Sunday, April 03, 2011

PERBANDINGAN IMAN ORANG FASIK, MUNAFIK DAN IMAN YANG SEMPURNA

ORANG FASIK
· Tidak beriman sepenuhnya kepada Allah

· Masih melakukan perbuatan yang dilarang Allah

ORANG MUNAFIK
· Keimanan mereka berpura-pura sahaja

· Menunjukkan diri mereka beriman kepada Allah, tetapi hakikatnya mereka adalah musuh Allah

ORANG YANG SEMPURNA IMAN
· Terus sujud dan memuji Allah jika dibacakan ayat-yat Allah

· Sentiasa berdoa kepada Allah dengan penuh harapan

· Sentiasa membelanjakan harta pada jalan kebaikan


Oleh : Ust. Hasrizal Abdul Jamil (Saifulislam.com)

Seseorang itu dianggap terkeluar daripada iman dan Islam apabila dia beri’tikad, berkata-kata atau melakukan perbuatan yang membatalkan ikrar dan tasdiq dua kalimah syahadah dan diwajibkan kepada kerajaan Islam melaksanakan hukum murtad (hudud) ke atasnya.Berdasarkan Al-Quran dan sunnah Rasulullah, Al-Imam At-Tahawi menyenaraikan empat perkara asas yang membatalkan iman, iaitu :
1. Mengingkari sifat Rubbubiyyah [4]

Setiap iktikad, perkataan dan tindak-tanduk yang mengengkari dan tidak mempercayai Allah sebagai kuasa yang mencipta alam dan sekalian makhluk, mentadbir, memberi rezeki, boleh menyebabkan seseorang menjadi kufur.

Dan jika kamu bertanya kepada mereka, siapakah yang menciptakan mereka, nescaya mereka menjawab : Allah!. Maka bagaimanakah mereka dapat dipalingkan. (Az-Zukhruf : 87)

2. Mengingkari sifat Uluhiyyah [5]

Setiap iktikad, kepercayaan dan tindak-tanduk yang mengengkari dan tidak mempercayai Allah sebagai ilah dengan penuh kasih, takut, dll serta tidak disekutukan ibadat selain kepadaNya dan menerima segala hukum-Nya dengan yakin dan redha.

Hanya kepada Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami minta pertolongan. (Al-Fatihah : 5)

Inilah dasar yang memisahkan antara mukmin dan kafir kerana ramai manusia mempercayai sifat Rubbubiyyah Allah tetapi mengengkari sifat Uluhiyyah Allah.

Dan seandainya kamu bertanya kepada mereka siapakah yang menciptakan mereka, nescaya mereka akan menjawab : Allah!, tetapi bagaimanakah mereka dapat dipalingkan (daripada beriman kepada Allah)? (Az-Zukhruf : 87)

3. Mengingkari Asma’ Allah dan sifat-sifat-Nya

a. Kafir Nafi

Menafikan dan mengengkari mana-mana sifat Allah seperti ilmu-Nya, qudrat-Nya dll atau mentakrifkan mana-mana sifat Allah dengan takrifan yang kurang sempurna seperti menyamakan ilmu Allah dengan ilmu makhluk (terhad) dan mempertikaikan hak dan kekuasaan Allah seperti tidak merujuk kepada perintah dan larangan Allah dalam menggubal undang-undang.

b. Kafir Isbat

Menetapkan mana-mana sifat kekurangan atau mustahil bagi Allah sedangkan Al-Quran dan Hadith menafikannya seperti mengatakan Allah mempunyai anak dan isteri serta mengadakan peraturan sendiri yang bercanggah dengan yang telah ditetapkan oleh Allah.

4. Mengingkari Rasulullah dan kerasulannya.

Setiap i’tikad, perkataan dan tindak-tanduk yang mengengkari dan mencela peribadi dan kerasulan Rasulullah serta apa yang disampaikannya seperti tidak melaksanakan hukum Islam dalam pemerintahan, mengkafirkan sahabat dll.


LANJUTAN PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN IMAN

Kita telah memahami bagaimana seseorang itu dianggap menganut Islam dalam erti kata yang sebenarnya dan tertanam di dalam hatinya ciri-ciri iman. Ada orang dikurniakan oleh Allah SWT dengan iman yang teguh sehingga dia meninggal dunia dengan mentasdiqkan La Ilaha Illallah Muhammad Rasulullah dan ada pula orang yang berpaling tadah dengan sebab engkar dan durhakanya.

