Oleh: Hasrizal Abdul Jamil
Lazimnya, saya tidak suka berkongsi tips. Malah saya sering berkata, untuk menilai satu-satu ceramah itu berasas atau tidak, lihatlah kepada tips. Jika ceramahnya penuh tips, maka ia adalah kosong tidak bermakna. Tips adalah buah. Manusia memang perlu kepada buah. Tetapi kita lebih membantu jika yang diberi adalah pokok yang menghasilkan buah. Tips tidak mungkin dapat dilakukan, jika pokok dan akarnya tiada.PETUA SENYUM UNTUK BAHAGIA
Mahu hidup bahagia, senyum setiap pagi.
Apakah manusia mampu senyum tanpa sebab?Apakah manusia boleh melemparkan senyuman sejati jika tujuan senyumnya tidak dapat dikenal pasti. Maka jika seseorang itu benar-benar mahu membahagiakan kehidupan seseorang, bantulah ia agar tersenyum sendiri. Senyum dari hati, yang bukan dibuat-buat tanpa erti. Tetapi hari ini saya ingin berkongsi petua. Petua yang diajar oleh guru-guru saya di Fitrah Perkasa. Petua ini petua segera, untuk cepat mengecap bahagia.Namanya “Ingat 2 Lupa 2″
INGAT 1
Ingatlah kebaikan orang kepada kita.Setiap kebaikan yang orang lakukan kepada kita, ingat-ingatkan selalu. Ia menerbitkan rasa betapa bertuahnya diri sering menerima kebaikan itu. Namun dalam banyak-banyak pihak yang memberikan kebaikan, ingatlah kebaikan Pihak yang paling berjasa kepada kita iaitulah ALLAH.Hitunglah betapa baiknya Allah kepada kita.Jika setiap hari kita balik bekerja, ada sejambak bunga di muka pintu, tidak teringinkah kita untuk kenal siapa pengirimnya? Tidak mahukah kita mengucapkan terima kasih kepadanya? Jika kita bertuah memiliki ibu bapa yang penyayang, isteri yang baik hati, suami yang luhur budi, anak-anak penyejuk mata dan hati, tidak teringinkah kita untuk mengetahui siapa Pengirim semua itu kepada kehidupan ini?LUPA 1Di samping mengingati kebaikan orang kepada kita, lupa-lupakanlah kebaikan yang pernah kita lakukan kepada sesiapa. Jangan diungkit-ungkit, jangan disebut-sebut. Apatah lagi dengan tujuan mahu menyakiti.“Hmm, kalau tidak kerana aku, tak berkubah masjid ini!” kata si sombong.
“Kan dulu aku pernah tolong engkau. Sekarang tibalah giliran untuk engkau menolong aku”, ungkit si dia.Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. (Al-Baqarah: 264)Dan jangan sekali-kali diungkit ibadah kita kepada-Nya.Segala-galanya terlalu halus, remeh dan kecil, jika dibandingkan dengan mana-mana nikmat yang pernah dikurniakan-Nya kepada diri ini.INGAT 2
Setelah bercakap tentang kebaikan, ada seperkara yang perlu diingat selalu.Ingat-ingatlah keburukan dan kesalahan yang pernah kita lakukan kepada manusia. Kenang selalu kesilapan kita pada tutur kata dan tingkah laku, jangan mudah dipadam dan dibiarkan pergi tanpa ada pelajaran yang diambil darinya.Kenangkan ia, ingatkan selalu.
Bukan untuk menyeksa diri, tetapi agar berhati-hati.Dalam banyak-banyak keburukan yang pernah kita lakukan kepada sesiapa, dosa dan kejahatan kita terhadap Allah itulah yang paling melata, setiap detik dan masa.Istighfar selalu… kenang-kenangkan salah kita kepada Dia.Sesungguhnya dosa yang paling merbahaya ialah apabila tiada rasa berdosa. Lupa pada segala jahat kita kepada-Nya, dek satu ujian yang ditimpakan-Nya ke atas kita. Ingat-ingatlah kekurangan diri ini, kesilapan dan kesalahan yang pernah dilakukan selama ini, bukan untuk menyeksa diri, tetapi agar berhati-hati.LUPA 2
Manakala keburukan dan kesalahan orang kepada kita, lupa-lupakanlah ia.Manusia yang paling tidak bahagia ialah manusia yang gagal memaafkan kesalahan orang terhadapnya. Berdendam siang dan malam, memikul beban sepanjang masa. Orang yang dimarahi sudah pun menyambung hidup gembira hati, kita yang gagal memaafkan dia, terus terseksa mengheret dirinya ke dalam diri, ke sudut mana sekali pun kita pergi.Deritanya hidup jika gagal memberi maaf, gagal melupakan salah orang kepada kita.
MENGAPA PERLU MEMBERI MAAF
Mengapa harus kita segera menjadi pemaaf?
Kerana kitalah hamba yang mendambakan maaf dan ampun dari-Nya.Kita hamba yang tak punya apa, sering berlaku dosa dan kurang pula tunduk taatnya. Maafkanlah manusia, agar Dia maafkan kita. "Oh Allah, sebelum kulelapkan mata ini, ku maafkan isteriku atas kesilapan dan kekurangan dirinya. Ku maafkan setiap salah dan silap anak-anakku dan ahli keluargaku. Ku maafkan setiap manusia yang berkata buruk di depan dan di belakangku"Semata-mata kerana aku dambakan ampunan-Mu.Siapa aku untuk berdendam sesama hamba, kerana al-Muntaqim, hanyalah Engkau, Tuhan Yang Esa lagi Perkasa.Maafkan aku, hamba yang berdosa.
Moga ada sinar bahagia, di hari muka.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
as salam Mohon , bantuan wakaf dana anda
-
Tajdid dan Mujaddid Menurut KH Maimun Zubair Sarang Tajdid atau memperbaharui pemikiran Islam adalah sebuah tema yang selalu dibicarakan d...
-
Hari ini aku terpanggil nak meluahkan apa yang terbuku dalam hati aku. Minggu lepas, anak dara kesayangan aku telah dicabul. Aku tak nak cer...
-
As Salam, Apa nak jadi remaja Islam kita ......keruntuhan yang telah melampau ......anak tuan /puan/ sdr /sdri ..macam mana ......., tak...
No comments:
Post a Comment