Wednesday, October 14, 2009

Tips untuk elak kejadian rogol dan menjaga maruah diri
Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali

Malang bagi masyarakat kita, sejak akhir-akhir ini, nampaknya kejadian penganiayaan terhadap golongan kanak-kanak dan wanita semakin berleluasa dalam negara.
Penguatkuasa dalam negara seolah-olahnya tidak serius dalam menjalankan tanggungjawab membanteras gejala rogol, pencabulan dan sebagainya.
Sehubungan dengan itu, untuk membantu diri anda, keluarga dan masyarakat, maka disenaraikan beberapa tips panduan yang berguna untuk diamalkan seperti berikut:
Terhadap Kanak-kanak Anak-anak kecil mesti sentiasa di bawah pengawasan ibu-bapa, guru-guru atau penjaga yang dipercayai.
Kanak-kanak juga boleh dirogol oleh penjaga atau keluarga penjaga/pengasuh, oleh itu sentiasa ada rasa 'cemburu' dan berhati-hati.
Galakkan anak-anak untuk bercakap atau bercerita apa yang berlaku sepanjang peninggalan ibu bapa supaya dengan ini dia akan memaklumkan perkara-perkara yang mungkin tidak difahaminya yang berlaku ke atasnya.
Latih anak-anak untuk menjauhi orang yang tidak dikenali, kalau perlu ingatkan setiap hari iaitu semasa meninggalkan anak-anak di rumah atau Tadika/Sekolah.
Ingatkan pada anak-anak anggota tubuh badannya yang tidak patut disentuh oleh sesiapa pun kecuali oleh ibu bapa atau pengasuh semasa mandi atau masa buang air.
Bertindak awal jika telah ada tanda-tanda maruah anak-anak cuba dicerobohi.
Jangan pandang remeh tanda-tanda ini takut nanti kita menyesal.
Seboleh-bolehnya jangan benarkan anak-anak tidur di rumah orang lain kecuali sangat perlu dan keluarga tersebut dikenali sebagai keluarga yang amanah dan berhemah.
Latih anak-anak untuk menjerit minta tolong atau sebut "API-API" jika ada gangguan atau pencerobohan terhadap dirinya.
Kajian mendapati jeritan 'API" lebih diberi perhatian oleh orang ramai dari jeritan minta tolong.
Pastikan kita berdoa dan ajar anak-anak berdoa mohon keselamatan serta perlindungan Tuhan semasa melangkah keluar rumah, contoh: "Bismillahi tawakkaltu 'alAllah".
Ingatkan anak untuk tidak menerima pemberian makanan, gula-gula mahupun air dari orang yang tidak dikenali.
Larang anak keluar dari kawasan rumah, ke padang permainan, ke rumah jiran atau ke kedai tanpa pengawasan.
Keluarga terdekat juga boleh menceroboh maruah anak-anak, jadi ibu-ibu perlu maklumkan pada anak-anak juga tentang perkara tersebut.
Sentiasa berhubung dengan guru-guru, penjaga atau pengasuh tentang isu-isu keselamatan anak-anak.

Cara-cara mencegah kejadian rogol atau serangan seksual terhadap remaja
1. Jangan terima pelawaan orang yang tidak dikenali untuk tunjuk arah atau jalan, suruh orang itu minta pertolongan lelaki dewasa. Jika didesak juga, lari dan jerit minta tolong.
2. Jangan tumpang orang yang tidak dikenali sama ada kereta, motor atau basikal.
3. Jangan percaya dan ikut orang yang mengaku dihantar oleh ibu bapa untuk mengambil kamu balik dari sekolah, meskipun diberitahu ibu-bapa kemalangan dan sebagainya.
4. Jangan terima duit, gula-gula atau snek dari orang yang tidak dikenali, jiran, jaga sekolah, guru atau teman lelaki jika berseorangan sahaja dengan mereka.
5. Berhati-hati apabila dalam perjalanan pergi sekolah, kedai dsb juga bila balik rumah.
6. Jangan jadikan amalan terlalu rapat dengan jiran lelaki sama ada tua atau muda, lebih-lebih lagi pergi bermain dan tidur di rumahnya kecuali dengan pengetahuan ibu-bapa dan tidak bersunyi-sunyi.
7. Jika kamu dihalang semasa sedang berjalan, cuba elakkan orang tersebut, jika masih dihalang, lari kebelakang dan jerit sekuat hati.
8. Balik kerumah segera sama ada dari sekolah atau tugasan diluar, jangan singgah dimana-mana tanpa kebenaran dan elakkan dari terlalu banyak bermain-main.
9. Cuba pastikan bila berjalan atau keluar rumah hendaklah bersama keluarga atau teman-teman dalam kumpulan. Elakkan keluar rumah waktu malam kecuali dengan keluarga terdekat.
10. Elakkan dari bergaul bebas dengan lelaki yang tidak dikenali dan yang bukan mahram, kerana lelaki tersebut mungkin gunakan peluang itu untuk merogol kamu.
11. Cuba elakkan dari berjalan di lorong, taman atau kawasan yang sunyi. Jauhi bangunan yang tersudut.
12. Jangan pergi berubat dengan bomoh dan jangan sekali-kali tinggal seorang diri berubat dengannya. Doktor lelaki juga hanya boleh memeriksa kamu dengan kehadiran pembantu wanita/jururawat.
13. Jangan berpakaian seksi. Sekalipun kamu tidak menjadi mangsa pada masa tersebut,tetapi mungkin orang lain yang lebih lemah akan jadi mangsa rogol lelaki yang ada penyakit hati.
14. Pastikan pintu bilik berkunci dengan baik semasa kamu mandi, menyalin pakaian ataupun berehat atas katil.
15. Jangan bermain dan bergurau dengan kawan lelaki dan membiarkan mereka menyentuh badan kamu.
16. Orang lelaki termasuk bapa, abang atau saudara-mara tidak boleh menyentuh bahagian sulit kamu.
17. Patuhi syari'at Allah, buat yang disuruh, tinggal yang dilarang nescaya kamu selamat.
18. Allah berfirman yang bermaksud ".....Jangan dekati zina". Jangan bergaul bebas atau melakukan perkara yang dilarang agama yang boleh membawa kepada zina dan lebih teruk jika dirogol.

No comments:

  as salam Mohon , bantuan wakaf dana anda