Sunday, January 23, 2011

KETAWA DALAM ISLAM

KETAWA DALAM ISLAM
Dari : Riwayat Abu Daud

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:":Celakalah
orang yang berbicara lalu mengarang cerita dusta
agar orang lain tertawa. Celakalah !"

i) Kelakar adalah perbuatan, kata-kata dan
sebagainya yang dapat menggembirakan atau yang
dapat menggelikan hati orang lain. Sinonimnya
adalah jenaka, lawak dan gurau senda.


ii) Membuatkan orang lain senang hati adalah
termasuk dalam amal kebajikan dan Rasulullah
s.a.w juga selalu berjenaka dengan ahli keluarga
dan para sahabat baginda.

iii) Namun begitu bergurau mempunyai adab-adab
tertentu yang telah digariskan oleh Islam
seperti:

a) Tidak menjadikan aspek agama sebagai bahan
jenaka seperti mempersendakan sunnah Rasulullah
s.a..w .

b) Gurauan tersebut bukan merupakan cacian atau
cemuhan seperti memperlekehkan orang lain dengan
menyebut kekurangannya.

c) Gurauan itu bukan ghibah (mengumpat) seperti
memburukkan seseorang individu dengan niat
hendak
merendah-rendahkannya.

d) Tidak menjadikan jenaka dan gurauan itu
sebagai kebiasaan.

e) Isi jenaka adalah benar dan tidak dibuat-
buat.

f) Bersesuaian dengan masa, tempat dan orangnya
kerana adalah tidak manis bergurau di waktu
seseorang berada dalam kesedihan dan sebagainya.

g) Menjauhi jenaka yang membuatkan orang lain
ketawa secara berlebihan (ketawa terbahak-bahak)
kerana banyak ketawa akan memadamkan cahaya
hati.

iv) Sesungguhnya Rasulullah s.a.w apabila ketawa
baginda hanya menampakkan barisan gigi
hadapannya
sahaja, bukan ketawa yang berdekah-dekah,
mengilai-ngilai atau terkekeh-kekeh dengan
maksud
bahawa selaku seorang muslim kita hendaklah
sentiasa menjaga batas kesopanan dalam ertikata
yang sepatutnya.

No comments: