Wednesday, September 28, 2011

Berprasangka baik terhadap wanita lambat berkahwin

BERKAHWIN lambat atau tidak berkahwin langsung bukan lagi perkara baru dalam masyarakat kita. Perkara itu kerap dibincangkan dari semasa ke semasa kerana timbul keresahan di kalangan sesetengah pihak mengapa keadaan sebegini berlaku.



Perangkaan Banci Penduduk dan Perumahan 2000 menunjukkan pa-da 1981 sehingga 1990, 43.2 peratus golongan muda iaitu 20 hingga 34 tahun belum berkahwin.



Pada 1991 sehingga 2000 pula, 48.1 peratus golongan muda belum berkahwin dengan 68.5 peratus daripadanya adalah wanita.



Perangkaan itu turut menunjukkan umur minimum perkahwinan pada 1980 ialah 26.2 tahun bagi lelaki dan 23.5 tahun bagi wanita.



Pada 1991, lelaki (28.2 tahun) dan wanita (24.7 tahun). Pada tahun 2000 pula, lelaki (28.6 tahun) dan wanita (25 tahun).



Fenomena berkahwin lambat ini memberi tekanan yang lebih besar terhadap wanita berbanding lelaki. Ini disebabkan sikap sesetengah pihak yang suka mengambil kesempatan di atas kelemahan insan lain.



Ada pelbagai kes dan peristiwa yang membabitkan wanita bujang ini, termasuk dengan janji manis untuk mencarikan pasangan atau berjanji untuk berkahwin yang akhirnya berakhir dengan tragedi penipuan, penderaan, perkosaan dan sebagainya.



Sikap sesetengah orang dan masyarakat yang melabelkan wanita yang lanjut usia, tetapi masih bujang dengan ungkapan andartu (anak dara tua) dan andalusia (anak dara lanjut usia), di samping cemuhan lain, turut membebankan minda dan jiwa mereka.



Mengaitkan golongan ini dengan maksiat secara membuta tuli juga adalah tindakan yang tidak rasional.



Namun, masih ramai yang prihatin dengan nasib golongan ini.



Mereka termasuk kepemimpinan negara, badan bukan kerajaan (NGO), tokoh agama dan masyarakat turut menyuarakan kebimbangan terhadap kadar wanita membujang yang semakin meningkat. Pelbagai cadangan diberikan termasuk menubuhkan agensi mencari jodoh dan poligami.



Yang pasti antara kebimbangan yang diutarakan ialah golongan ini terjebak dengan pelbagai gejala maksiat, ditipu atau diperdaya dan menghadapi tekanan jiwa.



Di antara faktor yang disebut oleh sesetengah pihak terhadap fenomena wanita hari ini yang lambat berumah tangga ialah revolusi pendidikan, peluang pekerjaan kepada wanita yang terbuka luas, memikul tanggungjawab keluarga untuk menyara ahli keluarga dan kriteria yang terlalu ideal terhadap calon sua-mi.



Faktor lain ialah tiada desakan berkahwin oleh keluarga, kepuasan dalam kerjaya yang menganggap perkahwinan satu kongkongan dan terpengaruh dengan kisah keruntuhan dan penderaan dalam rumah tangga.



Sikap ramai lelaki yang curang dan suka berfoya-foya, kegagalan bercinta, kurang yakin dengan lelaki yang dikatakan kurang berkualiti dan tidak dilamar turut menyebabkan wanita ini lambat atau tidak berkahwin.



Dalam hal ini renungi firman Allah maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isterimu daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang...” – (Surah ar-Rum, ayat 21).



Sabda Rasulullah, maksudnya: “Wahai sekalian pemuda (pemudi)! Sesiapa di kalangan kamu hari ini sudah mampu untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin, kerana yang demikian itu mampu menundukkan pandangan dan memelihara kehormatan...” – (Hadis riwayat Mottafaq’ Alaih).



Ayat al-Quran dan hadis di atas dalil yang menunjukkan kepentingan dan hikmah di sebalik perkahwinan. Bagaimanapun, sebagai insan kita juga tidak dapat menafikan ketentuan Allah terhadap kehidupan setiap manusia.



Manusia sama sekali tidak dapat menentukan apa yang akan berlaku dalam hidupnya walaupun sesaat. Semuanya dalam pengetahuan dan urusan Allah. Manusia disuruh berusaha dan ketentuan adalah di atas kehendak Allah. Kita diperintahkan Allah untuk berusaha sedaya upaya dan barulah bertawakal kepada-Nya.



