Friday, March 27, 2015

Surat terbuka Hadi Awang kepada umat Islam


Hudud: Surat terbuka Hadi Awang kepada umat Islam

hadiawang540px_4
BANGI, 26 Mac – Berikutan pelbagai tuduhan dan ulasan yang dibuat terhadap undang-undang jenayah hudud yang diperjuangkan, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, hari ini mengeluarkan ‘surat terbuka’ yang ditujukan kepada umat Islam.
Berikut adalah isi surat terbuka beliau:
Saudara dan saudari yang dihormati,
Dengan rasa rendah diri, surat ini saya tujukan kepada semua umat Islam dengan semangat saling ingat memperingati sesama kita.
Ada dalam kalangan umat Islam yang memberi alasan bagi menolak usul persendirian berkaitan undang-undang jenayah dengan menggunakan beberapa perkataan yang berkaitan hukum Islam. Antaranya menyebut perkataan-perkataan seperti “Siyasah Syari’yyah”, “Maqasid Syari’ah”, “Fiqh Aulawiyyat”, “Maslahah” dan lain-lain.
Ketika membicarakan tajuk yang berat seperti ini, maka tentunya sangatlah tidak manis sekiranya kita menjadi laksana burung kakak tua yang pandai hanya menyebut kalimah yang diajar oleh tuannya, namun tetap berstatus binatang tanpa akal tanpa memahami hakikat atau tasawwur daripada perkataan yang diucap. Maka menjelaskan maknanya dengan ilmu yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah adalah sangat penting.
“Hudud” adalah cabutan daripada salah satu daripada hukum jenayah yang banyak dan menyeluruh. Mungkin sengaja dijadikan hujah yang difikirkan bagi menolak syari’at. Mereka menganggap Hudud paling sesuai dijadikan sasaran kerana pandangan mereka paling ganas, tanpa mengetahui secara detail dan objektif. Tanpa menyedari pula betapa ganasnya undang-undang ciptaan manusia yang masih dibanggakan, seperti hukuman bunuh secara kuno : menjerut tali ke leher secara menggantung, begitu juga hukuman sebat sehingga menyeksa tanpa kesan mendidik masyarakat.
Penjelasan ini khusus bagi penganut Islam yang jahil tanpa dimaafkan, kerana beriman tanpa ilmu dan tidak berbudiman terhadap agama sendiri, serta tanpa peduli terhadap batas-batas iman dan kufur yang wajib diketahui dan dipelihara secara fardu ‘ain.
Dr Yusuf al-Qardawi dalam kitabnya تيسير الفقه للمسلم المعاصر [Memudahkan kefahaman (terhadap agama ) kepada Muslim Semasa atau terkini] di halaman 102 menjelaskan :
Terdapat tiga madrasah (pandangan) apabila menghadapi masalah semasa :
1- Kalangan yang berpegang kepada nas juzi’i yang zahir secara jumud tanpa menterjemahkannya secara ijtihad melalui ilmu Siyasah Syariyyah, Usul dan Maqasid.
2- Kalangan yang menyalahggunakan Siyasah Syariyyah, Usul dan Maqasid sehingga membelakangi nas yang nyata.
3- Kalangan yang mengambil kira kedua-dua aspek yang penting dalam ilmu Islam.
Nas yang nyata adalah ilmu Allah yang difirmankan atau ucapan Rasul S.A.W. yang bersifat ma’sum. Adapun yang lain dari nas yang nyata adalah keizinan Allah bagi ruang ijtihad di kalangan para ulama bagi melaksanakan syariat Islam dengan bijak dan adil, bukannya meninggal syariat Allah dengan alasan sehingga boleh digantikan dengan undang-undang ciptaan manusia yang dianggap lebih baik.
1- Siyasah Syari’yyah
Perkataan “siyasah” daripada bahasa Arab yang bermaksud mentadbir, mengurus dan memandu atau memimpin yang disebut terkini dengan perkataan politik atau pentadbiran atau panduan. Dicampur dengan perkataan Syara’ dengan maksud kaitannya dengan urusan pelaksanaan syariat mengikut jadual, pelaksanaan, dan pengurusan melaksanakan hukum Islam, bukannya meninggalkan hukum Islam untuk diganti dengan yang lain. (Sila lihat huraian secara khsus dalam kitab-kitab Ahkam Sultaniyyah Karangan al-Mawardi dan Ghiath karangan Imam Haramain daripada Mazhab Syafei; al-Sair al-Kabir daripada mazhab Hanafi; Siyasah Syariyyah Ibnu Taimiyyah dan Turuq Hukmiyyah Ibnu Qayyim daripada mazhab Hambali dan Muqaddimah Ibnu Khaldun daripada mazahab Maliki).
Tegasnya ialah melaksanakan Syariat dengan betul, bukannya meninggalkan Syariat Allah dengan gantian hukum yang lain.
2- Maqasid Syari’ah
“Maqasid” bermakna tujuan-tujuan, maksudnya ialah tujuan pelaksanaan syariat. Objektifnya ialah cara mencapai matlamat membawa maslahat kebaikan kepada manusia secara umum dan khusus secara adil dan istiqamah dan menolak kemudaratan. Di sini pula ada tujuan yang telah ditetapkan oleh syara’ dan ada juga yang tidak disebut di mana Allah memberi keizinan mengikut kemampuan akal dan ilmu manusia.
