terbang Mekah menuju ke Farah Hotel. Haji Hasbullah, mutawifkami di Tanah Suci mencapai pembesar suara dan berdiri, mengucapkan ahlan wasahlan kepada jemaah.
"Macam mana dengan Mesir, seronok tak?" soalnya selepas memberi penerangan sekali lagi tentang ibadah umrah, Mekah, Madinah dan sebagainya.
"Seronooooook!" serentak jemaah menjawab.
"Mana tak seronok, dapat jumpa Firaun," celah seorang lelaki yang duduk di belakang sekali. Lalu berderailah ketawa.
Haji Hasbullah pun turut ketawa dan sesekali mengusik jemaah. Dia tahu, mereka masih letih selepas empat hari melawat
Mesir, apa salahnya diusik sedikit. Lagipun keseronokan melancong masih terasa.

"Tapi tuan-tuan jangan pulak terlupa," sambung Haji Hasbullah, "sekarang kita nak buat ibadah. Lupakan pasal Firaun, bazar, Laut Mediterranean, pantai Alexandaria, tumpukan pada umrah. Ingat segala syarat, rukun dan pantang larangnya."
Selepas mereka masuk ke bilik hotel masing-masing, Haji Hasbullah yang sedang menyudahkan kerjanya di lobi hotel, didatangi seorang jemaah. Melihat kesegakannya, Haji Hasbullah yakin ini-lah VIP seperti yang telah dimaklumkan kepadanya.
"Datuk Bahar ke ni?" tanya Haji Hasbullah selepas menyambut salam jemaah berkenaan.
Lelaki itu mengangguk, senyuman terukir di wajahnya.
"Nak pergi mana, Datuk?" soal Haji Hasbullah lagi.
"Masjid," jawab lelaki tersebut, ringkas.

Haji Hasbullah terkejut. Bukankah baru saja sampai, eloklah berehat-rehat dulu. Nanti sesat atau terjadi apa-apa, susah. Kalau nak keluar, eloklah dengan jemaah-jemaah lain, fikirnya. "Tak apa, haji tak perlu risau, saya dah 17 kali ke sini," jawab Datuk Bahar dengan bangga, seperti dapat membaca apa yang bergolak dalam fikiran Haji Hasbullah.
"Kalau macam tu, tak apalah," balas Haji Hasbullah lalu memberi serba sedikit panduan supaya Datuk Bahar tidak tersesat.
Dengan berseorangan diri, Datuk Bahar yang mempunyai Ph.D dalam bidang ekonomi dan menetap di utara tanah air itu, masuk ke Masjidilharam dan bersolat.

Namun sebaik kakinya mencecah kawasan lapangan tawaf, langkah Datuk Bahar terhenti. Dipejamcelikkan matanya berkali-kali. Kemudian dia menoleh ke belakang, kiri dan kanan sebelum memandang ke depan semula.
"Mimpi ke aku ni?" Datuk Bahar meraup mukanya yang pucat lesi. Tapi tiada perubahan. Jantung lelaki itu berdegup kencang.
Apa dah jadi ni? Bibirnya menggeletar. Datuk Bahar panik dengan apa yang berlaku. Sudan 17 kali ke Tanah Suci untuk umrah dan haji, tapi inilah kali pertama dia melihat lapangan tawaf lengang, tiada seorang jemaah pun. Malah Baitullah pun lenyap sama sekali.
"Eh, takkan tak ada orang? Aku salah tempat ke ni?" Datuk Bahar bertambah panik.

Dia masih berdiri, seluruh badan menggeletar. Dipandangnya ke belakang, jemaah penuh sesak, bersolat, berjalan, berdoa dan ada yang melangkah untuk meninggalkan masjid. Begitu juga di kiri dan kanan, tapi di depan..,?
"Ya Allah, apa dah jadi niiiii?" Datuk Bahar semakin kalut, lapangan tawaf tetap kosong biarpun selepas matanya di-genyeh berkali-kali.
Setitis air gugur ke pipinya. Dikesat air mata itu, kemudian digosok-gosok kedua-dua belah matanya. Namun harapan supaya keadaan kembali normal hampa belaka. Baitullah tiada di tempat-nya. Suasana di hadapan sunyi sepi.
Kaki Datuk Bahar kaku, tidak mampu bergerak. Dia tidak tahu apa yang hendak dibuat selain menekup muka dan menangis. "Kenapa jadi macam ni? Kenapaaaa?" tapi jeritan itu tersekat di kerongkong.

Air matanya tidak dapat disekat lagi. Kaki yang tadi begitu gagah melangkah terasa longlai. Sekelilingnya bagai berputar ligat, ligat dan ligat. Datuk Bahar merasa terlalu kerdil, jauh terpencil di alam lain.
Sambil menangis Datuk Bahar memikir-mikir ujian apakah yang sedang dilaluinya itu. Apakah dosanya? Adakah kerana rasuah? Mengkhianati kawan? Mengambil harta awam? Kenapa? Kenapaaaa?!!!

