Tuesday, September 13, 2011

Berhati-hatilah Dengan Dunia

Al-Hasan Al Basri telah menulis kepada khalifah Umar ibn Abdul Aziz, katanya:

Maka sesungguhnya dunia itu adalah kampung persinggahan, bukan kampung yang kekal. Sesungguhnya Nabi Adam a.s diturunkan dari syurga ke dunia sebagai satu hukuman kepadanya. Maka awasilah dirimu wahai Amirul-mu'minin, kerana sesungguhnya bekalan yang kamu raih di dunia itu akan kamu tinggalkannya juga, segala kekayaan akhirnya akan memiskinkanmu, setiap masa ada sahaja mangsa yang terbunuh kerananya, akan terhina siapa yang membesarkannya, akan fakir siapa yang mengumpulkannya, ia seperti racun yang dimakan oleh orang yang tidak mengetahi, lalu ia mati.

Oleh itu hiduplah engkau di dalamnya seperti seorang pesakit yang cuba menyembuhkan lukanya, terpaksa berpantang sebentar kerana bimbang akan merderita panjang, ia terpaksa menanggung pahitnya ubat kerana takut lama menderita penyakit. Lantaran itu hendaklah awas dari dunia yang terkenal sebagai penipu pengeliru yang menghiaskan dirinya dengan penuh tipudayanya, yang selalu memfitnahkan ramai dengan perdayaannya dengan beraneka macam cita-cita serta memujuk rayu dengan kata bicaranya, dia adalah umpama pengantin yang menarik mata untuk memandangnya, melalaikan hati untuk mengingatkannya, semua jiwa terpesona kepadanya, dan dia pula amat benci kepada semua berkawan dengannya. Orang yang hidup sekarang tidak pernah mengambil tauladan dari orang yang terdahulu, yang terkemudian tidak mahu serik dari orang yang berlalu, dan orang ramai tidak mahu mendengar apa diberi tunjuk oleh si Arif yang mengenal Allah dengan sebenar-benar pengenalan. Orang yang mendapat dunia terus asyik dengan dunianya untuk memenuhi segala keperluannya, lalu dia terpedaya dan melewati batas, lupa dari hal mati kerana fikirannya terlena dengannya, sehingga tergelincir kakinya, maka amat besarlah kerugiannya dan banyak penyesalannya. Nanti apabila menghadapi sakaratul maut barulah terasa berat sakitnya, terasa luput banyak amalannya, dia kira dapat menebus dirinya dengan apa yang ditinggalkannya dari dunia, tetapi semua itu adalah sesia belaka, lalu tentulah dia akan menghadapi hal-hal yang sangat menyesalkan.

Sebab itu hendaklah, engkau menjaga dirimu dari dunia itu, duhai Amirul-mu'minin, ambillah dari dunia dengan berhati-hati, kerana orang yang punya dunia setiap dia merasa tenteram kepadanya dan bergembira dengannya, akan menariknya kepada apa yang dibencinya, yang bahaya bagi ahli dunia pedih dan yang manfaat bagi mereka semuanya tipu dan membahayakan, keseronokan yang dikecapkan membawa bala, yang kekal baginya akan membawa binasa, seegala kegembiraannya bercampur dengan dukacita, yang hilang daripadanya tidak akan kembali, lalu tiada siapa yang tahu apa yang datang selepas itu, semua cita-citanya hanya dusta belaka, segala harapan mengenainya bathil, yang bersih daripadanya sama dengan keruh, dan yang hidup dengannya tidak pernah lepas daripada susah dan derita.

Setengah para salaf mengatakan:

Wahai sekalian manusia! Beramallah sedikit-sedikit, takutlah Allah, janganlah terpedaya dengan memanjangkan cita-cita lalu melupakan ajal yang menanti. Janganlah berusaha semat untuk dunia, sesungguhnya dunia itu penipu, ia menghias dirinya untuk memperdayakan kamu, ia bercita-cita untuk memfitnah kamu, ia berhias indah untuk tunangnya maka jadilah ia seperti seorang pengatin yang cantik rupawan, semua mata tetumpu kepadanya, hati-hati tertarik kepadanya, ramai jiwa menjadi terpegun kepadanya. Berapa ramai orang yang asyik kepadanya, akhirnya binasa, jiwa yang tenteram dengannya kesudahannya tertipu.