Orang yang ditetapkan imannya pula, ada yang dianggap sentiasa di dalam kebaikan, ada pula yang cuai dan ada pula yang menzalimi dirinya sendiri. Ada orang yang masuk syurga dengan tiada hisab, ada pula orang yang dimasukkan ke neraka kerana dosa sehinggalah Allah melepaskannya dari neraka dengan kurniaanNya.

Adapun orang yang dicabut imannya perlulah kita mengkaji kaedah-kaedah yang dikemukakan oleh ulama’ berdasarkan al-Quran dan sunnah Rasulullah saw, di antaranya ialah apa yang ditegaskan oleh al-Imam At Tahawi rahimahullah di dalam kitabnya.

“Dan kami menamakan ahli-ahli qiblat kami orang-orang Islam dan orang-orang beriman selagi mereka mengakui apa yang dibawa oleh Nabi saw dan membenarkan apa-apa yang disabda dan diberitahu…Kami tidak mengkafirkan seseorang pun di kalangan ahli al qiblat dengan sebab melakukan dosa selagi dia tidak menghalalkannya, dan kami tidak berkata, ‘bahawa mereka telah memberi mudharat bersama iman itu oleh dosa sesiapa yang melakukannya…Dan seorang hamba itu tidak terkeluar daripada iman melainkan dengan mengengkari hukum terhadap apa yang diceburinya.”

Penjelasan daripada kaedah itu ialah bahawa hukum syara’ telah menjelaskan bagi Iman dan Islam itu ada pintu masuk dan pintu keluarnya. Sebagaimana yang dinyatakan dahulu, sesungguhnya ikrar dan mentasdiqkan dua kalimah syahadah itu menjadi pintu masuk dan kuncinya. Maka orang itu dianggap keluar daripada iman dan Islam apabila lahir daripadanya perkataan, perbuatan atau iktikad yang membatalkan ikrar dan tasdiq dari dua kalimah syahadah yang memberi makna mentauhidkan Allah swt pada Rubbubiyah, Asma’ dan SifatNya, dan mentauhidkan Allah pada Uluhiyyah. Dan sebahagian yang kedua daripada syahadah itu berikrar dan mentasdiqkan segala yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW di samping mengakui segala sifat kenabian dan kerasulan.

Oleh itu, sesiapa yang bercakap atau melakukan perkara-perkara yang menunjukkan keingkarannya terhadap ikrar syahadah itu, maka syahadahnya terbatal dan keluarlah dia daripada Islam dan diwajipkan kepada kerajaan Islam melaksanakan hukum murtad ke atasnya, bermula daripada disuruh bertaubat sehinggalah dijatuhkan hukuman bunuh kalau dia tidak mahu bertaubat dan tempatnya kekal di dalam neraka kalau dia mati di dalam keadaan begitu.

Adapun seorang mukmin itu melakukan dosa maka tidaklah batal imannya sekalipun dia belum bertaubat jika tidak ada padanya perkara-perkara yang membatalkan syahadahnya, jika Allah mengkehendaki dia mengampuninya, dan dengan kehendakNya juga dia dimasukkan ke dalam neraka, kemudian dimasukkannya pula ke syurga, kerana terlalu banyak hadith-hadith yang sahih yang menyatakan bahawa Allah swt membebaskan dari neraka orang-orang yang ada iman di hatinya walaupun sebesar zarrah dan firman Allah yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah tidak mengampunkan dosa syirik denganNya dan Dia mengampuni yang lain daripada itu akan sesiapa yang dikehendaki.” (An-Nisa’ : 116)

Oleh itu, maka perkara yang menyebabkan terkeluarnya seseorang itu daripada agama Islam atau terbatal imannya ialah :

- mengingkari sifat Rubbubiyyah atau mencelanya,
- mengingkari atau mencela Asma’ Allah dan sifat-sifatNya
- mengingkari atau mencela sifat Uluhiyyah
- mengingkari atau mencela Rasulullah saw atau kerasulannya

Keempat-empat perkara tersebut berlaku dengan i’tiqad, perkataan dan perbuatan, di mana sesiapa yang melakukannya batallah imannya dan keluar daripada agama Islam dan syahadahnya tidak sah. Wal’iyadzubillah.

