Sunday, April 24, 2011

MENGENAL DIRI MENGENAL ALLAH


Setengah daripada jalan mencapai makrifat itu ialah dengan mengenal diri seperti kata seorang sahabat Rasulullah SAW., Yahya bin Muaz Al-Razi ;

"Barangsiapa mengenal dirinya maka sesungguhnya mengenal ia akan Tuhannya".
Yahya bin Muaz mengambil faham daripada perkataan Nabi SAW. daripada pertanyaan seorang sahabat;

"Siapakah yang lebih mengenali TuhanNya, ya Rasulullah?

Maka sabdanya yang lebih mengenal mereka dengan dirinya."

Ada pun mengenal diri itu tiga [3] macam iaitu;

1. Periksa dan memahami.
2. Membuat bandingan dan ukuran.
3. Lemah dan tertegah.

1. Periksa dan memahami.Hendaklah dimusyahadahkan akan kejadian diri kita kepada dua pandangan iaitu;

a. Pandangan yang pertama kepada diri zahir yang dijadikan akan dia daripada emapat anasir iaitu;

Tanah, Air, Api dan Angin..

yang bermula daripada kejadian lembaga Nabi Adam 'Alaihi-Salam. Setelah sempurna lembaga Adam maka dimasukkan Ruh ke dalamnya lalu hidup ia bernyawa, bergerak, melihat, mendengar, dan sebagainya seperti firman Allah dalam

Surah Al-Shod; 71-72 yang bermaksud;

"Ingat olehmu hai Muhammad ketika firman oleh Tuhan kamu bagi malaikatNya bahawa Aku jadikan manusia daripada pati tanah maka apabila aku sempurnakan dia dan aku masukkan ke dalamnya ruhKu, maka sekelian malaikat duduk dan sujud baginya".Demikian juga dijadikan seorang perempuan yang bernama Hawa iaitu daripada jenis Adam juga seperti firmanNya dalam :

Surah An-Nisaak:1 yang bermaksud;

"Hai sekelian manusia, takutlah kepada Tuhanmu yang menjadikan kamu dari diri yang satu dan menjadikan isteri daripadaNya. dan daripada keduanya berkembang biak laki-laki dan perempuan yang banyak."
Ini bermakna, daripada Adam dan Hawa dijadikan akan segala keturunan melalui setitik air mani (Nutfah) yang dikandungkan di dalam rahim ibunya selama 40 hari kemudian dijadikan seketul daging (Mudghoh) kemudian pecah berupa berbagai; suatu bentuk lembaga manusia seperti firman Allah dalam :

Surah Al-Mukminun;14 yang bermaksud;

"Sesungguhnya telah Kami jadikan manusia daripada pati berasal daripada tanah kemudian Kami jadikan akan pati tanah itu air mani yang disimpan dalam tempat yang kukuh(rahim), kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah; maka segumpal darah itu kami jadikan tulang; maka Kami bungkuskan tulang itu dengan daging kemudian jadikan itu makhluk yang berbentuk lain; maka Mahasuci Allah ialah Pencipta yang paling baik".
Kemudian apabila sempurna kandungan yang ghalib sembilan bulan lalu keluar dari perut ibunya berupa manusia yang lemah (bayi) kemudian beransur-ansur sedikit demi sedikit bertambah subur dan kuat yang lengkap dengan pancaindera yang lima iaitu;

Penjamah,
Perasa,
Pendengar,
Pelihat,
Pencium.

Akhirnya menjadi seorang manusia yang gagah kuat yang mempunyai pancaindera batin yang lima iaitu; Khowatir, Cita, Niat, 'Alim, Fikir; dan sempurnalah sepuluh pancaindera yang dinamakan INSAN.

b. Pandangan yang kedua kepada diri yang batin yang digelarkan nyawa atau Ruh yang telah diberikan nama oleh Arif bil-Lah dengan bermacam-macam nama. Setengah daripadanya menamakannya;
Syaiun Zat-tiah pada tatkala memandang pada Martabat Wahdah dimusyahadahkan pertama-tama nyata dalam Ilmu Allah itu Ruh Nabi Muhammad SAW. Daripada pancar benderang Israk Nur Muhammad itu zahirlah sekelian alam dan segala yang benyawa. Setengah daripada Arif bil-Lah menamakan dia sebagai;

i.Alam Ma'ani : iaitu tanda yang tersembunyi sungguh kuat nyata dalam Ilmu Allah tetapi tiada ia maujud. Ia tersembunyi dalam Wahdatul Wujud melainkan ibarat jua yang maujud pada keesaan diri Hak Allah Taala. Setengah Arif bil-Lah menamakanya sebagai;

ii.Alam Laahut ertinya tanda kenyataan Zat dan setengah
Arif bil-Lah menamakannya sebagai;

iii.Alam Jabarut tatkala nyata ia pada martabat Wahdiah ertinya tanda kebesaran Zat dan sifatNya dan Af'alNya dan setengah daripada mereka menamakan sebagai;
A' yan Saabitah ertinya kenyataan yang amat teguh dan setengahnya menamakannya sebagai;

iv.Alam Asror ertinya tanda menerima Asror (rahsia) Allah kerana ia tempat nyata Hak Taala.
Maka tatkala sudah menjadikan Allah Taala nyawa ; maka menjadi Ia akan Alam Arwah dan maujud ia dengan Qudrat Allah dan Iradatnya. Maka dinamakan dia Alam Malakut ertinya tanda milik yakni tiada sekali terlepas daripada Ampunya Milik. Ini dinamakan juga A' yan Khorijah kerana sudah zahir wujudnya menerima asar (bekas/sesuatu yang dijadikan) dan hukum Zat Lawazim yang nyata ibaratnya dan syaratnya kepada Martabat Wahdah dan Wahdiah kerana
A' yan Khorijah itu A'yan Saabitah dan A'yan Saabitah itu yang menerima zahir Sifat Allah dan Asma Allah dan A'yan Khorijah dan Alam Malakut ialah sekelian alam sama ada Alam Kabir (Besar) atau Alam Shoghir (Kecil). Dan setengahnya menamakannya;
Ruh Idhofi kerana lengkap pada tubuh yang menggerak dan mendiam dan sebagainya. Setengah daripada mereka menamakannya sebagai;
Ruh Al-Qudus kerana ia suci daripada merasai mati dan daripada segala kecelaan dan sebagainya dan setengah daripada mereka menamakannya sebagai;
Ruh Al-Amri kerana ia menerima perintah Allah memerintah tubuh. Setengah daripada mereka menamakannya pula sebagai Ruh Al-Amin kerana ia menerima firman Allah yang datang pada hati hamba yang yakin akan Hak Taala. Setengah daripada mereka menamakannya sebagai;
Khotir ertinya gerak hati. Dan khotir itu ada empat macam iaitu;

1.Khotir Rahmaani iaitu apabila ia sentiasa berhadap dan musyahadah kehadirat Allah Taala; tidak memikirkan akan MaasyiwaLah (sesuatu yang lain daripada Allah).

2.Khotir Malaki iaitu apabila bertukar arah dan bergilir ganti. Kadang-kadang berhadap dan bermusyahadah ke hadrat Allah Taala dan kadang-kadang sesuatu yang lain daripada Allah.

3.Khotir Nafsaani iaitu sentiasa berhadap kepada kegemaran dan kelazatan dunia dan kemegahan dan kemulian yang bergelumbang dengan Ajib, Riya', Takbur, Suma'ah dan lain-lain lagi daripada segala sifat-sifat mazmumah.

4.Khotir Syathooni iaitu sentiasa gemar kepada pekerjaan yang derhaka dan jauh daripada berbakti dan beribadat.
Maka adalah sekelian itu daripada kelakuan Ruh pada badan yang datang sekelian itu daripada Fe'il (Kelakuan) yang Hakiki.

Setengah daripada mereka menamakannya sebagai; Akal kerana mengeluarkan fikiran dan kira bicara dan setengah daripada mereka menamakannya sebagai;
Nafsu kerana angkuh dan zalim dan setengah menamakannya sebagai; Qalbu kerana bertukar berbolak-balik sekali berhadap kepada Allah; sekali berhadap kepada dunia.
Adalah diri yang zahir dan yang batin terdiri padanya tiga perkara iaitu;

Jisim iaitu susunan kulit, daging, tulang, urat, darah, lendir dan sebagainya.

