Wednesday, July 01, 2009

SYARIAT, THORIQAT, HAKIKAT DAN MAKRIFAT

"Hakikat tidak akan muncul sewajarnya jika Syariat dan Thorikat belum betul lagi kedudukannya. Huruf-huruf tidak akan tertulis dengan betul jika pena tidak betul keadaannya."

Fakir Suluk mulakan bicara dengan Taufiq yang diberikan oleh Allah Taala Yang Ampunya Pengetahuan.

Adapun perkataan Syariat, Thoriqat, Hakikat dan Makrifat walaupun ianya berlainan pada sebutan tetapi dari segi tujuannya adalah satu jua iaitu sekelian itu "Syariat". Berlainan pada lafaz atau sebutan-sebutan ini adalah kerana berlainan hantaran jua seperti yang akan dibincangkan dalam bab ini Insya Allah. Kata Sheikh Al-Islam Sulaiman bin Shodiq رحمه الله تعالى dalam kitabnya Mizaan Al-'Aqala' bahawa tiap-tiap satu daripada perkara-perkara tersebut ada dua hantaran maknanya iaitu;

Makna Lughowi (dari segi bahasa) dan
Makna Istilah (dari segi syarak)
Adapun tiap-tiap satu daripada empat perkara itu atas sekira-kira makna lughowi(bahasa) iaitu;

Syariat adalah kenyataan
Thoriqat adalah jalan
Hakikat adalah sebenar
Makrifat adalah mengenal.

1. Penerangan Mengenai Syariat.

Adapun makna istilah atau pengertian mengikut syarak bagi syariat ialah;

"Undang-undang Tuhan yang dihantarkan untuk kebaikan hamba daripada sekira-kira suruh dan tegah dan harus".

Maka "suruh" itu dua bahagi iaitu, pertamanya wajib dan keduanya sunat.
dan "tegah" itu dua bahagi juga iaitu haram dan makruh
dan "harus" itu satu jua
dimana berjumlah semuanya lima perkara iaitu;

Wajib
Sunat
Haram
Makruh & harus

Adapun erti wajib itu ialah sesuatu yang diberi pahala pada mengerjakannya dan berdosa apabila meninggalkan ia. Sunat itu pula ialah sesuatu yang diberi pahala pada mengerjakannya dan tiada berdosa apabila meninggalkan ia.


Adapun haram itu ialah berdosa pada mengerjakannya dan diberi pahala pada meninggalkan ia dan makruh itu tiada berdosa mengerjakan ia dan diberi pahala apabila meninggalkan ia dan harus itu bersamaan jua sama ada mengerjakan ia atau meninggalkan ia iaitu tidak diberi pahala atau dosa..
Inilah yang dinamakan Syariat atau Syarak.


Maka tiap-tiap yang keluar daripada perbuatan kita atau perkataan kita atau niat kita semuanya yang mencakupi zahir dan batin tidak terlepas malah akan terkena dengan salah satu daripada tiga perkara itu iaitu;

adakalanya kebajikan atau
tidak kebajikan atau
tidak kebajikan dan tidak kejahatan

Maka tiga perkara ini merupakan penimbang syariat; di mana tak dapat tidak (mesti) akan terkena pada tiap-tiap seseorang. Maka yakinilah bahawasanya thoriqat, hakikat dan makrifat ketiga-tiganya itu adalah syariat juga; tiada keluar sekali-kali daripada nama syariat. Ia hanyalah bersalahan pada nama dan sebutan jua dan sebab yang demikian itu adalah kerana Thoriqat itu maknanya pada istilah atau syarak ialah "WASILAH" dan erti wasilah itu ialah tiap-tiap sesuatu yang boleh menyampaikan dan menghasilkan kehendak seperti kapal atau kereta dan lain-lain di mana sekelian itu merupakan "WASILAH" atau "THORIQAT" yang menyampaikan kepada tempat yang diqasadkan.