Bagi menjelaskannya ialah :

1. Mengingkari sifat Rubbubiyyah atau mencelanya

Yang pertama di dalam tauhid itu ialah mentauhidkan Allah swr pada RubbubiyahNya beri’tiqad bahawa Dialah Tuhan yang menciptakan alam, mentadbir, memilikinya, memberi rezeki, segala-galanya di bawah pengetahuan, kehendak dan kebijaksanaanNya yang tidak terhingga. Maka setiap i’tiqad, perkataan dan tindak-tanduk yang menunjukkan keingkarannya menjadi kafir dan riddah, seperti orang yang menganggap ada yang Qiddam (sedia) selain daripada Allah swt sehingga ia tidak berhajat kepada penciptanya, mengingkari bahawa makhluk itu ciptaan Allah swt, menganggap Allah tidak mengambil tahu terhadap makhluk setelah dijadikanNya, menganggap adanya rezekiyang bukan dari Allah swt, menjadi kufur orang yang menganggap sifat itu dipunyai juga oleh ynag lain daripada Allah swt seperti yang dinyatakan oleh Fir’aun :

“Akulah Tuhan kamu yang maha tinggi.” (An Naaziat: 24)

Atau mengaku dirinya berkuasa memiliki, memberi rezeki dan mentadbir selain daripada Allah swt atau bersekutu dengan Allah swt. Dan menjadi kafir juga orang-orang yang ikut atau mempercayai sesiapa yang membuat pengakuan tersebut.

2. Mengingkari atau mencela Asma’ Allah dan sifat-sifatNya

Allah swt dan RasulNya saw telah mensabitkan bagiNya beberapa nama (Asma’) dan sifat, di samping menafikan beberapa sifat. Maka sesiapa yang menafikan atau mengurangkan apa yang disabitkan oleh Allah atau yang dinyatakan oleh Rasulullah , maka dia menjadi kafir. Begitu juga orang-orang yang mensabitkan bagi Allah swt apa yang dinafikan oleh oleh RasulNya saw.

Adapun mengkafirkan sifat-sifat Allah dan Asma’Nya itu dengan dua cara, iaitu kafir Nafi dan kafir Ithbat. Kafir Nafi itu ialah menidakkan atau menafikan mana-mana sifat Allah swt seperti menafikan ilmuNya, qudratNya dan lain-lain sifat yang dinyatakan di dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullsh saw. Juga termasuk menafikan sifat dan mentakwilkan dengan takwil yang mengurangkan atau menghadkan kesempurnaan Allah swt, seperti orang yang mengaku Allah itu bersifat ‘ilmu tetapi ‘ilmu secara ijmal, dia tidak mengetahui secara tafsil dan detail atau menyamakan sifat Allah swt dengan sifat makhluk.

Kafir Ithbat itu ialah menetapkan mana-mana sifat kekurangan atau sifat yang mustahil bagi Allah swt sedangkan Allah swt dan RasulNya menafikan sifat itu, seperti menyatakan bahawa Allah itu mempunyai anak, isteri atau sekutu-sekutu, Allah swt itu mengantuk, tidur, lalai, mati dan sebagainya. Begitu juga orang-orang yang mengaku bersifat seperti Allah swt maka kafirlah orang yang berkata begitu dan kafir juga orang yang mempercayainya.

3. Mengingkari atau mencela sifat Uluhiyyah

Iaitu perkataan atau perbuatan atau i’tiqad yang mengingkari bahawa Allah swt sahaja yang disembah dengan sebenarnya, yang lain daripadaNya tidak berhak disembah dan diabdikan diri kepadaNya dengan pengertian ibadat. Maka sesiapa yang berkata atau beramal atau beri’tiqad dengan cara yang bercanggah dengan UluhiyyahNya, maka kafir dan murtadlah dia. Dan kekafiran inilah yang paling banyak berlaku di kalangan manusia. Sesungguhnya kebanyakan manusia sejak dahulu hingga sekarang mengakui tauhid Rubbubiyah dengan mempercayai qudrat Allah swt, tadbirNya, rezekiNya, Dialah yang menghidupkan dn mematikan, iaitulah apa yang dimaksudkan oleh firman Allah yang bermaksud :

“Dan sesungguhnya jika kamu bertanyakan mereka, ‘Siapakah yang menciptakan mereka?’. Nescaya mereka menjawab, ‘Allah’”. (Az Zukhruf : 87)

Tetapi mereka mengingkari di dalam i’tikad, perkataan dan perbuatan terhadap Uluhiyyah Allah seperti beribadat kepada yang lain daripada Allah swt, mengakui hukum dan undang-undang yang lain daripada syari’at Allah dengan hati dan lidah.