(Kepada yang mampu berbahasa Arab sila rujuk kepada dua tokoh ilmu Maqasi : Al Syatibi : Al Muwafaqat : J:2, muka surat 391. Ibnu ‘Asyur : muka surat 19)
Contohnya, apabila khalifah Umar R.A. tidak memotong tangan pencuri di tahun melesetnya ekonomi kerana berlakunya kemarau panjang, dan bukannya kerana meninggalkan hudud, tetapi disebabkan melihat keadaan desakan hidup apabila dibayar gaji yang tidak mencukupi, menjadikan seseorang itu melakukan jenayah secara terdesak. Maka kerana itu hukuman potong tangan adalah haram dilaksanakan, kerana Hadis Rasulullah S.A.W. : “Hukuman Hudud ditolak (kerana adanya syubuhat”.
Ditolak hukuman hudud ini pula bukan bermakna terlepas begitu sahaja. Tetapi hendaklah dipindahkan kepada hukuman takzir yang termasuk dalam ruang Syariat Islam. Hukuman hudud tidak boleh dijatuhkan kerana tidak memenuhi syarat yang mencapai adil dan mendidik masyarakat mengikut kemampuan. Mudarat daripada kemelesetan ekonomi yang menimpa penjenayah adalah lebih besar. Sebaliknya kalau pencuri itu seorang berpendapatan tinggi sudah tentu dihukumkan.
Maqasid Syari’ah tidak bermakna membatalkan penguatkusaan undang-undang Hudud. Maqasid Syari’ah dalam hal ini bermakna hukuman tidak boleh dijatuhkan kerana menafikan tindakan secara adil yang menjadi matlamat syariat. Kalau dijatuhkan hukuman juga, bermakna kita tidak melaksanakan syariat kerana tidak mencapai matlamatnya. Meninggalkan syariat secara total menghilangkan segala maqasidnya.
Contohnya juga ialah mengenai kalimah Allah dibenarkan penggunaannya pada asalnya oleh penganut bukan Islam walau pun salah mengikut penafsiran kita, tetapi apabila tujuan penggunaannya bagi mengelirukan penganut Islam yang jahil, maka pihak berkuasa berkenaan agama Islam berhak menghalangnya . Mengikut Qaedahالأمور بمقاصدها (Semua perkara dilihat juga kepada tujuannya).
3- Fiqh Aulawiyyat
Bermaksud melihat keutamaan secara fiqh (faham mengikut panduan Syariat).
Contohnya Islam meletakkan perkara keperluan rukun hidup bagi manusia ialah memelihara (1) Aqidah agama, (2) Nyawa, (3) Akal, (4) Keturunan dan (5) Harta.
Contohnya tidak dijatuhkan hukuman hudud terhadap pencuri kerana lapar adalah kerana keutamaan memelihara nyawa hendaklah didahulukan daripada memelihara harta. Hukuman hudud ditangguh dalam keadaan perang kerana menghalang penjenayah melarikan diri kepada musuh, kerana keselamatan negara diutamakan. Bukan bermakna penjenayah dibebaskan, tetapi diturunkan kepada hukuman takzir.
Orang bukan Islam dikecualikan dahulu kerana berdakwah dalam konsep tiada paksaan dalam agama adalah lebih aulawiyyat.
Contohnya juga seperti pengambilan tanah untuk mendirikan hospital atau jalan raya adalah diizinkan kerana kepentingan umum hendaklah didahulukan daripada kepentingan individu atau segelintir, dan hendaklah diganti tanah itu secara yang adil pula.
“Aulawiyyat” itu pula hendaklah dalam ruang lingkup hukum syariat terlebih dahulu, bukannya bermakna meninggalkan hukum syariat.
Apabila segala syarat tidak ada bagi hukum Hudud dan Qisas maka hendaklah dipilih dalam ruang hukum takzir yang sangat luas.
Bukannya melarikan diri kepada hukum ciptaan Barat yang banyak kelemahannya. Perlu disedari bahawa di sana ada juga tidak yang sama dengan undang – undang yang sedia ada, perbezaannya tidak ada roh seperti syariat Islam.
(Sila lihat Dr Yusuf Al Qardhawi dalam Siyasah Syariayyah halaman 284-297)
4- Maslahah
“Maslahah” dengan maksud tujuan membawa kebaikan. Sama ada mendapat faedah atau menolak kemudaratan.
Para ulama membahagikan maslahat itu kepada tiga kedudukan :
1- Maslahah Mu’atabarah
Ialah dalam perkara yang telah ditetap oleh Allah Yang Maha Mengetahui dan Rahmat terhadap makhluknya. Maka ada yang diwajibkan dan ada pula yang diharamkan. Maka percayalah bahawa semua yang diwajibkan tetap membawa kebaikan dunia dan akhirat. Perkara yang diharamkan tetap mendatang mudarat kepada diri atau masyarakat. Contohnya ialah seperti wajibnya berpuasa kepada yang mampu dan haramnya arak dan judi. Ianya adalah ketetapan Allah SWT.
2- Maslahah Mulghah
Dalam perkara yang diharamkan kerana mudaratnya lebih besar atau manfaatnya tidak ada .Contohnya seorang yang mencuri atau merompak atau mengedar dadah dengan maslahat mengumpul duit untuk kebajikan atau nafkah keluarga. Maslahat ini dibatalkan kerana mudaratnya sangat besar sehingga menimbus segala kebaikannya.
