ZINA merupakan kejahatan yang sangat besar yang memberi kesan
amat buruk kepada penzina itu sendiri, khususnya dan kepada seluruh umat amnya.
Di zaman sekarang di mana banyaknya saluran dan media yang berusaha menyeret
kearah perbuatan keji ini, maka amat perlu untuk setiap orang mengetahui bahaya
dan akibat buruk yang timbul dari dosa zina. Kita semua hendaklah lebih
berhati-hati dan berwaspada agar tidak terjerumus, hatta, walaupun hanya
mendekatinya.
Di antara akibat buruk dan bahaya
tersebut adalah :
1- Dalam zina terkumpul bermacam-macam dosa dan keburukan
yakni berkurangnya agama si penzina, hilangnya sikap wara’ (menjaga diri dari
dosa), buruk keperibadian dan hilangnya rasa cemburu.
2- Zina membunuh rasa malu, padahal dalam Islam malu merupakan
suatu hal yang amat diambil berat dan perhiasan yang sangat indah khasnya bagi
wanita.
3- Menjadikan wajah pelakunya muram dan gelap.
4- Membuat hati menjadi gelap dan mematikan sinarnya.
5- Menjadikan pelakunya selalu dalam kemiskinan atau merasa
demikian sehingga tidak pernah merasa cukup dengan apa yang diterimanya.
6- Akan menghilangkan kehormatan pelakunya dan jatuh
martabatnya baik di hadapan Allah mahupun sesama manusia.
7- Allah akan mencampakkan sifat liar di hati penzina,
sehingga pandangan matanya liar dan tidak terkawal.
8- Pezina akan dipandang oleh manusia dengan pandangan mual
dan tidak percaya.
9- Zina mengeluarkan bau busuk yang mampu dihidu oleh
orang-orang yang memiliki ‘qalbun salim’ (hati yang bersih) melalui mulut atau
badannya.
10- Kesempitan hati dan dada selalu meliputi para pezina. Apa
yang ia dapati dalam kehidupan ini adalah sebalik dari apa yang diingininya.
Ini adalah kerana, orang yang mencari kenikmatan hidup dengan cara bermaksiat
kepada Allah maka Allah akan memberikan yang sebaliknya dari apa yang dia
inginkan, dan Allah tidak menjadikan maksiat sebagai jalan untuk mendapatkan
kebaikan dan kebahagiaan.
11- Penzina telah mengharamkan dirinya untuk mendapat bidadari
yang jelita di syurga kelak.
12- Perzinaan menyeret kepada terputusnya hubungan
silaturrahim, derhaka kepada orang tua, pekerjaan haram, berbuat zalim, serta
menyia-nyiakan keluarga dan keturunan. Bahkan boleh membawa kepada pertumpahan
darah dan sihir serta dosa-dosa besar yang lain. Zina biasanya berkait dengan
dosa dan maksiat yang lain sebelum atau bila berlakunya dan selepas itu
biasanya akan melahirkan kemaksiatan yang lain pula.
13- Zina menghilangkan harga diri pelakunya dan merosakkan masa
depannya di samping meninggalkan aib yang berpanjangan bukan sahaja kepada pelakunya
malah kepada seluruh keluarganya.
14- Aib yang dicontengkan kepada pelaku zina lebih membekas dan
mendalam daripada asakan akidah kafir, misalnya, kerana orang kafir yang
memeluk Islam selesailah persoalannya, namun dosa zina akan benar-benar membekas
dalam jiwa kerana walaupun akhirnya pelaku zina itu bertaubat dan membersihkan
diri dia akan masih merasa berbeza dengan orang yang tidak pernah melakukannya.
15- Jika wanita yang berzina hamil dan untuk menutupi aibnya ia
mengugurkan kandungannya itu maka dia telah berzina dan juga telah membunuh
jiwa yang tidak berdosa . Jika dia ialah seorang wanita yang telah bersuami dan
melakukan kecurangan sehingga hamil dan membiarkan anak itu lahir maka dia
telah memasukkan orang asing dalam keluarganya dan keluarga suaminya sehingga
anak itu mendapat hak warisan mereka tanpa disedari siapa dia sebenarnya. Amat
mengerikan, naudzubillah min dzalik.
16- Perzinaan akan melahirkan generasi individu-individu yang
tidak ada asal keturunan (nasab). Di mata masyarakat mereka tidak memiliki
status sosial yang jelas.
17- Pezina laki-laki bererti telah menodai kesucian dan
kehormatan wanita.
18- Zina dapat menyemai permusuhan dan menyalakan api dendam
antara keluarga wanita dengan lelaki yang telah berzina dengannya.
19- Perzinaan sangat mempengaruhi jiwa kaum keluarganya di mana
mereka akan merasa jatuh martabat di mata masyarakat, sehingga kadang-kadang
menyebabkan mereka tidak berani untuk mengangkat muka di hadapan orang lain.
20- Perzinaan menyebabkan menularnya penyakit-penyakit
berbahaya seperti aids, siphilis, dan gonorhea atau kencing bernanah.