4. Mengingkari atau mencela Rasulullah saw atau kerasulannya

Iaitu perkataan atau perbuatan atau i’tikad yang menafikan atau mencela kerasulan atau peribadi orang yang menjadi rasul saw dan mengingkari apa-apa yang dikhabarkan oleh Rasulullah saw seperti tentang kebangkitan selepas mati, tentang masyhar, hisab, mizan, sirat, syurga, neraka dan lain-lain lagi daripada perkara-perkara ghaib. Begitu juga mengingkari al-Quran dengan apa cara sekalipun kerana al-Quran itu disampaikan oleh Rasulullah saw bahawa ianya dari Allah swt. Begitu juga mengingkari hukum yang sabit menurut nas al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw yang diketahui oleh setiap orang Islam seperti wajibnya sembahyang, puasa, zakat, haji, halal dan haram melainkan mengingkari perkara-perkara yang diketahui oleh orang-orang yang berilmu sahaja, maka dimaafkan kerana jahilnya tetapi tiada maaf lagi setelah diberitahu.

Berkata al Imam Ibn Hajar al Haitami di dalam kitabnya :

“Di antara perkara-perkara kufur dan syirik itu ialah seseorang yang berazam untuk menjadi kafir dan syirik sama ada dalam masa yang dekat atau jauh, atau mentaklidkan dengan lidahnya dan hatinya untuk menjadi kafir walaupun dengan perkara yang mustahil pada akal, maka dia menjadi kafir ketika itu juga. Atau secara ingkar dan bersenda-senda seperti beri’tikad dengan qadimnya alam, atau menafikan apa yang diwajibkan bagi Allah swt dengan ijma’ dan diketahui oleh umum umat Islam seperti menafikan ilmu Allah swt itu terbatas, ataupun mensabitkan apa yang nafi bagi Allah swt seperti menetapkan warna bagiNya.”

Dan seterusnya Ibn Hajar menghuraikan : “termasuk di dalam makna itu apabila seseorang yang menyatakan dia sebagai Islam tiba-tiba dia melakukan perkara-perkara yang menjadi ijma’ berlaku di kalangan orang kafir seperti mengunjungi gereja bersama-sama orang kafir dengan cara dan pakaian yang sama, atau orang yang membuang kertas yang mengandungi ayat-ayat Quran atau Ismullah ke dalam najis, atau meragui mana-mana nabi atau mana-mana Kitab seperti Taurah, Injil atau Zabur atau Suhuf Ibrahim, atau mana-mana ayat al-Quran. Atau menyesatkan umat yang tidak sesat, atau mengkafirkan sahabat, atau mengingkari Mekah, Kaabah, Masjid al Haram, atau sifat-sifat haji, sembahyang dan puasa, atau menghalalkan yang haram seperti mengharuskan sembahyang tanpa wudhu’ dalam perkara yang tidak uzur, menghalalkan kezaliman ke atas orang Islam atau kafir zimmi tanpa dalil syar’ie yang mengharuskan dia beri’tikad begitu, atau mengharamkan yang halal seperti mengharamkan jual beli dan nikah, atau mengatakan sesuatu yang tidak patut terhadap Rasulullah saw seperti warnanya hitam, mati sebelum berjanggut, tidak Quraisy, bukan Arab, bukan manusia, kerana berkata begitu adalah membohongi keadaan yang sebenar.

Begitu juga mengharuskan ada nabi selepas daripadanya atau melahirkan keraguannya seperti berkata : ‘Saya tidak tahu sama ada yang dibangkitkan di Mekah mati di Madinah atau orang lain.’ Atau mengatakan bahawa jadi Nabi itu boleh diusahakan, atau menyatakan wali itu lebih tinggi martabatnya daripada nabi dan malaikat, melaknatnya atau memakinya atau mempersendakannya. Kemudiannya Ibn Hajar menyatakan bahawa menjadi kafir juga orang yang meredhakan kafir seperti menasihatkan orang kafir supaya jangan masuk Islam.

Berkata al Imam Ibnu Taimiyyah rahimahullah ketika menafsirkan firman Allah swt yang bermaksud :

“Sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka orang-orang yang kafir.” (Al-Maidah : 44)

“…Tidak syak lagi bahawa sesiapa yang tidak beri’tikad wajiblah berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah swt adalah menjadi kafir. Sesungguhnya setiap umat Islam itu mestilah memerintah dengan adil. Kadang-kadang keadilan menurut hukum mereka ialah yang dipandang oleh pembesar-pembesar mereka. Bahkan banyak sekali di kalangan orang yang mengaku Islam berhukum dengan adat yang bukannya diturunkan oleh Allah swt seperti orang Badwi di zaman dahulu di mana mereka berpendapat itulah hukum yang sayugia dilaksanakan, bukannya kitab Allah dan sunnah Rasulullah saw.”

1 comment:

shida said...

Salam...tumpang share info nya di blog saya ya.. trimas..:)

  as salam Mohon , bantuan wakaf dana anda