Jauhar iaitu Ruh atau nyawa'Aradh iaitu kelakuan dan rupa pandangan seperti panjang, pendek, tinggi, rendah, putih, hitam, bertemu, bercerai, baik, jahat dan sebagainya.

2. Membuat bandingan dan ukuran
Kejadian tubuh jasmani manusia itu mempunyai beberapa hikmah dan rahsia yang menyamai rahsia kejadian langit dan bumi, maka eloklah bapak cuba memberi gambaran perumpamaan dengan serba ringkas dalam Ilmu Tasrikh iaitu ilmu kejadian manusia.

Bahawa manusia mempunyai 360 tulang yang menyamai dengan 360 darjah pada bulatan bumi.

Manusia juga mempunyai 17 sendi yang besar-besar kerana lazim manusia jaga pada tiap-tiap sehari semalam tujuh belas jam iaitu 3 jam pada awal malam dan 2 jam pada awal siang dan 12 jam pada masa siang. Maka dalam 17 jam inilah gerak-geri anggota yang 17 sendi itu melakukan kebajikan atau kejahatan; maka diwajibkan dan difardukan ke atas manusia mengerjakan sembahyang lima waktu dalam sehari semalam sebanyak 17 rakaat.

Urat-urat besar dalam badan manusia berjumlah 12 urat iaitu ibarat 12 bulan setahun dan 12 jam pada siang dan 12 jam pada malam.

Dikatakan juga bilangan rambut manusia ada sebanyak
124 000 iaitu supaya mengingatkan bagi kita bilangan Nabi-nabi yang diikhtilafkan ulama sebanyak 124 000 orang dan banyak lagi rahsia-rahsia kejadian tubuh manusia yang sengaja ditinggalkan.

Pendek kata tidak ada satu kejadian yang boleh menyamai dengan kejadian manusia pada nisbah elok dan baik perdiriannya dan mulia keadaannya dan tinggi darjatnya jika hendak dibandingkan dengan kejadian-kejadian yang lain seperti firman Allah dalam :

Surat Al-Tin;4 yang bermaksud;

"Demi sesungguhnya Kami jadikan manusia itu seelok-elok kejadian"
dan tidak ada satu kejadian yang diperintah oleh Allah Taala kepada malaikat supaya memberi hormat dan tahiyat melainkan manusia (Adam) dan juga menyebabkan syaitan dimurkai oleh Allah dan dikutuk akan Dia kerana ingkar pada perintah Allah yang diperintahkan kepadanya supaya memberi hormat dan tahiyat kepada manusia (Adam). Dijadikan sekelian perkara ini untuk manusia dan dilengkapi pada manusia sifat Ma'ani yang tujuh kerana tempat menerima Asar(bekas) Sifat Ma'ani Qadim yang dinamakan Naskhah Al-Haq.

3. Lemah dan Tertegah
Apabila dimusyahadahkan akan kejadian diri samada diri yang zahir atau diri yang batin, maka tak sampai akal manusia untuk memikirkannya seperti Ruh, Akal, Nafsu dan Qalbu. Maka sukar hendak memberi gambaran atau takrif yang mensifatkan daripada jenis apa???

Al-Quran memberi pengajaran sebagaimana firman Allah dalam :

Surah Al Israk; Ayat 85 yang bermaksud;

"Akan ditanya akan engkau hai Muhammad tentang ruh; Katakan olehmu Ruh itu adalah daripada urusan Tuhanku".
Oleh kerana sukar hendak membuat takrif, maka digelar oleh orang-orang 'Ariffin dengan nama Lathifatul Rabaaniyah.

Wassallam.

Semangat Pejuang



Al-Imam Hassan Al-Banna gugur syahid pada 12hb Februari 1949


"sesungguhnya aku amat meridui seorang pemuda/pemudi yang tidak tidur lena kerana memikirkan masalah ummah.."

"Janganlah engkau merasa seolah-olah umurmu masih panjang kerana lamunan seperti itu banyak membawa kepada ajal..."

"Jika kau ingin mencapai kesempurnaan sembahlah Allah semata-mata dan jauhkan daripada menyembah benda-benda lain. Jika kau mencari kebenaran, maka kau dapati setiap benda lain tidak kekal. Yang kekal hanyalah Allah" "Kamu adalah satu roh baru yang mengalir dalam urat nadi umat ini, lantas kamu menghidupkannya dengan al-Quran. Kamu adalah satu cahaya baru yang memancar yang akan menghancurkan kegelapan fahaman kebendaan dengan mengenal Allah. Kamu adalah suara-suara lantang yang melaungkan kembali dakwah Rasulullah SAW."

-as-syahid imam hassan al-banna-



Pesanan Akhir, As-Syahid Sayyid Qutb (senyum ditali gantung) pada 1965







Seandainya kau tangisi kematianku
Dan kau siram pusaraku dengan air matamu
Maka di atas tulangku yang hancur luluh
Nyalakanlah obor buat umat mulia ini
Dan teruskan perjalanan ke gerbang jaya

Kematianku adalah suatu perjalanan
mendapatkan kekasih yang sedang merinduiku
Taman-taman indah di syurga bangga menerimaku
Burung-burungnya berpesta menyambutku
Dan bahagialah hidupku di sana.

Puaka kegelapan pasti ia kan hancur
Fajarkan menyinsing
Dan alam ini akan disinari fajar lagi
Biarlah rohku terbang mendapatkan rindunya
Jangan gentar berkelana ke alam abadi
Di sana cahaya fajar memancar.


"Jika Kamu Ingin Tahu Nasib Ummahmu Maka Lihatlah Generasi Kamu"
-Imam Al-Ghazali-


Abdul Aziz al-Rantisi (1947-2004)
"Semua orang akan mati, mengapa takut dengan kematian. Jika saya diberikan pilihan samada untuk mati dibedil oleh helikopter Apache (milik tentera Zionis) ataupun akibat serangan jantung, saya memilih (untuk dibedil) oleh Apache".


Dr. Nizar Rayyan (1959-2009)

"Saya katakan kepada kalian agar kalian tenang, seandainya Rantisi, Az Zahhar, Haneya, Nazzar Rayyan, Said Sayyam, dan semuanya gugur syahid, demi Allah, kami akan bertambah gemilang dan semakin mencintai jalan ini. Tangan-tangan kita yang menggenggam senapang di dunia insyallah Allah roh-roh kita akan berpelukan di sisi Allah


"Aku adalah anak-anak panah Islam. Campakkanlah aku ke mana sahaja, aku tetap berjuang demi Islam."
-Saad bin Abi Waqqas-


Nadia Abu Marzuq
Ummu Muhammad-Isteri As-Syahid Dr Aziz Rantisi

Apa yang ingin puan katakan kepada muslimat Palestin yang sedang menunggu giliran syahidnya suami, bapa dan anak-anak mereka?

Saudari-saudariku yang dikasihi: Sesungguhnya peranan wanita bukan sekadar yang kamu sumbangkan sekarang sahaja, bahkan peranan kita adalah bersama para lelaki dan Rasul s.a.w yang mulia telah bersabda :

Setiap kamu adalah ketua, dan setiap ketua pasti akan dipertanggungjawabkan ke atas orang bawahannya..dan wanita itu adalah dipertanggungjawabkan di rumah suaminya dan ia akan dipersoalkan apa yang di bawahnya ?. Sesungguhnya telah terakam contoh terbaik wahai saudari-saudariku yang dikasihi di lembaran-lembaran terdahulu, maka peranan kamu setelah syahidnya suami ataupun anakmu, ialah menyempurnakan peranan kamu dalam kehidupan mereka. Semoga Allah menetapkan pendirian dan menjaga serta menghimpunkan kamu bersama

Wednesday, April 20, 2011

Amalan Selepas Mati

Menurut Imam Ahmad bin Hambal, Ulama telah membuat kesimpulan bahawa apa pun jenis kebaikan yang diniatkan untuk dihadiahkan kepada orang yang telah meninggal, pahalanya akan sampai kepada almarhum atau almarhumah.