2. Penerangan Mengenai Thoriqat

Adalah tujuan kehendak "SYARIAT" itu dua perkara sahaja iaitu;

Pertamanya "Takliyah" ( تخلية dan
Keduanya "Tahliyah" ( تحلية )

Adapun erti Takliyah itu ialah "membersihkan dan menyucikan daripada segala kejahatan zhohir dan batin" dan erti Tahliyah itu ialah menghiasi dan bersepakai dengan kelakuan dan perangai yang baik zhohir dan batin.

Maka kejahatan yang sehabis-habis jahat dan keji itu ialah lupa atau lalai kepada Allah Taala dan kebajikan serta kelakuan perangai yang sehabis-habis baik itu ialah "Dawaamul Hudur" ertinya sentiasa ingat akan Allah Taala.

Firman Allah Taala;

وَللَّهِ ٱلْمَشْرِقُ وَٱلْمَغْرِبُ فَأَيْنَمَا تُوَلُّواْ فَثَمَّ وَجْهُ ٱللَّهِ إِنَّ ٱللَّهَ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
"Kemana sahaja mereka memalingkan muka mereka, di situ ada Wajah Allah". (Al-Baqarah:115).

Maka dua perkara inilah yang dituntut pada syarak kepada seorang hamba untuk/supaya mencarikan jalan thoriqat yang boleh menjauhkan kejahatan itu dan menyampaikan kepada sehabis-habis kebajikan itu dengan apa-apa jalan (thoriqat) yang ada. Maka jalan yang ada itu tersangatlah banyak sehinggakan ada antara ulama yang mengatakan;

"Bermula jalan yang boleh menyampaikan kepada Allah itu amat banyak dengan sebilang-bilang nafas sekelian makhluk".

Dan lagi firman Allah Taala dalam Surah Al-Imran:31

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ ٱللَّهُ…

Maksudnya:

Katakanlah Ya Muhamad kepada umat engkau, jika ada kamu kasih akan Allah, maka ikutilah aku(Rasulullah SAW.) supaya kasih pula Allah Taala akan kamu.

Dari maksud Firman Allah ini membuktikan segala amalan dan perbuatan yang telah baginda lakukan dan tinggalkan atau yang baginda "syariatkan" adalah merupakan "Thoriqat" untuk mencapai keredhoan Allah Taala. Dan untuk memperihalkan segala amalan baginda itu, semuanya telah umum kenyataannya dari hadis-hadis dan riwayat hidup baginda serta dari kitab-kitab fekah yang diasaskan oleh empat mazhab yang memang diakui kebenarannya..

Dalam hal ini, eloklah kita lihat penegasan mengikut pandangan hakikat dari hambanya yang telah Washil ilaLah (sampai kepada Allah). Telah menyebut oleh Al-Arif Al-Rabbani Kamil Mukamil Wali Qutub Sheikh Abi Madyan رضى الله عنه dalam kitabnya "Kanzul Manan" sebagaimana berikut;

"Diharamkan mereka itu sampai kepada Allah kerana meninggalkan mengikut "Thoriqat Muhammadiyah" (iaitu amalan dan perbuatan Rasulullah SAW. di samping suruhan dan tegahannya) dan berjalan mereka itu dengan keinginan mereka".


Maka segala jalan yang ditentukan oleh syarak yang di bawa oleh Rasulullah SAW. itu tiada keluar daripada pekerjaan yang disuruh ertinya mengerjakan yang disuruh dan meninggalkan yang ditegah. Maka setengah daripada jalan itu ialah dengan membanyakkan sembahyang sunat dan puasa dan zikirullah dan membanyakkan membaca dan mengkaji Al-Quran, memperdalami ilmu agama, berbuat kebajikan kepada golongan fakir dan lain-lain lagi daripada yang disuruh dan menjauhkan apa yang ditegah.

Dengan demikian, mengerjakan apa-apa yang tersebut itu dikatakan "Thoriqat" dan orang yang menjalankannya dan mengerjakan yang demikian itu dinamakan dia "Ahli Thoriqat". Maka difaham daripadanya, jelaslah dan nyatalah bahawasanya thoriqat itu ialah syariat juga dan tiada keluar sekali daripada nama syariat di mana ianya telah ditegaskan oleh Allah Taala dalam firmanNya dalam Surah Al-Hasyr:07

وَمَآ آتَاكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَٱنتَهُواْ …
Maksudnya:

"Dan apa-apa yang telah mendatang ia akan kamu oleh Rasulullah itu maka ambil oleh kamu dan apa-apa yang menegah ia akan kamu, maka berhentilah oleh kamu jangan dikerjakan".

