Sunday, October 04, 2009

Tolak hukum Islam murtad’

KUALA LUMPUR
“Kalau kita menolak hukum Islam, itu murtad namanya,” tegas Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengulas cadangan Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG) dianggotai Sisters in Islam dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain supaya hukuman sebat dalam undang-undang syariah dinilai sekali gus dimansuhkan.

JAG yang dibangun atas nama pembela hak asasi manusia sebelum itu menggesa kerajaan menilai kembali dan memansuhkan undang-undang syariah yang menerapkan hukuman sebatan berikutan menurut mereka dianggap mendera selain mencabul prinsip hak asasi manusia antarabangsa yang menganggapnya kejam, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah.

Mereka turut mendakwa mengikut peruntukan Seksyen 289 Kanun Acara Jenayah menyebut dengan jelas wanita dilarang daripada tindakan sebat sekali gus bercanggah dengan sebatan mengikut undang-undang Syariah yang aktif dijalankan Perlis, Pahang dan Kelantan.

Mengulas isu itu, Harussani berkata, Allah SWT secara terang menyebut dalam al-Quran bahawa apa yang didatangkan dan dihukum Rasullah s.a.w hendaklah diambil sekali gus diikuti, manakala larangannya perlu dipatuhi dan jangan sesekali diamalkan dalam kehidupan harian.
“Jadi hukuman ini (sebat kerana minum arak) memang disuruh Nabi Muhammad s.a.w, kenapa pula kita tidak ikut, dan mereka ini (JAG) atau Sisters in Islam ini sebenarnya menentang Islam ke, bukannya mereka mengikut ajaran Islam.

“Mereka anggap hukum Allah itu kolot ke...(sedangkan) kita ini pun dijadikan oleh Allah, cukup anggotanya, diberi akal fikiran...(tengok) betapa hebatnya Allah yang mencipta dan menghidupkan semua perkara.

Jangan kita pula hendak memperkecilkan Allah dan hukum-Nya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mengenai hukuman sebat ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, beliau menjelaskan sebatan yang diputuskan di bawah undang-undang Islam bukan sama seperti dilaksanakan kerajaan Pusat untuk penjenayah yang melanggar undang-undang Persekutuan.
Menurutnya, sebat yang dilaksana tidak mendatangkan sakit atau kemudaratan teruk, bahkan jelas menggunakan rotan yang hanya sebesar jari, manakala tangan tukang sebat yang menghayun rotan pula diangkat tidak melebihi daripada ketiak.

Maknanya rotan yang digunakan itu kecil, ketika menghayunkannya (untuk hukum) pula tidak boleh tinggi, menjelaskan tangan hanya diangkat sedikit saja....tidak sakitlah maknanya dan
taklah seperti dibuat di penjara...terlalu berat.

“Saya nasihatkan mereka supaya janganlah buat kenyataan sebarangan, hati-hati bila berucap sesuatu, jangan sampai menyebabkan mereka terkeluar dari landasan Islam sebenar,” katanya.

Harussani turut memberitahu hukuman enam sebatan ke atas Kartika kerana kesalahan meminum arak bukan bertujuan mendera, jauh sekali mendatangkan kesakitan sebaliknya dibuat untuk mengajar dan wajar disaksikan ramai orang sebagai pengajaran bermakna.

No comments:

  as salam Mohon , bantuan wakaf dana anda