Maka pandanglah kepada dunia dengan pandangannya yang berhati-hati kerana dunia itu banyak karenahnya, Penciptanya sendiri mencelanya, yang baru padanya terbala, kerajaannya akan binasa, pembesarnya akan hina, terdapat padanya segala macam yang kurang, orang yang dikasihi akan mati, kebaikannya akan pupus.

Maka bangun dan sedarilah! Moga-moga Allah merahmati kamu dari kelalaian kamu, berjagalah dari tidur kamu sebelum dikatakan si fulan itu sakit berat kronik, lalu ditanyakan adakah obat yang dapat menyembuhkannya, atau dimanakah doktor yang dapat menawarkannya. Maka dipanggilkan semua doktor tetapi tiada harapan baginya untuk sembuh lagi. Kemudian dikatakan, hendaklah si fulan ini berwasiat, segala hartanya harus dikira, kemudian dikatakan, sudah terasa berat lidahnya, ia tidak dapat berbicara lagi dengan saudara-maranya, dan ia tidak dapat mengenal jiran tetangganya.

Di waktu itu dahimu mula berpeluh, semua anggotamu bergoncang, keyakinanmu tetap menghadapi maut, kelopak matamu mula tertutup, sangkaanmu tidak salah lagi, lidahmu pun kelu. Saudara-maramu menangis lalu dikatakan kepadamu: Lihatlah ini anakmu, ini saudaramu tetapi engkau pada waktu itu tertahan dari bicara, tidak dapat berkata-kata lagi. Qadha' Allah yang ditetapkan pun sudah sampai masanya, maka tercabutlah nyawamu dari badanmu lalu diangkat ke langit.

Pada waktu itu, kaum keluargamu berkumpul menghadiri jenazahmu, mereka memandikanmu lalu mengkafankanmu. Orang yang sering menziarahmu, sudah tiada lagi, orang yang selalu hasad kepadamu akan beristirehat dengan pemergianmu, ahli keluarga pula berpaling kepada harta peninggalanmu. Dan tinggalkanmu bersendirian di dalam kubur bergadai dengan amalan kamu.

Setengah ahli Sufi mengatakan kepada para penguasa:

Sesungguhnya manusia yang paling berhak untuk mencela dunia dan membencinya ialah siapa yang dibentangkan dunia baginya dan diberikan semua keperluannya dari dunia itu, kerana dia menjangka kemungkinan bahaya akan datang menimpa hartanya itu lalu memusnahkannya, ataupun siapa yang mengumpulkan harta dunia itu, lalu ia membahagi-bahagikannya kepada orang yang memerlukannya, ataupun siapa yang terpengaruh dengan habuannya lalu ia mencabutnya dari akar umbinya, ataupun ingatan kepada dunia itu menyerap ke dalam jasmaninya sehingga menjadikannya sakit kerana terlalu memikirkannya, ataupun ia datang secara mengejut sedangkan tabiat lokek tetap ada bersama teman taulannya. Sebab itulah dunia ini memang patut dicela kerana ia akan merampas kembali apa yang diberikannya, dan akan menuntut semula apa yang telah diserahkannya, kadang-kadang tatkala ia sedang menyenangkan tuan punya tiba-tiba ia berhenti lalu menyenangkan orang lain. Adakalanya ia menangisi kesusahanmu sebentar lagi kamu menangisinya. Adakalanya ia membukakan tangannya untuk memberi, sebentar lagi ia menadah tangan meminta-mintamu semula, umpama mahkota yang diletakkan di atas kepala seseorang hari ini lalu esoknya ia menyembamkan mukanya ke perut tanah. Sama sahaja baginya, apa yang kamu belanjakan dan apa yang kamu simpan. Sama sahaja kamu menambah apa yang sisa di tanganmu dan apa yang engkau belanjakan, ataupun engkau rela menukar sesuatu dengan sesuatu yang lain. Pendek kata dunia itu kesemuanya tetap tercela juga.

Sumber:

Kitab Mukashafah Qulub

Imam Ghazali

No comments:

kenapa nazi marah sangat dengan bangsa yahudi

ADMIN 1. Tahukah anda bahawa selain dari bangsa yahudi, adalah dilarang membeli atau menyewa tanah di Israel? 2. Tahukah anda ...