Friday, March 06, 2009

BERTEMU SAIYIDINA UMAR DALAM MIMPI

Oleh : Mokhtar Senik
Bulan Julai 2000 saya telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana kesalahan menyampaikan ceramah kepada sekumpulan pemuda yang menyewa sekolah saya untuk program persatuan mereka (mereka ialah persatuan Al-Mau’nah).
Sebelum saya membenarkan mereka menyewa kemudahan sekolah saya untuk program tersebut, terlebih dahulu saya meminta dokumen sah mengenai persatuan mereka. Permintaan saya dipenuhi dengan mereka menyerahkan kepada saya salinan Daftar Pertubuhan oleh Pendaftar Pertubuhan dan Surat Akuan Sah oleh Jabatan Agama Islam Selangor.Sebulan selepas program tersebut, berlakulah peristiwa yang menggemparkan negara, iaitu peristiwa Jenalik yang melibatkan persatuan tersebut.

Oleh kerana saya pernah menyampaikan ceramah kepada mereka maka saya “dikira terlibat sama”. Kerana ketiadaan bukti keterlibatan saya (kerana pada hari rompakan senjata di Grik berlaku, saya ada di kediaman saya di Kuantan) maka saya ditahan di bawah akta ISA.Akta yang tidak memerlukan bukti untuk menahan seseorang. Sebab itu saya selalu berpesan kepada rakan-rakan yang mengajar di masjid-masjid dan surau-surau. Selalulah berpesan kepada AJK surau atau masjid tempat anta mengajar tu, jangan buat apa-apa yang menyalahi undang-undang. Bukan sahaja mereka yang kena lokap, nanti anta pun akan ditahan sama di bawah ISA. Alasannya ialah kerana anta terlibat mengajar di masjid yang salah seorang AJKnya ada melakukan kesalahan. Sahabat yang ana pesan biasanya akan ketawa dan gelak besar. Kelakar kata mereka. Memang ISA tu undang-undang kelakar.

Tapi kelakar-kelakar pun boleh menyebabkan pengamalnya masuk Neraka tau.Berbalik kepada kisah saya tadi. Bila mengetahui bahawa saya sah ditahan di bawah akta ISA setelah ditunjukkan surat perintah penahanan oleh ASP Ismail di IPD Kuantan. Saya pasrah saja kepada takdir Allah. Saya tahu saya tidak terlibat dan tidak melakukan apa-apa kesalahan. Jadi saya benar-benar yakin waktu itu Allah memberi peluang kepada saya melalui satu proses tarbiyyah Allah. Alhamdulillah.

Program malam pertama saya dalam lokap setelah selesai sessi soalsiasat ialah mandi, solah Taubat, Solah hajat dan Tasbih. Selesai melakukan semua amalan itu saya terus baca Yasin 41 kali khatam. Alhamdulillah, malam pertama terpisah dari dunia luar itu sedikitpun tidak meresahkan hati saya. Bahkan saya dapat rasakan satu kemanisan dan kelazatan yang sangat luar biasa, kerana dapat berdampingan dengan Rabb tanpa diganggu oleh sesiapa. Itulah amalan saya selama lebih 50 hari dalam lokap IPK Kuantan, disamping berpuasa hampir selang-selang hari.Sewaktu menjalani hari-hari sepi di perut lokap tersebut, saya dapat bayangkan begitulah keadaannya bila kita mati. Secara mendadak kita hilang segala-galanya. Tiada lagi isteri di samping, tiada gelak gurau anak-anak, tiada lagi teman-teman, tiada lagi rumah kediaman, tiada lagi kenderaan untuk ke sana sini. Semuanya terputus. Tinggallah kita dengan nasib sendiri. Tiada siapa yang tahu. Hampir sama dengan kematian. Saat menjalani perjalanan “pra kematian” itulah saya alami mimpi yang indah.Masuk malam ke-tujuh saya dalam lokap, setelah selesai menunaikan solah-solah biasa, saya terus membaca Yasin. Malam itu malam jumaat. Udara sejuk di luar sesekali mencuri masuk ke dalam lokap saya. Pada malam tersebut saya merasa mengantuk yang tak boleh ditahan-tahan. Biasanya saya akan baca 41 kali Yasin secara terus hingga jam 3 pagi. Tapi malam tersebut setelah menamatkan 21 kali khatam Yasin, saya rasakan sudah tidak tertahan lagi. Lalu saya memutuskan akan tidur sebentar dan kemudian menyambung kembali 20 kali khatam bacaan.

Bila saya baringkan saja tubuh di lantai lokap tanpa lapik itu terus saya rasakan dibawa ke dalam satu dunia yang lain.Tiba-tiba saya dapati saya berada di tengah-tengah himpunan manusia ramai. Betul-betul macam ceramah PAS. Saya tidak mengenali sesiapa pun di kalangan mereka. Saya lihat manusia ramai itu semacam menunggu seseorang. Sesekali mereka tertoleh-toleh dan terjenguk-jenguk ke pintu masuk padang yang luas itu. Saya bertanya kepada orang yang paling hampir dengan saya. Kita sedang menunggu siapa ni?. Orang yang saya tanya menoleh kepada saya dan berkata; kita sedang menunggu kehadiran Amiirul Mukminin Umar Al-Khattab.