1. Mendoakan dan memohonkan keampunan ::: Rasulullah s.a.w bersabda, “Jika kalian mensolatkan jenazah, berdoalah dengan ikhlas untuknya. “Ya Allah, berilah ampunan bagi orang yang masih hidup mahupun yang telah meninggal di antara kami.”
2. Bersedekah ::: Saad bin Ubadah bertanya kepada Rasulullah s.a.w., “Ya Rasulullah, ibuku telah meninggal. Dapatkah aku bersedekah atas namanya?” Beliau menjawab, “Ya, dapat.”
3. Berpuasa ::: Al Bukhari dan Muslim meriwayatkan, Ibnu Abbas berkata,”Seorang lelaki menemui Nabi s.a.w. dan bertanya,Ya Rasulullah, ibuku telah meninggal dunia sedangkan ia mempunyai kewajiban berpuasa selama sebulan. Apakah aku dapat memenuhi kewajiban itu untuknya?, Rasulullah s.a.w menjawab, ‘Ya’.Rasulullah s.a.w bersabda,sesungguhn ya hutang kepada Allah lebih layak ditunaikan.
4. Haji ::: Al Bukhari meriwayatkan, Ibnu Abbas berkata, “seorang perempuan dari Juhainah menemui Nabi s.a.w dan bertanya, sesungguhnya ibuku telah bernazar untuk berhaji, tapi dia belum memenuhinya sampai dia meninggal. Apakah aku boleh berhaji untuknya? Rasulullah s.a.w menjawab, berhajilah untuknya. ….tunaikanlah (untuknya) kerana Allah lebih berhak menerima pembayaran.”
5. Solat ::: Ad Daruquthni meriwayatkan, “Seseorang lelaki bertanya, Ya Rasulullah s.a.w, sesungguhnya aku mempunyai ibu dan bapa. Aku berbakti kepada mereka selama mereka masih hidup. Bagaimana cara aku berbakti kepada mereka setelah mereka meninggal? Rasulullah s.a.w menjawab, sesungguhnya perbuatan baik setelah mereka meninggal, engkau solat untuk mereka dengan solatmu dan engkau berpuasa untuk mereka dengan puasamu.”
6. Membaca al Quran ::: Hadiah membaca al Quran akan sampai pahalanya apabila pembaca al Quran tidak menerima upah kerana Rasulullah s.a.w mengharamkanmencari nafkah dan kekayaan dengan membaca al Quran. Setelah pembacaan al Quran selesai, maka pembaca hendaklah mengucapkan ‘Ya Allah sampaikanlah pahala bacaanku ini kepada….(nama almarhum dan almarhumah)

Thursday, April 14, 2011

TUNGGAK 12, FORMULA 6M & 5E

TUNGGAK 12

1. Menghargai Masa
2. Ketekunan Membawa Kejayaan
3. Keseronokan Bekerja
4. Kemuliaan Kesederhanaan
5. Ketinggian Peribadi
6. Kekuatan Sifat Baik Hati
7. Pengaruh Teladan
8. Kewajipan Menjalankan Tugas
9. Kebijaksanaan Berhemat
10. Keutamaan Kesabaran
11. Peningkatan Bakat
12. Nikmat Mencipta


FORMULA 6M

MUSYARATAH

# Dari kata dasar ‘syarat’ – iaitu syarat yang menjadi dasar di mana sesuatu formula atau penyelesaian itu didirikan, atau ringkasnya membuat pensyaratan.
# Musyaratah adalah suatu proses menetapkan serta mengiltizamkan diri dan organisasi terhadap syarat-syarat yang dituntut untuk mencapai sesuatu matlamat.

MURAQOBAH

# Dari kata dasar ‘ra-qa-ba’ – iaitu sifat mengawasi secara berterusan.
# Sifat sentiasa menyedari dan menginsafi diri dalam mengawasi tatacara atau kaedah pencapaian sesuatu matlamat individu ataupun sesebuah organisasi itu, senantiasa berada di landasan yang telah disyaratkan, dikenali sebagai Muraqobah.

MUHASABAH

# Dari kata dasar ‘ha-sa-ba’ – iaitu mengira.
# Muhasabah adalah satu usaha yang dilakukan oleh setiap individu untuk mengira atau menilai diri sendiri.

MU'AQOBAH

# Dari kata dasar ‘a-qo-ba’-iaitu mendidik jiwa supaya menjadi lembut dan mentaati Allah S.W.T.
# Mu’aqobah adalah satu sikap dan mentaliti yang sentiasa menyedarkan diri bahawa setiap perlakuan akan ada tindakbalas atau hasilnya, sama ada baik atau buruk (pahala atau dosa), mengikut ketentuan Allah S.W.T.

MUJAHADAH

# Dari kata dasar ‘ja-ha-da’ – iaitu bersungguh-sungguh dalam melaksanakan perintah Allah S.W.T. dan sunnah Rasulnya dalam setiap aspek kehidupan.
# Mujahadah adalah sikap dan mentaliti yang perlu disematkan dalam pemikiran dan amalan manusia agar sentiasa bersedia dan bersemangat tinggi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab tanpa mementingkan diri sendiri.

MU'ATABAH

# Dari kata dasar 'a-ta-ba’ – iaitu tegas dan jelas dalam mencela sikap buruk yang ada pada individu dan organisasi.
# Mu’atabah merupakan satu proses penginsafan diri dan perlakuan manusia dan ia adalah peringkat yang lebih tinggi dari muhasabah.

Sunday, April 03, 2011

Usul 20 Al-Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna (RENUNGAN BERSAMA DA'I)

♥..بسم الله الرحمن الرحيم
''hidup biarlah berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah"

1 Wahai umat manusia, bertaqwalah kpd Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar. ( AL-HAJJ ayt-1)

Usul 20 Al-Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna (RENUNGAN BERSAMA DA'I)

1. Islam adalah agama yang menyeluruh dan lengkap.

2. Al-Quran dan As-Sunnah adalah rujukan asas dalam perundangan Islam.

3. Iman sejati, ibadah yang sah dan perjuangan mempunyai cahaya dan kemanisan di
dalam hati. Ilham, lintasan hati, mimpi tidak boleh dijadikan dalil hukum Agama.

4. Tangkal, jampi selain ayat Al-Quran dan Hadis serta mendakwa tahu hal ghaib (yang
belum berlaku) adalah munkar yang wajib dibenteras.

5. Keputusan pimpinan dalam organisasi wajib dilaksanakan dalam perkara maslahat,
yang tiada nas atau ada nas tetapi mempunyai berbagai tafsiran.

6. Kata-kata seseorang selain Rasulullah saw tidak semestinya betul dan diterima.

7. Seorang yang belum pakar dalam Feqah, ikutlah salah satu dari 4 Mazhab tanpa
taksub. Terimalah pandangan mazhab lain jika dalilnya lebih kuat.

8. Perbezaan dalam Feqah jangan membawa kepada perpecahan hati.

9. Jauhi perdebatan Feqah yang tidak membawa kepada tindakan amali.

10. Kita beriman kepada Ayat-ayat Sifat tanpa menafsir atau menolaknya.

11. Semua Bid’ah yang tiada asas Syarak adalah munkar yang wajib dibenteras.

12. Bid’ah Idafiah, Bid’ah Tarkiah, Bid’ah Iltizamiah adalah khilaf ulamak.

13. Keramat boleh berlaku pada Wali-wali Allah, namun mereka tidak boleh memberi
menfaat atau mudharat kepada diri mereka, apatah lagi kepada orang lain.

14. Ziarah kubur adalah sunnah Rasulullah saw. Jangan dicampur dengan Bid’ah.

15. Tawassul dalam berdoa adalah khilaf ulamak dan bukan dalam masalah Aqidah.

16. Dalam mengeluarkan hukum, Syarak merujuk kepada intipati sesuatu perkara dan
bukan nama yang dipakai orang ramai. Contoh “Faedah Bank”.