Detik-detik yang berlalu itu terasa begitu perit untuk ditanggungnya. Langsung tidak dihiraukan jemaah yang lalu-lalang dan memandangnya berdiri sambil menangis tersedu-sedu. Seorang dua jemaah terlanggar dan meminta maaf, tapi Datuk Bahar masih tetap berdiri dan menekup muka menahan air mata yang tidak henti-henti mengalir.

Selama kira-kira 10 minit Datuk Bahar begitu, hinggalah tiba-tiba terlintas sesuatu di fikirannya!

Serentak itu Datuk Bahar memohon ampun kepada Ilahi dan beristighfar.
Sebaik membuka mata,dia ternganga... Baitullah tersergam gagah di hadapannya, dikelilingi oleh ribuan manusia! Kaabah muncul semula, Kaabah muncul semulaaaa!
Makin pantas air matanya mengalir, kali ini kerana syukur dan menginsafi kebesaran Allah. Dengan pipi yang masih basah, Datuk Bahar melangkah pantas ke Kaabah, bertawaf dan memohon keampunan Yang Maha Esa.

Sekembalinya rombongan itu ke tanah air selepas menyudahkan ibadah umrah, saya berjumpa dengan Datuk Bahar. Kami bertanya khabar, dan sebagai pengendali pakej, tentu sekali saya bertanya keadaan semasa di Mesir dan umrah. Adakah dia berpuas hati dengan perkhidmatan kami?
Datuk Bahar angkat ibu jari, "Memang bagus. Kalau ada rezeki saya akan ikut syarikat ni lagi," katanya dengan gelak ketawa.

Cuma, kata Datuk Bahar, ada satu perkara yang hendak diberitatahu, iaitu perihal jemaah dan Baitullah lenyap daripada pandangannya sebaik memijak lapangan tawaf. Lantas dia memulakan ceritanya...
"Habis tu, macam mana boleh nampak balik?" soal saya, tak sabar hendak mengetahui penghujung kisah tersebut.
"Begini, dalam pada menangis memikirkan apakah agaknya kesilapan yang telah saya lakukan hingga diuji sedemikian rupa, tiba-tiba terlintas kenangan semasa melancong ke Mesir.

"Haji pun tau, kami dari Malaysia dua kumpulan. Satu kumpulan melancong saja, kemudian balik. Saya dan 20-30 orang lagi, lepas lawat Mesir sambung buat umrah.
"Masa di Mesir, kumpulan kami diingatkan oleh ketua rombongan supaya jaga tingkah laku, jangan buat benda-benda yang tak senonoh.
"Tapi faham-faham ajalah, bila dah sampai tempat orang mulalah panjang kaki. Tanpa pengetahuan ketua rombongan, saya dan dua tiga orang kawan lagi buat pakej sendiri'... naik feri menyusuri Sungai Nil.
"Tuan haji faham kan tujuan kami tu?" soalnya.
"Ha ha ha, saya faham. Orang lelakilah katakan," sambut saya sambil ketawa.
"Bukan main seronok lagi saya tengok penari gelek. Dah nama pun lelaki, lupalah dunia kejap bila tengok perempuan cantik pakai baju ketat macam nak terkeluar &#&%!

"Sudahlah cantik, langsing, seksi, tariannya pula... ruuuhh! Kalau boleh saya nak menari sekali. Saya bertepuk tangan sampai tak ingat anak bini di rumah. Lupa terus pesanan ketua rombongan supaya kami jaga ringkah laku, jaga kaki, jaga tangan, jaga telinga, jaga mata.

"Saya tengok tubuh penari tu atas bawah. Terbayanglah macam-macam dalam kepala.
Bila pandang tubuhnya yang putih dan gebu, saya berkata dalam hati, alangkah indahnya dunia ini kalau saya dapat habiskan masa dengannya. Alangkah syoknya kalau penari itu menari hanya untuk saya seorang. Kejelitaan dan keseksiannya sesekali terbayang di mata walaupun selepas kami sampai ke Tanah Suci.

"Bila saya teringat kembali perangai masa di Mesir itulah saya tersedar. Saya yakin, kerana kejahatan mata saya itulah maka Allah hilangkan Baitullah serta manusia yang mengelilinginya, daripada pandangan saya.
"Saya beristighfar banyak-banyak dan memohon keampunan Allah. Ajaibnya, bila saya buka mata semula, semuanya berubah... Kaabah cuma beberapa puluh meter dari saya, dikelilingi ribuan manusia!"

Kawan-kawan yang ikut naik feri dan menonton tarian gelek, macam mana, tanya saya.
"Ooo... mereka kumpulan yang satu lagi, tak buat umrah," jawab Datuk Bahar.
Dengan perlahan Datuk Bahar berkata, "Ji... apa yang berlaku itu memang pelik. Saya insaf, perbuatan kita ini walau sekecil zarah pun takkan terlepas daripada pandangan Allah."

Catatan: Hj. Zainal Abidin Hj. Yusof, Eksekutif Zahafiz Group Sdn. Bhd

No comments:

MAHAR BERUPA HAFALAN SURAH AN-NUR

Ketika Wanita Palestin Ini Sign Sijil Nikah. Pengantin Lelaki Tutup Muka. Ini Puncanya Buat Ramai TERDUDUK Pernah viral gambar akad nik...