3- Maslahah mursalah atau Masoleh mursalah
Dalam perkara yang didiamkan oleh al-Quran dan Hadis maka ruangnya adalah terlalu luas kepada manusia di sepanjang zaman.
Melaksanakan Syariat adalah maslahah yang telah ditetapkan oleh Allah Yang Maha Mengetahui dan Penyayang kepada makhluknya.
Isu Enakmen Kanun Jenayah Syariat (KJS) Negeri Kelantan
Isu undang-undang jenayah Syariat menjadi hangat sejak kedatangan penjajah apabila mereka menghapuskannya. Seterusnya menjadi hangat di kalangan umat Islam sendiri kerana kejahilan agama dan pendekatan, sehingga berlakunya isu kafir mengafir dalam masyarakat sendiri kerana kejahilan hukum dan kejahilan cara pendekatan berdakwah.
Apabila keadaan dapat diredakan, maka PAS mengambil langkah ke depan melalui kemenangannya di Kelantan, kemudiannya di Terengganu secara ilmu dan demokratik.
Langkah pertama ialah menubuhkan pasukan daripada Parti dan kerajaan. Pasukan ini melibatkan Ketua Dewan Ulama dan kalangan ahli majlis Syura Ulama, Tun Saleh Abas (Mantan Ketua Hakim Negara), al-Marhum Prof Ahmad Ibrahim salah seorang pengasas UIA (mantan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat tahun lima puluhan daripada Singapura dan mantan Peguam Negara Singapura yang pertama), al-Marhum Dr Mahmud Saedon Awang Osman dari UIA dan Pakar Syariah Negara Brunei Darussalam, al-marhum Datuk Abdul Halim Muhammad mantan Penasihat undang-undang negeri Kelantan dan Exco kerajaan negeri, dan Datuk Daud Mohamad Kadi Besar negeri Kelantan.
Sebelum enakmen ini dibawa kepada DUN Negeri Kelantan, ianya terlebih dahulu dibentangkan kepada umum di berbagai forum – seminar dan dialog. Akhirnya enakmen berkenaan dibawa ke Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993 dan DUN Terengganu pada tahun 2000. Manakala Kelantan pula memperkukuhkannya secara mengadakan seminar dan sambutan mengenainya secara tahunan.
Kini setelah lebih dari 20 tahun (dua puluh tahun) PAS memperkenalkan enakmen ini, di samping melaksanakan proses pendidikan mengenai KJS dalam masyarakat, dialog dan sebagainya, maka PAS ingin bergerak setapak lagi dalam proses mendidik masyarakat untuk mengenali hukum-hakam syariat Islam yang menyeluruh. Hasilnya kini suara yang mengeji hukum Islam ini semakin hari menjadi terpencil.
Maka dengan sedikit ruang yang ada ini, Enakmen KJS ini mengalami beberapa pindaan- pindaan memperkemaskannya dengan mengambil kira cabaran dalam perlembagaan dan masyarakat majmuk, tanpa paksaan, dan bagi orang Islam sahaja setelah mengambil kira pandangan para ulama daripada semua mazhab dan sejarah pelaksanaan yang berjaya di sepanjang zaman.
Dalam masa yang sama, apa yang ingin dicadang dan akan dibawa oleh PAS menerusi Private Members Bill nanti pula bukanlah rang undang-undang hudud, tetapi pindaan dalam akta Mahkamah Syariah untuk membuka sedikit ruang bagi membolehkan satu-dua aspek syariah itu dilaksanakan terhadap penganut Islam sahaja.
Kita adalah makhluk yang berilmu, bertamadun dan matang. Maka dengarlah dahulu apa yang ingin dikemukakan. Jangan terus melompat dan bertempik gegak gempita memberikan kritikan tanpa mengetahui hujung pangkalnya.
Firman Allah:
وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُصِيبَهُمْ بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ (49) أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ (50) المائدة.
(Dan hendaklah kamu melaksanakan kalangan mereka hukum yang telah diturunkan oleh Allah,dan jangan sekali-kali engkau mengikut hawa nafasu mereka (meninggalkan hukum Allah) sehingga engkau meninggalkan sebahagian daripada apa yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Maka jika sekiranya mereka berpaling(enggan)maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah hendak mengenakan mereka dengan sebab sebahagian daripada dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya sebahagian daripada maknusia itu adalah orang-orang yang jahat). Adakah mereka mahukan hukum jahiliyyah, padahal siapakan lagi yang paling baik hukumnya daripada Allah kepada orang-orang yang percaya dengan yakin).
Semoga semua kita mendapat manafaatnya dan mencapai keredhaan Allah SWT.
Saudaramu dalam Islam,
ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN PAS