17. Amal hati lebih utama dari amal anggota. Kedua-duanya penting.

18. Islam mengangkat peranan akal manusia.

19. Tiada pertembungan diantara Syarak dan ilmu Sains yang sahih.

20. Kita tidak mengkafirkan orang Islam melainkan dengan syarat-syarat yang ketat.

Usah Menanti Syurga Di Pintu Neraka

"Kehidupan dunia ini (jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan, dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya, sekiranya mereka mengetahui." (Surah al-Ankabut , ayat 64)

Melihat kepada fenomena hari ini, terdapat pelbagai ragam manusia. Ada kehidupan mereka yang tidak berubah-ubah sedari kecil, remaja, dewasa, tua dan sehinggalah ajal datang menjemput. Tetapi ada juga yang berubah mengikut peredaran usia dan waktu serta keinginan hati mereka dalam mencari kebenaran dan arah tuju hidup. Sememangnya sudah fitrah manusia untuk kembali kepada kebenaran meskipun mereka adalah dari golongan seburuk-buruk dan sejahat-jahat manusia. Mungkin sukar untuk percaya, seorang yang digelar 'setan' itu jauh di sudut hatinya ingin menjadi seorang yang baik.

Keinginan untuk menjadi baik dan akhirnya menemui laluan ke arah kebaikan itulah sebenarnya yang dinamakan hidayah. Dengan kehendak Allah, hati yang telah ditutupi dan diselaputi dengan dosa dan noda, akan ada sedikit lubang kecil yang hanya dimuati laluan cahaya hidayah Allah untuk ditembusi terus ke dalam hati-hati manusia yang terpilih.

Sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nur ayat 35 yang bermaksud, " Allah (memberi) nur (cahaya) langit dan bumi. Umpama cahaya-Nya seperti sebuah lubang di dinding rumah, di dalamnya ada pelita. Pelita itu di dalam gelas. Gelas itu seperti bintang yang berkilauan. Pelita itu dinyalakan dengan minyak pohon yang diberkati iaitu minyak zaitun yang (tumbuh) bukan di timur dan bukan di barat, minyak itu hampir bercahaya dengan sendirinya meskipun tiada disentuh api. Cahaya berdampingan dengan cahaya. Allah menunjuki sesiapa yang dikehendaki-Nya kepada cahaya-Nya itu. Allah menunjukkan beberapa contoh untuk manusia. Allah mengetahui setiap sesuatu."

Tatkala kita merasakan kumpulan dosa terlalu banyak, janganlah kita berputus asa dari rahmat-Nya dan merasakan diri tiada tempat di sisi Allah untuk kembali ke pangkal jalan. Sebaliknya bersyukurlah, dengan terdetiknya sedikit penyesalan itu sebenarnya adalah satu bentuk hidayah Allah yang lahir tanpa kita sedari kecuali bagi mereka yang berfikir akan nikmat yang Allah berikan. Kerana dosa yang kita sedari itulah yang mendekatkan diri dengan Allah dan seterusnya melahirkan rasa kehambaan dalam diri dan mengakui kelemahan sebagai seorang manusia yang perlu bergantung kepada Sang Pencipta.

Berbanding dengan mereka yang berasa diri tidak pernah berbuat dosa dan sentiasa betul dalam kelakuan dan tindakan, ia cukup bahaya kerana tidak sedar diri mereka sudah berada jauh dari Allah. Mereka ini adalah golongan yang sombong dan tidak mengharapkan pertolongan Allah tetapi lebih kepada mengikut kata hati dan berbuat apa sahaja yang mendatang kebaikan dan keseronokan pada diri.

Apa yang terjadi hari ini, kita seringkali menolak seruan-seruan untuk kembali kepada Islam. Pelbagai alasan yang diberikan kerana merasakan diri masih muda dan belum tiba masanya untuk berubah. Alasan yang paling suka diberikan ialah 'belum sampai seru!' alasan tersebut langsung tidak munasabah. Mana mungkin kita mengharapkan sesuatu yang bernilai itu diberi secara percuma tanpa perlu berusaha untuk mendapatkannya!

Seringkali apabila kita diberikan ujian dan didatangkan suatu insiden barulah ia berjaya membuka hati kita untuk berubah. Insiden tersebutlah yang akhirnya mengetuk pintu hati kita untuk bertaubat dan kembali kepada jalan Allah. Kita dikira bernasib baik jika nyawa masih dikandung badan tetapi apa akan terjadi jika kita sudah tidak diberi peluang untuk bernafas dan menebus segala dosa-dosa lalu?

Bentuk-bentuk Hidayah

Hidayah datang dalam pelbagai bentuk. Bentuk yang pertama ialah hidayah naluri (keinginan). Hidayah ini adalah sesuatu yang semula jadi ada pada diri kita sejak dilahirkan ke dunia sebagai contoh, bayi yang baru dilahirkan akan menangis apabila lapar. Nalurinya inginkan makanan bagi menghilangkan rasa lapar. Yang kedua ialah hidayah melalui pancaindera. Semasa kecil, kita dapat mengenali dan membezakan sesuatu perkara dengan menggunakan pancaindera seperti mendengar suara ibu dan ayah atau dapat mengenali sesuatu objek. Kemudiannya hidayah dalam bentuk akal fikiran yang mana ia dikurniakan oleh Allah supaya dapat memandu kita berfikir secara rasional sebelum bertindak.

Seterusnya ialah hidayah agama. Hidayah inilah yang menyelamatkan diri kita daripada kesesatan dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam dan beriman kepada Allah SWT. Ia dapat mendorong kita melakukan kebaikan dan meninggalkan larangan Allah sekali gus dapat membezakan antara perkara-perkara baik dengan perkara haram.

Yang terakhir ialah hidayah taufik yang mana merupakan tahap hidayah yang tertinggi kurniaan Allah kepada hambanya yang dikasihi. Tinggal sekarang, hidayah itu harus dijaga kerana nilainya tiada tara dan tidak dapat ditukar dengan apa pun. Ia menjaga kehidupan kita di dunia mahupun di akhirat kelak.

Hidayah pula diturunkan dalam dua cara iaitu hidayah pemberian makhluk sama ada dari kalangan para nabi, pendakwah ataupun sesiapa sahaja. Contohnya hidayah yang diturunkan melalui Nabi Muhammad agar membimbing umatnya beriman kepada Allah. Namun, hidayah taufik ini tidak mampu diberikan oleh makhluk tetapi hanya Allah yang berkuasa. Ia tiada pada Nabi Muhammad walaupun baginda adalah seorang Rasul sebagaimana firman Allah dalam surah al-Qashash ayat 56 yang bermaksud, "Sesungguhnya engkau (ya Muhammad) tidak dapat memberi hidayah/petunjuk kepada orang yang engkau cintai, akan tetapi Allah lah yang memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki."

Adapun ciri-ciri orang yang sudah mendapat hidayah, mereka hebat beribadat seperti melakukan solat fardu dan sunat, mengeluarkan zakat dan rukun Islam yang lain, sentiasa memperuntukkan waktu untuk bertasbih dan bertahmid kepada Allah SWT selain mengerjakan keperluannya di dunia. Mereka ini tidak mampu melupakan Allah walau sesaat kerana begitu takut akan pembalasan di hari akhirat nanti. Mereka juga terlalu berhati-hati dalam setiap perlakuan agar tidak ditarik balik hidayah pemberian Allah.

Biarpun hidayah itu adalah pemberian Allah tetapi tidak bermakna kita hanya berpeluk tubuh dan menunggu ia datang kepada kita. Hidayah perlu dicari dan boleh diusahakan jika kita benar-benar inginkannya dengan memohon kepada Allah. InsyaAllah, kita pasti akan diberikan hidayah.

- Artikel iluvislam.com

Usah Menanti Syurga Di Pintu Neraka

"Kehidupan dunia ini (jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan, dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya, sekiranya mereka mengetahui." (Surah al-Ankabut , ayat 64)

Melihat kepada fenomena hari ini, terdapat pelbagai ragam manusia. Ada kehidupan mereka yang tidak berubah-ubah sedari kecil, remaja, dewasa, tua dan sehinggalah ajal datang menjemput. Tetapi ada juga yang berubah mengikut peredaran usia dan waktu serta keinginan hati mereka dalam mencari kebenaran dan arah tuju hidup. Sememangnya sudah fitrah manusia untuk kembali kepada kebenaran meskipun mereka adalah dari golongan seburuk-buruk dan sejahat-jahat manusia. Mungkin sukar untuk percaya, seorang yang digelar 'setan' itu jauh di sudut hatinya ingin menjadi seorang yang baik.