21- Perzinaan menjadikan sebab hancurnya suatu masyarakat yakni
mereka semua akan dimusnahkan oleh Allah akibat dosa zina yang tersebar dan
yang dilakukan secara terang-terangan.
Hukuman Zina
Demikianlah
besarnya bahaya dosa zina, sehingga Ibnul Qayyim, ketika mengulas tentang
hukuman bagi penzina, berkata: “Allah telah mengkhususkan hadd (hukuman)
bagi pelaku zina dengan tiga kekhususan iaitu:
Pertama, hukuman mati secara hina (rejam) bagi pezina kemudian
diringankan (bagi yang belum nikah) dengan dua jenis hukuman, hukuman fizikal
yakni dirotan seratus kali dan hukuman mental dengan diasingkan selama satu
tahun.
Kedua, Allah secara khusus menyebutkan larangan merasa kasihan
terhadap penzina. Umumnya sifat kasihan adalah diharuskankan bahkan Allah itu
Maha Pengasih namun rasa kasihan ini tidak boleh sehingga menghalang dari
menjalankan syariat Allah. Hal ini ditekankan kerana orang biasanya lebih
kasihan kepada penzina daripada pencuri, perompak, pemabuk dan sebagainya. Di
samping itu penzinaan boleh dilakukan oleh siapa sahaja termasuk orang kelas
atasan yang mempunyai kedudukan tinggi yang menyebabkan orang yang menjalankan
hukuman merasa enggan dan kasihan untuk menjalankan hukuman.
Ketiga, Allah memerintahkan agar pelaksanaan hukuman zina
disaksikan oleh orang-orang mukmin dengan maksud menjadi pengajaran dan
memberikan kesan positif bagi kebaikan umat.
Beberapa Perkara Penting Yang Perlu
Diperhatikan
1- Orang yang berzina dengan banyak pasangan lebih besar
dosanya daripada yang berzina hanya dengan satu orang, demikian juga orang yang
melakukanya berkali-kali dosanya lebih besar daripada yang melakukannya hanya
sekali.
2- Penzina yang berani melakukan maksiat ini dengan terang-terangan
lebih buruk daripada mereka yang melakukannya secara sembunyi-sembunyi.
3- Berzina dengan wanita yang bersuami lebih besar dosanya
daripada dengan wanita yang tidak bersuami kerana adanya unsur perbuatan zalim
(terhadap suami wanita), boleh menyalakan api permusuhan dan merosak keutuhan
rumah tangganya.
4- Berzina dengan jiran lebih besar dosanya daripada orang
yang jauh rumahnya.
5- Berzina dengan wanita yang sedang ditinggalkan suami kerana
perang (jihad) lebih besar dosanya daripada dengan wanita lain.
6- Berzina dengan wanita yang ada pertalian darah atau mahram
lebih jahat dan hina daripada dengan yang tidak ada hubungan mahram.
7- Ditinjau dari segi waktu maka berzina di bulan Ramadhan,
baik siangnya ataupun malamnya, lebih besar dosanya daripada waktu-waktu lain.
8- Kemudian dari segi tempat dilakukannya, maka berzina di
tempat-tempat suci dan mulia lebih besar dosanya deripada tempat yang lain.
9- Pezina muhson (yang sudah bersuami atau beristeri) lebih
hina daripada gadis atau jejaka, orang tua lebih buruk daripada pemuda, orang
alim lebih buruk daripada yang jahil dan orang yang berkemampuan (terutama dari
segi ekonomi) lebih buruk deripada orang fakir atau lemah.
Bertaubat
Bertaubat
ini bukan khusus hanya kepada penzina, bahkan kepada sesiapa sahaja yang
menunjukkan jalan untuk terjadinya zina, membantu dan memberi peluang kepada
pelakunya dan siapa saja yang ikut terlibat di dalamnya. Hendaknya mereka semua
segera kembali dan bertaubat dengan sungguh-sungguh, menyesali apa yang pernah
dilakukannya dan berusaha sekuat tenaga untuk tidak kembali melakukannya. Dan
yang paling penting adalah memutuskan hubungun dengan siapa sahaja dan apa
sahaja yang boleh menarik ke arah perbuatan keji tersebut. Dengan demikian
diharapkan Allah akan menerima taubat itu dan mengampuni segala dosa yang
pernah dilakukan, dan ingatlah, tidak ada istilah ‘putus asa’ dalam mencari
rahmat Allah.
Allah
berfirman, mafhumnya:
“Dan
juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan
tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan
yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa
melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya;” (Al-Furqaan 25:68)
“Akan
digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam
azab itu dengan menerima kehinaan,”
(Al-Furqaan 25:69)
“Kecuali
orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka
orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan
kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Furqaan 25:70)
Dipetik dari: Risalah Daarul Wathan judul Min
mafasid az-zina, karya Muhammad bin Ibrahim al
No comments:
Post a Comment