Monday, March 02, 2015

Hati

Niat itu tempatnya di hati. Dan sebelum kita memulakan segala pekerjaan atau pembelajaran ilmu, kita harus menyucikan hati dari segala pencemaran, sifat negatif dan dosa.

Allah ﷻ berfirman ketika memberitakan pengutusan Rasulullah ﷺ saw:
هو الذي بعث في الأميين رسولا منهم يتلو عليهم آياته ويزكيهم ويعلمهم الكتاب والحكمة

Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah ﷻ (yang membuktikan keesaan Allah ﷻ dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak)
— Surah Jum'ah ayat 2.

Di sini Allah ﷻ merumuskan 4 sifat Rasulullah ﷺ.
  1. Rasulullah ﷺ akan membaca dan menyampaikan ayat-ayat Al-Quran kepada ummat. 
  2. Rasulullah ﷺ mengajak ummat untuk membersihkan jiwa.
  3. Rasulullah ﷺ mengajar ummat Kitab Allah ﷻ iaitu Al-Quran.
  4. Rasulullah ﷺ mengajar ummat Hikmah iaitu pengetahuan mengenai hukum Syarak atau cara hidup orang mukmin.
Menarik di sini adalah sebelum kita menuntut Ilmu atau mengajar Ilmu, Allah  ﷻ mengajak untuk kita membersihkan jiwa, hati dari sifat-sifat yang mencemarkan. Jika tidak Syaitan akan goda hati kita untuk menerbit sifat-sifat seperti bangga diri, riyak dan tidak menjaga lidah sehingga dapat menyakitkan orang lain.

Jika kita lihat para sabahat, kerana didikan secara langsung dari Rasulullah ﷺ. Segala perbezaan diatasi dengan kasih-sayang dan saling menghormati dengan bahasa yang disenangi. Ini kerana hati mereka sangat bersih dan amalan serta ilmu yang disampaikan terjaga dari pencemaran.

Dengan hati yang bersih, penuh kasih-sayang. Perbezaan membawa kepada percintaan. Kedegilan membawa kepada kelembutan. Jika sebaliknya kita akan berkeras. Dan kekerasan bercampur dengan bisikan Syaitan maka segala perbezaan akan menjadi kebencian. Kedegilan membawa kepada perpecahan.