Keinginan untuk menjadi baik dan akhirnya menemui laluan ke arah kebaikan itulah sebenarnya yang dinamakan hidayah. Dengan kehendak Allah, hati yang telah ditutupi dan diselaputi dengan dosa dan noda, akan ada sedikit lubang kecil yang hanya dimuati laluan cahaya hidayah Allah untuk ditembusi terus ke dalam hati-hati manusia yang terpilih.

Sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nur ayat 35 yang bermaksud, " Allah (memberi) nur (cahaya) langit dan bumi. Umpama cahaya-Nya seperti sebuah lubang di dinding rumah, di dalamnya ada pelita. Pelita itu di dalam gelas. Gelas itu seperti bintang yang berkilauan. Pelita itu dinyalakan dengan minyak pohon yang diberkati iaitu minyak zaitun yang (tumbuh) bukan di timur dan bukan di barat, minyak itu hampir bercahaya dengan sendirinya meskipun tiada disentuh api. Cahaya berdampingan dengan cahaya. Allah menunjuki sesiapa yang dikehendaki-Nya kepada cahaya-Nya itu. Allah menunjukkan beberapa contoh untuk manusia. Allah mengetahui setiap sesuatu."

Tatkala kita merasakan kumpulan dosa terlalu banyak, janganlah kita berputus asa dari rahmat-Nya dan merasakan diri tiada tempat di sisi Allah untuk kembali ke pangkal jalan. Sebaliknya bersyukurlah, dengan terdetiknya sedikit penyesalan itu sebenarnya adalah satu bentuk hidayah Allah yang lahir tanpa kita sedari kecuali bagi mereka yang berfikir akan nikmat yang Allah berikan. Kerana dosa yang kita sedari itulah yang mendekatkan diri dengan Allah dan seterusnya melahirkan rasa kehambaan dalam diri dan mengakui kelemahan sebagai seorang manusia yang perlu bergantung kepada Sang Pencipta.

Berbanding dengan mereka yang berasa diri tidak pernah berbuat dosa dan sentiasa betul dalam kelakuan dan tindakan, ia cukup bahaya kerana tidak sedar diri mereka sudah berada jauh dari Allah. Mereka ini adalah golongan yang sombong dan tidak mengharapkan pertolongan Allah tetapi lebih kepada mengikut kata hati dan berbuat apa sahaja yang mendatang kebaikan dan keseronokan pada diri.

Apa yang terjadi hari ini, kita seringkali menolak seruan-seruan untuk kembali kepada Islam. Pelbagai alasan yang diberikan kerana merasakan diri masih muda dan belum tiba masanya untuk berubah. Alasan yang paling suka diberikan ialah 'belum sampai seru!' alasan tersebut langsung tidak munasabah. Mana mungkin kita mengharapkan sesuatu yang bernilai itu diberi secara percuma tanpa perlu berusaha untuk mendapatkannya!

Seringkali apabila kita diberikan ujian dan didatangkan suatu insiden barulah ia berjaya membuka hati kita untuk berubah. Insiden tersebutlah yang akhirnya mengetuk pintu hati kita untuk bertaubat dan kembali kepada jalan Allah. Kita dikira bernasib baik jika nyawa masih dikandung badan tetapi apa akan terjadi jika kita sudah tidak diberi peluang untuk bernafas dan menebus segala dosa-dosa lalu?

Bentuk-bentuk Hidayah

Hidayah datang dalam pelbagai bentuk. Bentuk yang pertama ialah hidayah naluri (keinginan). Hidayah ini adalah sesuatu yang semula jadi ada pada diri kita sejak dilahirkan ke dunia sebagai contoh, bayi yang baru dilahirkan akan menangis apabila lapar. Nalurinya inginkan makanan bagi menghilangkan rasa lapar. Yang kedua ialah hidayah melalui pancaindera. Semasa kecil, kita dapat mengenali dan membezakan sesuatu perkara dengan menggunakan pancaindera seperti mendengar suara ibu dan ayah atau dapat mengenali sesuatu objek. Kemudiannya hidayah dalam bentuk akal fikiran yang mana ia dikurniakan oleh Allah supaya dapat memandu kita berfikir secara rasional sebelum bertindak.

Seterusnya ialah hidayah agama. Hidayah inilah yang menyelamatkan diri kita daripada kesesatan dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam dan beriman kepada Allah SWT. Ia dapat mendorong kita melakukan kebaikan dan meninggalkan larangan Allah sekali gus dapat membezakan antara perkara-perkara baik dengan perkara haram.

Yang terakhir ialah hidayah taufik yang mana merupakan tahap hidayah yang tertinggi kurniaan Allah kepada hambanya yang dikasihi. Tinggal sekarang, hidayah itu harus dijaga kerana nilainya tiada tara dan tidak dapat ditukar dengan apa pun. Ia menjaga kehidupan kita di dunia mahupun di akhirat kelak.

Hidayah pula diturunkan dalam dua cara iaitu hidayah pemberian makhluk sama ada dari kalangan para nabi, pendakwah ataupun sesiapa sahaja. Contohnya hidayah yang diturunkan melalui Nabi Muhammad agar membimbing umatnya beriman kepada Allah. Namun, hidayah taufik ini tidak mampu diberikan oleh makhluk tetapi hanya Allah yang berkuasa. Ia tiada pada Nabi Muhammad walaupun baginda adalah seorang Rasul sebagaimana firman Allah dalam surah al-Qashash ayat 56 yang bermaksud, "Sesungguhnya engkau (ya Muhammad) tidak dapat memberi hidayah/petunjuk kepada orang yang engkau cintai, akan tetapi Allah lah yang memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki."

Adapun ciri-ciri orang yang sudah mendapat hidayah, mereka hebat beribadat seperti melakukan solat fardu dan sunat, mengeluarkan zakat dan rukun Islam yang lain, sentiasa memperuntukkan waktu untuk bertasbih dan bertahmid kepada Allah SWT selain mengerjakan keperluannya di dunia. Mereka ini tidak mampu melupakan Allah walau sesaat kerana begitu takut akan pembalasan di hari akhirat nanti. Mereka juga terlalu berhati-hati dalam setiap perlakuan agar tidak ditarik balik hidayah pemberian Allah.

Biarpun hidayah itu adalah pemberian Allah tetapi tidak bermakna kita hanya berpeluk tubuh dan menunggu ia datang kepada kita. Hidayah perlu dicari dan boleh diusahakan jika kita benar-benar inginkannya dengan memohon kepada Allah. InsyaAllah, kita pasti akan diberikan hidayah.

- Artikel iluvislam.com

Biasa amalkan ker ??

Istibra’ bagi lelaki Islam dilakukan setelah selesai buang air kecil(kencing) untuk meyakinkan bahawa tidak ada air kencing yang tersisa di saluran kencing (uretra).Tidak ada anjuran ini untuk wanita muslim.

“Daripada Ibnu ‘Abbas dia berkata: Nabi Muhammad S.A.W melalui salah satu tembok dari tembok-tembok Madinah atau Makkah, lalu Baginda mendengar suara dua orang manusia yang sedang disiksa di dalam kuburnya.

Nabi bersabda: “Dua orang sedang disiksa dan keduanya tidak disiksa kerana dosa besar. Kemudian Baginda bersabda: Ya, yang seorang tidak beristibra‘ dengan sebersih-bersihnya daripada kencingnya dan yang seorang lagi berjalan dengan mengadu domba. Kemudian Baginda minta diambilkan pelepah kurma yang basah, lalu dibelah menjadi dua dan Baginda letakkan pada masing-masing kuburan itu satu belahan. Lalu dikatakan: Wahai Rasulullah, kenapakah engkau perbuat ini? Baginda bersabda: Mudah-mudahan keduanya diringankan selama dua belah kurma itu belum kering atau sehinggalah ia kering”.

(Hadith riwayat Al-Bukhari)


Istibra' dilakukan dengan cara:
• Mengusap dengan kuat antara lubang dubur dan zakar sebanyak 3 kali . Usapan hendaklah dilakukan sehala saja dari arah dubur ke telur zakar.
• Meletakkan telunjuk di bawah batang zakar dan ibu jari di atas batang zakar dan lalu mengusapkannya dengan tekanan hingga ujung zakar sebanyak 3 kali.
• Menekan ujung zakar [kepala zakar] 3 kali. Dilakukan seperti memerah kepala zakar, untuk mengeluarkan sisa-sia air kencing.