Hati saya tiba-tiba melonjak gembira. Alhamdulillah dapat lah kiranya untuk saya menatap wajah sahabat RasuluLlah saw yang agung itu. Dalam keadaan diselimuti rasa gembira itu tiba-tiba orang ramai seolah-olah memandang ke arah saya. Mereka melambai dan memberi salam. Belum sempat saya bertanyakan kepada seseorang, tiba-tiba lelaki yang saya bertanya tadi berbisik kepada saya; Amirul Mukminin di sebelah kamu tu.Saya terkejut sambil menoleh kepada sesusuk tubuh yang tinggi dan tegap di sisi kiri saya. Wajahnya putih bersih, berjambang hitam pekat. Wajahnya tersenyum tetapi jelas kelihatan raut ketegasan seorang pemimpin. Lantas saya memberi salam kepadanya. Air mata saya mengalir kerana terlalu gembira dengan pertemuan itu. Ketika saya mendongak kepala sekali lagi, Beliau tersenyum ke arah saya, sambil mengambil tangan kanan saya lalu dilekapkan kepada pipi kanannya. Saat tangan saya tersentuh dengan pipinya saya rasakan satu aliran sejuk menjalar melalui tangan hingga ke segenap tubuh saya. Alangkah indahnya berjabat tangan dengan tokoh yang mulia itu. Beliau tidak berkata apa kepada saya, hanya tersenyum sambil menggengam tangan saya dan diusap-usapkan ke pipinya. Saat kegembiraan itulah tiba-tiba beliau menghilangkan diri.Himpunan manusia yang ramai beralih pula mendongak ke langit.

Dada langit cukup cerah. Bulan mengambang kuning berkilau. Tiba-tiba bulan itu berpusing. Pusingan yang pertama saya terlihat di permukaan bulan gambar Singgahsana Raja. Tirainya kuning dan hamparannya juga kuning.

Pusingan yang ke-dua gambar Tuan Guru Haji Abdul Hadi sedang menyampaikan ceramah di anjung sebuah Masjid, menghadap ke halaman luar. Hadirin memenuhi setiap ruang padang yang luas itu. Semuanya diam dan khyusuk. Pada pusingan yang ke-tiga saya lihat gambar Baitullah yang disimbah cahaya. Jamaah Muslimin sedang tawaf mengelilinginya. Selesai pusingan itu, orang ramai pun bubar.Semacam selesai melihat tayangan slide di penghujung ceramah. Semua orang berjalan keluar, samalah dengan selesainya ceramah Pas.

Di sepanjang jalan terdapat peniaga-peniaga yang menjual berbagai barang jualan. Sedang saya berjalan bertunda-tunda dengan orang ramai itu, tiba-tiba saya terlihat satu gerai yang tiada siapa pun yang singgah di gerainya. Peniaganya seorang yang bersih wajahnya. Raut wajahnya tenang walaupun tiada siapa yang sudi singgah di gerainya. Melihat keadaan itu saya rasa terharu. Lalu saya singgah dan memberi salam kepadanya.Di atas meja di hadapannya terdapat satu balang besar berisi cairan kuning jernih. Nak cuba? tanya peniaga itu. Apa ini? tanya saya kembali. Oooo.. ini ialah Sandwich madu. Lalu tanpa diminta beliau membelah sebatang roti yang sederhana panjangnya lalu disapu madu yang terdapat di dalam balang tadi. Beliau hulurkan kepada saya sambil berkata ramah; sila lah..orang belum kenal lagi madu ni..cuba lah katanya. Lantas saya mengambil pemberiannya. Masya Allah..bila roti madu itu saya sentuhkan ke lidah saya..rasanya sangat lazat, manisnya sederhana, bukan seperti madu biasa. Manisnya meresap ke celah-celah gigi. Sedang saya menikmati manisan madu itulah saya tersedar..saat saya tersedar dan bangun untuk berwudhu, masih dapat saya rasakan manis madu di selang-selang gigi. Saya berkumur-kumur, tetapi masih dapat saya rasai manisnya..Maha suci Allah.Saya lantas berwudhu, menunaikan tahajjud dan menyambung kembali bacaan Yassin saya.

Sejak saat itu saya merasa sangat tenang, ketenangan dan kelapangan jiwa yang tidak pernah saya alami sebelumnya seumur hidup saya. Setiap kali hati saya dilanda duka, segera terlintas di sudut hati kecil mimpi yang indah itu.Kali kedua saya alami mimpi bersama Saidina Umar ialah sehari selepas sampai surat perintah penyambungan tahanan kepada 2 tahun lagi. Kemudian kali yang ketiga di penghujung ramadhan 2003 dua malam sebelum saya dan teman-teman yang lain dibebaskan.

Teruskanlah perjuangan ini wahai teman-teman dan adik-adik. Dampingilah Allah Yang Maha HAAFIDZ, Dialah yang menjaga kita hatta saat kita melupaiNya sekalipun

No comments:

  as salam Mohon , bantuan wakaf dana anda