Di antara sifat yang dapat menyucikan hati adalah dengan bersabar. Sabar dalam menasihati keluarga dengan gaya yang lembut dan jangan mengharapkan hasil yang serta-merta. Dakwah Rasulullah ﷺ tidak serta-merta apatah lagi kita yang serba kekurangan.

Jika kita mulakan dengan pembersihan hati dengan mengawal setiap perasaan negatif maka Ilmu Al-Quran yang dipelajari akan bercahaya kekal di sanubari. Setiap gerak-geri kita akan menjadi gerak-geri para salaf dan solihin. Penuh dengan kasih-sayang dan hikmah dalam berkata-kata. Tidak menyakiti ahli keluarga yang lain meskipun menegakkan kebenaran.

Pada email mendatang insyaAllah kita akan membincangkan di antara perbuatan yang ringan yang dapat membantu kita menyucikan hati.

Lidah

Pada minggu lalu kita membincangkan hadis nabi yang mementingkan tazkiyatun nafs atau menyucikan hati.

Pada kali ini saya ingin berkongsi sedikit mengenai langkah pertama yang boleh diambil dalam proses penyucian hati. Iaitu anggota yang tidak bertulang tetapi lebih tajam dari pedang–anggota tersebut adalah lidah.

Rasulullah ﷺ bersabda:
وعن أبي موسى رضي الله عنه قال‏:‏ قلت‏:‏ يا رسول الله أي المسلمين أفضل‏؟‏ قال‏:‏ ‏ "‏من سلم المسلمون من لسانه ويده‏"‏‏.‏

Diriwayatkan oleh Abu Musa ra berkata “wahai Rasulullah, apakah kriteria seorang Muslim yang terbaik?” Rasulullah ﷺ bersabda: “Diantara seorang muslim yang terbaik adalah mereka yang menjaga lidah dan tangan mereka”

(Hadith disepakati oleh kedua Imam Bukhari dan Muslim)

Didikan pertama untuk kita menyucikan hati adalah dengan menjaga setiap dari kata-kata yang keluar dari mulut kita.

Seorang muslim yang terbaik adalah mereka yang berfikir secara menyeluruh sebelum berkata-kata. Para sahabat dan solihin tidak akan mengeluarkan kata-kata kecuali ianya bermanfaat bagi muslim yang lain.

Hari ini, setiap dari apa yang terlahir dari mulut kita, baik secara terang-terangan atau pun di alam maya merupakan tanggung-jawab kita. Setiap huruf yang terakam di bahagian komen lelaman sosial mahupun profil peribadi akan mendatangkan tindak-balas kepada hati dan juga muslim yang lain.

Jika kata-kata itu berupa positif maka baiklah dan jika ia negatif maka buruklah tindak-balasnya terhadap hati pemikiran dan juga reaksi orang lain.

Maka dalam hal yang tidak ada kepastian ataupun perkara yang kita sendiri kurang kepakarannya seperti politik, berita semasa, gossip dan masalah agama. Adalah lebih baik kita senyap dan tidak membincangkannya.

Melahirkan pendapat semangnya digalakkan, akan tetapi jika bukan pada tempat perbincangan yang selamat maka ia akan menjadi sekadar melepaskan perasaan dan mengikut hawa nafsu.

Sabda Nabi :
فليقل خيرا أو ليصمت
“Maka berkatalah dengan kata-kata yang baik atau berdiam diri.”

Para sahabat akan berkata-kata dengan mengambil kata-kata dari Rasulullah ﷺ samada ia berkaitan peningkatan iman dan menegakkan syi'ar Islam. Cara mereka bercakap adalah dengan hati yang Ikhlas dan penuh kasih-sayang serta penuh dengan hikmah, tanpa menyakitkan hati si pendengar.

Dari itu dengan kita berhati-hati dengan lidah dan tidak mengikut hawa nafsu dalam berkata. Maka kita telah mengangkat satu beban dalam proses penyucian hati.

Semoga setiap harapan dan amalan diterima Allah ﷻ. InsyaAllah.

Jangan terlalu cepat menghukum jika kita sendiri

Jangan terlalu cepat menghukum jika kita sendiri tidak pernah menghulurkan sumbangan pada mana mana Pusat Tahfiz Semoga kita ambil ikti...