Secara umumnya cara untuk beristibra' itu berbeza-beza mengikut kelainan cara yang dilakukan seseorang. Sekalipun begitu, tujuannya adalah sama iaitu untuk menghentikan aliran air kencing. Ada yang melakukannya dengan cara yang mudah, ada pula yang terpaksa membuat berulang-ulang kali untuk menghentikannya, dan ada juga yang melakukannya dengan cara berdehem-dehem.


Tambahan:
1) Jika setelah istibra', keluar cairan yang meragukan apakah air kencing atau bukan, maka dianggap suci dan tidak membatalkan wudhuk tetapi jika tidak istibra', maka dihukumi najis dan membatalkan wudhuk.

2) Jika kita tidak melakukan istibra’ dan kita TELAH YAKIN bahawa setelah beberapa waktu berlalu dari kita buang air kecil tidak ada air kencing yang tersisa di saluran kencing, lalu kita menemui setitis cairan dan berasa ragu adakah cairan itu adalah suci atau tidak, maka cairan tersebut adalah suci dan tidak membatalkan wudhuk.


3)Kalaupun di saat solat ada yang terasa keluar, hal itu tidak membatalkan solat,kerana anda telahpun beristibra'.Allah tidak membebani seseorang di luar batas kemampuannya:

Allah ingin memberikan kemudahan untuk kalian dan manusia tercipta dalam keadaan lemah. (an-Nisa: 28).

4) Antara manfaat amalan Istibra' ialah mencegah masalah berkaitan prostate dan masalah radang jangkitan pada saluran kencing.

Islam itu syumul,daripada seremeh-temeh Istibra' pun diajar caranya dalam Islam apatah lagi sebesar-besar pemerintahan sesebuah kerajaan.

Sumber: Fiqh Sunnah, Sayyid Sabiq"

PERBANDINGAN IMAN ORANG FASIK, MUNAFIK DAN IMAN YANG SEMPURNA

ORANG FASIK
· Tidak beriman sepenuhnya kepada Allah

· Masih melakukan perbuatan yang dilarang Allah

ORANG MUNAFIK
· Keimanan mereka berpura-pura sahaja

· Menunjukkan diri mereka beriman kepada Allah, tetapi hakikatnya mereka adalah musuh Allah

ORANG YANG SEMPURNA IMAN
· Terus sujud dan memuji Allah jika dibacakan ayat-yat Allah

· Sentiasa berdoa kepada Allah dengan penuh harapan

· Sentiasa membelanjakan harta pada jalan kebaikan


Oleh : Ust. Hasrizal Abdul Jamil (Saifulislam.com)

Seseorang itu dianggap terkeluar daripada iman dan Islam apabila dia beri’tikad, berkata-kata atau melakukan perbuatan yang membatalkan ikrar dan tasdiq dua kalimah syahadah dan diwajibkan kepada kerajaan Islam melaksanakan hukum murtad (hudud) ke atasnya.Berdasarkan Al-Quran dan sunnah Rasulullah, Al-Imam At-Tahawi menyenaraikan empat perkara asas yang membatalkan iman, iaitu :
1. Mengingkari sifat Rubbubiyyah [4]

Setiap iktikad, perkataan dan tindak-tanduk yang mengengkari dan tidak mempercayai Allah sebagai kuasa yang mencipta alam dan sekalian makhluk, mentadbir, memberi rezeki, boleh menyebabkan seseorang menjadi kufur.

Dan jika kamu bertanya kepada mereka, siapakah yang menciptakan mereka, nescaya mereka menjawab : Allah!. Maka bagaimanakah mereka dapat dipalingkan. (Az-Zukhruf : 87)

2. Mengingkari sifat Uluhiyyah [5]

Setiap iktikad, kepercayaan dan tindak-tanduk yang mengengkari dan tidak mempercayai Allah sebagai ilah dengan penuh kasih, takut, dll serta tidak disekutukan ibadat selain kepadaNya dan menerima segala hukum-Nya dengan yakin dan redha.

Hanya kepada Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami minta pertolongan. (Al-Fatihah : 5)

Inilah dasar yang memisahkan antara mukmin dan kafir kerana ramai manusia mempercayai sifat Rubbubiyyah Allah tetapi mengengkari sifat Uluhiyyah Allah.

Dan seandainya kamu bertanya kepada mereka siapakah yang menciptakan mereka, nescaya mereka akan menjawab : Allah!, tetapi bagaimanakah mereka dapat dipalingkan (daripada beriman kepada Allah)? (Az-Zukhruf : 87)

3. Mengingkari Asma’ Allah dan sifat-sifat-Nya

a. Kafir Nafi

Menafikan dan mengengkari mana-mana sifat Allah seperti ilmu-Nya, qudrat-Nya dll atau mentakrifkan mana-mana sifat Allah dengan takrifan yang kurang sempurna seperti menyamakan ilmu Allah dengan ilmu makhluk (terhad) dan mempertikaikan hak dan kekuasaan Allah seperti tidak merujuk kepada perintah dan larangan Allah dalam menggubal undang-undang.

b. Kafir Isbat

Menetapkan mana-mana sifat kekurangan atau mustahil bagi Allah sedangkan Al-Quran dan Hadith menafikannya seperti mengatakan Allah mempunyai anak dan isteri serta mengadakan peraturan sendiri yang bercanggah dengan yang telah ditetapkan oleh Allah.

4. Mengingkari Rasulullah dan kerasulannya.

Setiap i’tikad, perkataan dan tindak-tanduk yang mengengkari dan mencela peribadi dan kerasulan Rasulullah serta apa yang disampaikannya seperti tidak melaksanakan hukum Islam dalam pemerintahan, mengkafirkan sahabat dll.


LANJUTAN PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN IMAN

Kita telah memahami bagaimana seseorang itu dianggap menganut Islam dalam erti kata yang sebenarnya dan tertanam di dalam hatinya ciri-ciri iman. Ada orang dikurniakan oleh Allah SWT dengan iman yang teguh sehingga dia meninggal dunia dengan mentasdiqkan La Ilaha Illallah Muhammad Rasulullah dan ada pula orang yang berpaling tadah dengan sebab engkar dan durhakanya.

Orang yang ditetapkan imannya pula, ada yang dianggap sentiasa di dalam kebaikan, ada pula yang cuai dan ada pula yang menzalimi dirinya sendiri. Ada orang yang masuk syurga dengan tiada hisab, ada pula orang yang dimasukkan ke neraka kerana dosa sehinggalah Allah melepaskannya dari neraka dengan kurniaanNya.

Adapun orang yang dicabut imannya perlulah kita mengkaji kaedah-kaedah yang dikemukakan oleh ulama’ berdasarkan al-Quran dan sunnah Rasulullah saw, di antaranya ialah apa yang ditegaskan oleh al-Imam At Tahawi rahimahullah di dalam kitabnya.

“Dan kami menamakan ahli-ahli qiblat kami orang-orang Islam dan orang-orang beriman selagi mereka mengakui apa yang dibawa oleh Nabi saw dan membenarkan apa-apa yang disabda dan diberitahu…Kami tidak mengkafirkan seseorang pun di kalangan ahli al qiblat dengan sebab melakukan dosa selagi dia tidak menghalalkannya, dan kami tidak berkata, ‘bahawa mereka telah memberi mudharat bersama iman itu oleh dosa sesiapa yang melakukannya…Dan seorang hamba itu tidak terkeluar daripada iman melainkan dengan mengengkari hukum terhadap apa yang diceburinya.”