Itulah sebenar-benar Thoriqat; iaitu Syariat dalam erti kata melaksanakan dan menjunjung akan apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang ditegah. Bukanlah ditentukan dengan kehendak dengan thoriqat itu semata-mata atau khusus dengan "Thoriqat Naqsyabandiyah" atau "Thoriqat Khulwatiyah" atau "Thoriqat Ahmadiyah" atau lain-lain lagi.

Adapun yang dimasyhur dengan thoriqat-thoriqat tersebut adalah semata-mata disandarkan kepada orang yang mula mengasaskan dan mengerjakan pekerjaan itu hingga masyhur namanya dan dikatakanlah thoriqat itu Thoriqat fulan-fulan. Ini adalah "salah satu cara atau jalan" untuk sampai kepada Allah di samping banyak lagi jalan-jalan lain yang ada mengikut sebilangan nafas yang ada pada makhluk ini.

Perlu ditegaskan bukan kita menafikan akan kebenaran Thoriqat khususiah ini, tetapi kita ingin menjelaskan bahawa itu adalah salah satu jalan dari jalan-jalan lain yang ada. Bukanlah semestinya dengan jalan yang ini sahaja dan janganlah dinafikan jalan yang lain kerana menafikan jalan yang lain samalah seperti menafikan anugerah Rahmat Allah yang lain.

Janganlah terkeliru dengan istilah Thoriqat ini sehingga ada yang sanggup menidakkan atau mempelekehkan orang-orang yang tidak ikut dalam Jamaah Thoriqat Khususiah yang tertentu dengan tuduhan-tuduhan liar sebagai orang yang "suka makan kulit sahaja" atau "orang yang tidak mengamalkan ilmunya" atau "golongan syariat yang jahil tentang thoriqat dan makrifat" atau "orang yang tidak mengikut jalan yang sebenar" atau tuduhan-tuduhan lain hanya kerana mereka tidak ikut berthoriqat secara khususiyah mengikut mana-mana nama thoriqat seperti di atas. Tujuan mereka adalah sama sahaja iaitu untuk sampai kepada Allah dan berbeza mungkin pada jalan-jalannya sahaja.

Jangan....jangan sekali dipersempitkan keluasan Allah dan dikurangkan Kekayaan Allah Yang Maha Meliputi di atas setiap penzhohiran yang ada. "Kemana sahaja mereka memalingkan muka mereka, di situ ada Wajah Allah". (Al-Baqarah:115). Jangan pula kita lupa kepada pandangan hakikat dan orang-orang yang bermakrifat bahawa untuk "sampai kepada Allah" itu adalah dengan limpah rahmatNya jua.

Telah diceritakan daripada seorang lelaki berkata kepada Sheikh (Guru)nya. Katanya; Wiridkan olehmu kepadaku suatu wirid. Mendengar pertanyaan lelaki itu, maka marahlah Sheikhnya kerana bodohnya permintaan tersebut. Katanya (sheikh); Adakah aku Rasul yang mewajibkan segala yang wajib dan segala fardu itu telah maklum dan segala maksiat itu telah masyhur.

Maka peliharakan bagi segala fardu dan
tinggalkan segala maksiat itu dan
peliharalah olehmu akan hatimu daripada berkehendak kepada dunia dan kasih kepada perempuan dan
lemahkan kepada syahwat. dan
redholah engkau pada bahagian Allah bagimu yang keredhoaan.(dari amal dan ibadatmu). Maka jadikan olehmu bagi Allah syukur dan
apabila datang bagimu kedukaan maka jadikan olehmu sabar.
[Petikan dari Kitab Hikam Ibni Athoillah]

Catatan : suluk98

No comments:

  as salam Mohon , bantuan wakaf dana anda