Daripada kita menuduh atau membuat andaian sendiri terhadap fenomena lambat berkahwin ini atau memandang serong terhadap golongan wanita itu adalah lebih baik sekiranya:



- Ada satu badan, unit atau individu yang bersesuaian, sama ada dari jabatan kerajaan atau NGO mengkaji dan membuat analisis yang lebih tepat dan bersepadu terhadap faktor yang memungkinkan berlakunya fenomena ini. Seterusnya, mencadangkan langkah berkesan untuk mengurangkan fenomena ini.



- Masyarakat dapat memainkan peranan positif dengan menjauhkan pandangan serong dan bersangka baik terhadap golongan wanita yang lambat berkahwin. Mungkin mereka tidak mempunyai pilihan, selain membujang.



Sebagai manusia kita tidak boleh menafikan ada insan yang ditakdirkan berkahwin pada usia muda, lewat atau langsung tidak sempat berkahwin kerana dipanggil pulang awal menghadap Allah.



- Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam memberikan pendidikan secara langsung dan tidak langsung akan hikmah dan kebaikan dalam perkahwinan. Seterusnya pada usia yang sesuai, contohnya, apabila anak gadis memasuki usia awal 20-an, ibu bapa harus berusaha menjodohkan anak perempuan masing-masing.



Sabda Nabi maksudnya: “Kanak-kanak itu disembelihkan akikahnya pada hari ketujuh daripada kelahirannya dan diberi dengan nama yang baik-baik, dan dihindarkan dia daripada perkara yang memudaratkan. Apabila berusia enam tahun hendaklah diberi pendidikan akhlak, apabila sampai umurnya sembilan tahun hendaklah diasingkan tempat tidurnya. Apabila dia meningkat ke umur 13 tahun hendaklah dipukul bilamana dia meninggalkan solat dan puasa, dan apabila sampai umurnya 16 tahun, eloklah bapanya mengahwinkannya.” – (Hadis riwayat ibnu Hibban; lihat buku karangan Abdullah Nasih ‘Ulwan bertajuk Tarbiyyatul Aulad jilid 1).



- Wanita sendiri harus mempelajari dan memahami hikmah atau kemuliaan di sebalik perkahwinan. Antara kelebihan itu ialah:



Menjauhkan diri daripada zina, maksiat dan fitnah. Sabda Rasulullah, maksudnya: “Apabila datang (melamar) kepadamu orang yang kamu sukai akhlak dan agamanya, maka kahwinilah dia. Kalau tidak engkau perbuat (demikian) akan terjadi fitnah di bumi dan kerosakan yang luas.” – (Hadis riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim).



Ada banyak kelebihan dan pahala menjadi seorang isteri. Sabda Nabi maksudnya : “Apabila seorang isteri menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan, menjaga kehormatannya dan menghormati suaminya, maka akan dikatakan kepadanya, masuklah kamu ke dalam syurga melalui mana-mana pintu yang kamu sukai.” – (Hadis riwayat Ahmad).



Zuriat penyambung perjuangan – perkahwinan adalah satu ibadat yang darinya akan menghasilkan zuriat penyambung perjuangan dan warisan.



Dapat meningkatkan kematangan, di samping meringankan bebanan. Ia juga membantu dari sudut fizikal, minda dan jiwa pasangan suami dan isteri.



Bagi wanita bujang yang berusaha tetapi masih belum ditemukan jodoh disarankan supaya:



- Bersangka baik terhadap Allah dan melihat masa bujang sebagai masa lapang yang dianugerahkan oleh Ilahi.

- Bersabar dengan ketetapan Ilahi dengan mengkaji segala kebaikan di sebaliknya.

- Membanyakkan zikir dan menambahkan ibadat. Zikir dan ibadat dapat mengukuhkan iman.

- Memelihara diri daripada maksiat dengan mengisi masa lapang dengan kegiatan bermanfaat. Contohnya, menghadiri kuliah agama, menjadi ahli mana-mana persatuan yang berdaftar dan menawarkan kegiatan kemasyarakatan atau nahi mungkar.

- Memahami ciri jodoh seperti yang digariskan agama. Tidak terlalu memilih dan meletakkan kriteria yang terlalu ideal untuk calon suami.



- PENULIS adalah pegawai latihan dan sumber manusia dan boleh dihubungi di wanitajim0@yahoo.com

No comments:

Hantaran 25k

Ok la tu. Hantaran tu sebenarnya boleh cari. Yang tak boleh cari tu skilss. Tetiba Pak Cik Semangat. Hahaha Tun Follow ...