Penjelasan daripada kaedah itu ialah bahawa hukum syara’ telah menjelaskan bagi Iman dan Islam itu ada pintu masuk dan pintu keluarnya. Sebagaimana yang dinyatakan dahulu, sesungguhnya ikrar dan mentasdiqkan dua kalimah syahadah itu menjadi pintu masuk dan kuncinya. Maka orang itu dianggap keluar daripada iman dan Islam apabila lahir daripadanya perkataan, perbuatan atau iktikad yang membatalkan ikrar dan tasdiq dari dua kalimah syahadah yang memberi makna mentauhidkan Allah swt pada Rubbubiyah, Asma’ dan SifatNya, dan mentauhidkan Allah pada Uluhiyyah. Dan sebahagian yang kedua daripada syahadah itu berikrar dan mentasdiqkan segala yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW di samping mengakui segala sifat kenabian dan kerasulan.

Oleh itu, sesiapa yang bercakap atau melakukan perkara-perkara yang menunjukkan keingkarannya terhadap ikrar syahadah itu, maka syahadahnya terbatal dan keluarlah dia daripada Islam dan diwajipkan kepada kerajaan Islam melaksanakan hukum murtad ke atasnya, bermula daripada disuruh bertaubat sehinggalah dijatuhkan hukuman bunuh kalau dia tidak mahu bertaubat dan tempatnya kekal di dalam neraka kalau dia mati di dalam keadaan begitu.

Adapun seorang mukmin itu melakukan dosa maka tidaklah batal imannya sekalipun dia belum bertaubat jika tidak ada padanya perkara-perkara yang membatalkan syahadahnya, jika Allah mengkehendaki dia mengampuninya, dan dengan kehendakNya juga dia dimasukkan ke dalam neraka, kemudian dimasukkannya pula ke syurga, kerana terlalu banyak hadith-hadith yang sahih yang menyatakan bahawa Allah swt membebaskan dari neraka orang-orang yang ada iman di hatinya walaupun sebesar zarrah dan firman Allah yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah tidak mengampunkan dosa syirik denganNya dan Dia mengampuni yang lain daripada itu akan sesiapa yang dikehendaki.” (An-Nisa’ : 116)

Oleh itu, maka perkara yang menyebabkan terkeluarnya seseorang itu daripada agama Islam atau terbatal imannya ialah :

- mengingkari sifat Rubbubiyyah atau mencelanya,
- mengingkari atau mencela Asma’ Allah dan sifat-sifatNya
- mengingkari atau mencela sifat Uluhiyyah
- mengingkari atau mencela Rasulullah saw atau kerasulannya

Keempat-empat perkara tersebut berlaku dengan i’tiqad, perkataan dan perbuatan, di mana sesiapa yang melakukannya batallah imannya dan keluar daripada agama Islam dan syahadahnya tidak sah. Wal’iyadzubillah.

Bagi menjelaskannya ialah :

1. Mengingkari sifat Rubbubiyyah atau mencelanya

Yang pertama di dalam tauhid itu ialah mentauhidkan Allah swr pada RubbubiyahNya beri’tiqad bahawa Dialah Tuhan yang menciptakan alam, mentadbir, memilikinya, memberi rezeki, segala-galanya di bawah pengetahuan, kehendak dan kebijaksanaanNya yang tidak terhingga. Maka setiap i’tiqad, perkataan dan tindak-tanduk yang menunjukkan keingkarannya menjadi kafir dan riddah, seperti orang yang menganggap ada yang Qiddam (sedia) selain daripada Allah swt sehingga ia tidak berhajat kepada penciptanya, mengingkari bahawa makhluk itu ciptaan Allah swt, menganggap Allah tidak mengambil tahu terhadap makhluk setelah dijadikanNya, menganggap adanya rezekiyang bukan dari Allah swt, menjadi kufur orang yang menganggap sifat itu dipunyai juga oleh ynag lain daripada Allah swt seperti yang dinyatakan oleh Fir’aun :

“Akulah Tuhan kamu yang maha tinggi.” (An Naaziat: 24)

Atau mengaku dirinya berkuasa memiliki, memberi rezeki dan mentadbir selain daripada Allah swt atau bersekutu dengan Allah swt. Dan menjadi kafir juga orang-orang yang ikut atau mempercayai sesiapa yang membuat pengakuan tersebut.

2. Mengingkari atau mencela Asma’ Allah dan sifat-sifatNya

Allah swt dan RasulNya saw telah mensabitkan bagiNya beberapa nama (Asma’) dan sifat, di samping menafikan beberapa sifat. Maka sesiapa yang menafikan atau mengurangkan apa yang disabitkan oleh Allah atau yang dinyatakan oleh Rasulullah , maka dia menjadi kafir. Begitu juga orang-orang yang mensabitkan bagi Allah swt apa yang dinafikan oleh oleh RasulNya saw.

Adapun mengkafirkan sifat-sifat Allah dan Asma’Nya itu dengan dua cara, iaitu kafir Nafi dan kafir Ithbat. Kafir Nafi itu ialah menidakkan atau menafikan mana-mana sifat Allah swt seperti menafikan ilmuNya, qudratNya dan lain-lain sifat yang dinyatakan di dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullsh saw. Juga termasuk menafikan sifat dan mentakwilkan dengan takwil yang mengurangkan atau menghadkan kesempurnaan Allah swt, seperti orang yang mengaku Allah itu bersifat ‘ilmu tetapi ‘ilmu secara ijmal, dia tidak mengetahui secara tafsil dan detail atau menyamakan sifat Allah swt dengan sifat makhluk.

Kafir Ithbat itu ialah menetapkan mana-mana sifat kekurangan atau sifat yang mustahil bagi Allah swt sedangkan Allah swt dan RasulNya menafikan sifat itu, seperti menyatakan bahawa Allah itu mempunyai anak, isteri atau sekutu-sekutu, Allah swt itu mengantuk, tidur, lalai, mati dan sebagainya. Begitu juga orang-orang yang mengaku bersifat seperti Allah swt maka kafirlah orang yang berkata begitu dan kafir juga orang yang mempercayainya.

3. Mengingkari atau mencela sifat Uluhiyyah

Iaitu perkataan atau perbuatan atau i’tiqad yang mengingkari bahawa Allah swt sahaja yang disembah dengan sebenarnya, yang lain daripadaNya tidak berhak disembah dan diabdikan diri kepadaNya dengan pengertian ibadat. Maka sesiapa yang berkata atau beramal atau beri’tiqad dengan cara yang bercanggah dengan UluhiyyahNya, maka kafir dan murtadlah dia. Dan kekafiran inilah yang paling banyak berlaku di kalangan manusia. Sesungguhnya kebanyakan manusia sejak dahulu hingga sekarang mengakui tauhid Rubbubiyah dengan mempercayai qudrat Allah swt, tadbirNya, rezekiNya, Dialah yang menghidupkan dn mematikan, iaitulah apa yang dimaksudkan oleh firman Allah yang bermaksud :

“Dan sesungguhnya jika kamu bertanyakan mereka, ‘Siapakah yang menciptakan mereka?’. Nescaya mereka menjawab, ‘Allah’”. (Az Zukhruf : 87)

Tetapi mereka mengingkari di dalam i’tikad, perkataan dan perbuatan terhadap Uluhiyyah Allah seperti beribadat kepada yang lain daripada Allah swt, mengakui hukum dan undang-undang yang lain daripada syari’at Allah dengan hati dan lidah.

4. Mengingkari atau mencela Rasulullah saw atau kerasulannya

Iaitu perkataan atau perbuatan atau i’tikad yang menafikan atau mencela kerasulan atau peribadi orang yang menjadi rasul saw dan mengingkari apa-apa yang dikhabarkan oleh Rasulullah saw seperti tentang kebangkitan selepas mati, tentang masyhar, hisab, mizan, sirat, syurga, neraka dan lain-lain lagi daripada perkara-perkara ghaib. Begitu juga mengingkari al-Quran dengan apa cara sekalipun kerana al-Quran itu disampaikan oleh Rasulullah saw bahawa ianya dari Allah swt. Begitu juga mengingkari hukum yang sabit menurut nas al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw yang diketahui oleh setiap orang Islam seperti wajibnya sembahyang, puasa, zakat, haji, halal dan haram melainkan mengingkari perkara-perkara yang diketahui oleh orang-orang yang berilmu sahaja, maka dimaafkan kerana jahilnya tetapi tiada maaf lagi setelah diberitahu.

Berkata al Imam Ibn Hajar al Haitami di dalam kitabnya :

“Di antara perkara-perkara kufur dan syirik itu ialah seseorang yang berazam untuk menjadi kafir dan syirik sama ada dalam masa yang dekat atau jauh, atau mentaklidkan dengan lidahnya dan hatinya untuk menjadi kafir walaupun dengan perkara yang mustahil pada akal, maka dia menjadi kafir ketika itu juga. Atau secara ingkar dan bersenda-senda seperti beri’tikad dengan qadimnya alam, atau menafikan apa yang diwajibkan bagi Allah swt dengan ijma’ dan diketahui oleh umum umat Islam seperti menafikan ilmu Allah swt itu terbatas, ataupun mensabitkan apa yang nafi bagi Allah swt seperti menetapkan warna bagiNya.”

Dan seterusnya Ibn Hajar menghuraikan : “termasuk di dalam makna itu apabila seseorang yang menyatakan dia sebagai Islam tiba-tiba dia melakukan perkara-perkara yang menjadi ijma’ berlaku di kalangan orang kafir seperti mengunjungi gereja bersama-sama orang kafir dengan cara dan pakaian yang sama, atau orang yang membuang kertas yang mengandungi ayat-ayat Quran atau Ismullah ke dalam najis, atau meragui mana-mana nabi atau mana-mana Kitab seperti Taurah, Injil atau Zabur atau Suhuf Ibrahim, atau mana-mana ayat al-Quran. Atau menyesatkan umat yang tidak sesat, atau mengkafirkan sahabat, atau mengingkari Mekah, Kaabah, Masjid al Haram, atau sifat-sifat haji, sembahyang dan puasa, atau menghalalkan yang haram seperti mengharuskan sembahyang tanpa wudhu’ dalam perkara yang tidak uzur, menghalalkan kezaliman ke atas orang Islam atau kafir zimmi tanpa dalil syar’ie yang mengharuskan dia beri’tikad begitu, atau mengharamkan yang halal seperti mengharamkan jual beli dan nikah, atau mengatakan sesuatu yang tidak patut terhadap Rasulullah saw seperti warnanya hitam, mati sebelum berjanggut, tidak Quraisy, bukan Arab, bukan manusia, kerana berkata begitu adalah membohongi keadaan yang sebenar.

Begitu juga mengharuskan ada nabi selepas daripadanya atau melahirkan keraguannya seperti berkata : ‘Saya tidak tahu sama ada yang dibangkitkan di Mekah mati di Madinah atau orang lain.’ Atau mengatakan bahawa jadi Nabi itu boleh diusahakan, atau menyatakan wali itu lebih tinggi martabatnya daripada nabi dan malaikat, melaknatnya atau memakinya atau mempersendakannya. Kemudiannya Ibn Hajar menyatakan bahawa menjadi kafir juga orang yang meredhakan kafir seperti menasihatkan orang kafir supaya jangan masuk Islam.

Berkata al Imam Ibnu Taimiyyah rahimahullah ketika menafsirkan firman Allah swt yang bermaksud :

“Sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka orang-orang yang kafir.” (Al-Maidah : 44)

“…Tidak syak lagi bahawa sesiapa yang tidak beri’tikad wajiblah berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah swt adalah menjadi kafir. Sesungguhnya setiap umat Islam itu mestilah memerintah dengan adil. Kadang-kadang keadilan menurut hukum mereka ialah yang dipandang oleh pembesar-pembesar mereka. Bahkan banyak sekali di kalangan orang yang mengaku Islam berhukum dengan adat yang bukannya diturunkan oleh Allah swt seperti orang Badwi di zaman dahulu di mana mereka berpendapat itulah hukum yang sayugia dilaksanakan, bukannya kitab Allah dan sunnah Rasulullah saw.”

Allah Kamu Bukan Allah Kami, Wahai Rakan Kristian.

Oleh: mazwandi

"Selepas solat Isyak tadi, hamba menuju ke meja makan hamba. Bukan untuk makan malam, tetapi untuk melayari internet. Lap top hamba ada di atas meja makan. Dalam keadaan yang tidak selesa duduk di atas kerusi makan, kerana pinggang hamba yang sakit semenjak hari Rabu, hamba melayari internet.

Kemudian hamba ada terbaca satu artikel di dalam web page Malaysian Insider yang bertajuk "Your Allah is also my Allah". Anda semua boleh baca di sini. Ianya ditulis oleh seorang wanita muda, mungkin asal dari Sarawak. Artikelnya berbahasa ringan namun isiannya adalah satu yang berat walaupun mungkin tidak disedari oleh penulis itu.

Ianya didalam bahasa Inggeris. Pelik juga mengapa sipenulis itu membuat artikel berkenaan Bible berbahasa Melayu di dalam bahasa Inggeris. Mungkin adalah lebih elok beliau menulisnya didalam bahasa Melayu, agar ramai lagi orang Melayu boleh membaca dengan penuh penghayatan. Namun ianya adalah hak penulis untuk menulis artikel didalam bahasa apa yang disukainya.

Cumanya, apa yang hamba hendak katakan disini ialah, 'Your Allah is actually not the same of my Allah'. Allah kamu adalah berlainan dari Allah saya. Mahu tidak mahu, sedar atau tidak, inilah kebenarannya dan kebenaran tidak boleh digubal-gubal seperti undang-undang manusia yang boleh diubah sesuka hati mengikut akal manusia.

Kenapa hamba berkata demikian? Ini kerana hamba baru sebentar tadi bersolat keseorangan sambil duduk di dalam bilik di atas sejadah kerana tidak boleh berdiri akibat sakit pinggan. Dalam rakaat kedua, selepas membaca surah Fatihah, hamba membaca surah Al-Ikhlas. Surah yang pendek dan yang yang paling senang umat Islam menghafalnya dan cukup kuat menyatakan tentang akidah dan untuk mengenal, siapakah dia Allah.

Surah ini ada 4 ayat sahaja. Pendek. Tetapi cukup kuat dan berat dengan penerangan Allah kepada kita, siapakah Dia Allah itu. Saya perturunkan ayat ini dibawah didalam bahasa Melayu;

1. Katakanlah, Allah itu SATU.
2. Allah itu Somad. -(Somad- Tuhan, yang segala sesuatu bergantung kepadaNya.)
3. Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan.
4. Dan tiada satu pun sekufu (setanding/setaraf) denganNya.

Allah itu satu. Bukan dua, bukan tiga, bukannya banyak. Allah itu satu, Ahad.

Allah itu Tuhan yang semua benda yang berada di alam ini bergantung kepadaNya. Manusia, Jin, binatang, bulan bintang, udara, virus, syaitan atau jembalang sekalipun, semuanya bergantung kepada ketentuan Allah.

Allah tidak beranak. Dan Allah tidak diperanakkan. Tidak dilahirkan. Tiada ibu, tiada bapa. Tidak bunting, tidak melahirkan anak Tuhan.

Allah juga tiada apa yang setanding, sekufu, setaraf dan sama denganNya. Allah tiada roh kudus, Allah adalah Allah, segala maha puji segalanya bagi Allah! Allahuakbar! Allah Maha Besar!

Itulah Allah hamba. Allah yang redha Islam adalah agamaNya. Allah yang MURKA, mengatakan Jesus adalah anakNya. Allah yang Al-Jabbar! Kepada makhluk yang menyembah benda lain selain dari Dia, Allah!

Maka oleh itu, wahai rakan Kristian, janganlah kamu sekelian menyamakan Allah kamu dengan Allah. Kerana Allah adalah Allah. Tuhan sekelian alam. Jika kesemua umat Kristian menyatakan bahawa Jesus itu hanya manusia yang bergelar Rasul, bukan anak Allah, Mariam itu wanita yang suci, bukan ibu tuhan Jesus, hanya ibu kepada Nabi Jesus Al-Masih yang tidak berbapa, maka barulah boleh dibincangkan bahawa Allah kamu itu adalah Allah kami.

Kemudian, barulah juga boleh dibincangkan bahawa Nabi Muhammad itu adalah Rasul Allah.

Layari blog hamba; http://ibnmustaffa.blogspot.com/

Tuhan Itu Wujud.

Mohd Ali Majis Yesterday at 9:44pm · Seorang Ustaz ke Barber Shop untuk gunting rambutnya. Ketika rambutnya sedang digunting, si tukan...